Penggabungan Dua Kementerian Baik Untuk Kelangsungan Pendidikan – Idris Jusoh – Bernama


Penggabungan Dua Kementerian Baik Untuk Kelangsungan Pendidikan – Idris Jusoh

KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan penggabungan dua kementerian di bawah satu nama sebagai amat baik dalam memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak di negara ini.

Katanya, pendidikan merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat dan penting bagi memastikan keseimbangan antara pencapaian akademik cemerlang dan pembentukan akhlak dalam kalangan pelajar.

“Kita mahu pastikan kelangsungan pendidikan bukan sahaja di peringkat bawah tetapi juga di peringkat universiti. Saya akan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri untuk berbincang tugas selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di Istana Negara pada Khamis.

Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I.

Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I, Datuk Mary Yap pula berkata, beliau mahu memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dilaksana dengan bekesan kerana pelan itu mengandungi pelbagai inisiatif untuk mentransformasikan sektor pendidikan agar pelajar dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pendidikan merupakan keghairahan saya…justeru pelantikan ini yang memberisaya peluang untuk kembali ke bidang pendidikan adalah sesuatu yang saya tunggu,” katanya.

“Ini satu cabaran yang berat tetapi saya teruja. Teruja bukan kerana mengenai saya, tetapi kerana negara, rakyat dan perkhidmatan,” kata Yap yang dinamakan Tokoh Guru Kebangsaan pada 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, P. Kamalanathan pula berkata, beliau sentiasa terbuka untuk menerima pendapat dan idea daripada semua pihak terutama golongan pendidik untuk terus memajukan bidang pendidikan.

Beliau bertekad memastikan objektif, visi dan misi yang ditetapkan Perdana Menteri akan terlaksana, khususnya dengan penggabungan dua kementerian utama pendidikan.

Kamalanathan juga berhasrat menjadikan 523 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil di seluruh negara sebagai denyut nadi masyarakat India yang berterusan.

“Tujuh buah lagi akan ditambah dan kita akan pastikan sekolah-sekolah ini terus diberi sokongan dan bantuan penuh pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

Muhyiddin ketuai istiadat angkat sumpah jawatan Kabinet baru – Berita Harian


Muhyiddin ketuai istiadat angkat sumpah jawatan Kabinet baru

2013/05/16 – 10:21:53 AMCetakEmel Kawan
Muhyiddin ketuai istiadat angkat sumpah jawatan Kabinet baru

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai istiadat angkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi di Istana Negara, sebentar tadi.

Istiadat angkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.