Isteri mangsa tembak depan sekolah sedar – Sinar Harian


Isteri mangsa tembak depan sekolah sedar

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
1 September 2012
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah

SHAH ALAM – Isteri bekas tahanan Ordinan Darurat yang cedera parah dalam kejadian tembakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, Gombak, Rabu lalu, dilaporkan sudah sedar.

Sebelum ini, S Citra, 36, mengalami pendarahan teruk dan tidak sedarkan diri akibat terkena satu das tembakan di perut.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, siasatan mendapati, Citra bukan sasaran penjenayah yang menembak mati suaminya, K Archuthan, 41.

“Penjenayah melepaskan tembakan ke arah suami mangsa. Mungkin lebih daripada enam tembakan.

“Kedua-dua mereka duduk di hadapan dan kita percaya salah satu daripada peluru itu mengenai perutnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Abdul Rahim berkata, polis akan mengambil keterangan wanita itu apabila dia sembuh.

Sementara itu katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sudah diserahkan kepada Jabatan Forensik untuk diteliti.

“CCTV dapat merakam imej selepas kejadian tersebut. Terdapat beberapa individu dalam rakaman itu yang mungkin dapat membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian itu, Archuthan dan isteri sedang menunggu anaknya, berusia 17 tahun, pulang dari sekolah, kira-kira jam 1 petang apabila ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Archuthan, yang memandu kereta jenis Toyota Camry, maut terkena enam das tembakan, manakala isterinya parah dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan.

Polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan dendam.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan Archuthan bukan pemilik syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar dengan KDN.

Sebaliknya semakan KDN mengesahkan Archuthan adalah bekas tahanan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969.

Ketua Setiausahanya, Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam satu kenyataan, di sini, berkata, lelaki itu dibebaskan pada 23 Februari lalu.

“Kes itu sedang dalam siasatan polis dan kementerian berharap semua pihak dapat memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya.

Beberapa akhbar sebelum ini, melaporkan Archuthan adalah pemilik sebuah syarikat kawalan keselamatan.