‘Masih ada sayang kami’ – Metro


‘Masih ada sayang kami’

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kuala Lumpur: “Saya tidak sabar hendak menyertai rakan sekelas bersukan serta terbabit dalam aktiviti badan beruniform selepas pulih daripada pembedahan nanti.

“Selama ini saya hanya mampu melihat saja mereka seronok melakukan aktiviti sukan dan beriadah bersama. Syukur, tidak lama lagi impian itu bakal menjadi kenyataan,” luah Nurul Duratul Ain Mohd Rosli, 16.
Nurul Duratul antara lima remaja perempuan menghidap ‘Skoliosis Idiopatik Adolesen’ atau tulang belakang bengkok yang mendapat perhatian Tabung Kebajikan Prihatin Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) untuk menampung keseluruhan kos berjumlah RM102,500 bagi merawat kelima-lima remaja terbabit.

 

Sumbangan disampaikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua BAKTI di Bangunan BAKTI, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Kebajikan BAKTI Toh Puan Dr Aishah Ong serta Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) (M) Bhd Datuk Abdul Jalil Hamid.
Penerima sumbangan lain ialah Nurul Nabilah Husna Ahmazi, 18; Nursyafikah Hanapi, 18; Nur Hamizah Iman Abdul Aziz, 15, dan Nuri Karmilasari Mohamad Yunus, 14. Setiap penerima terbabit menerima RM20,500 iaitu RM18,000 digunakan untuk kos pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM), di sini, manakala selebihnya untuk menampung kos sistem pemantauan neuro selepas pembedahan.
Nurul Duratul berkata, dia dijangka menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang pada 26 Mac ini dan tidak sabar menjalani kehidupan aktif seperti remaja lain. Bagi Nuri Karmilasari, sumbangan itu amat bermakna buat dirinya dan keluarga memandangkan harapan dan impian untuk melihatnya kembali pulih dan menjalani kehidupan seperti pelajar lain semakin cerah.

 

“Sepanjang persekolahan saya tidak pernah menyertai aktiviti sukan kerana penyakit ini apatah lagi saya kerap berasa penat apabila melakukan sesuatu dengan lama. Kadang-kadang berasa sedih juga melihat rakan-rakan saya bergiat aktif tapi saya pula sebaliknya.
“Tapi sebaik mengetahui BAKTI ingin membantu membiayai kos pembedahan dan rawatan, saya berasa bersemangat dan tidak sabar lagi dibedah pada 2 April nanti,” katanya.

 

Sementara itu, ibu Nursyafikah, Rahimah Jantan, 39, berkata, anaknya menjalani pembedahan semalam dan berterima kasih kepada Bakti yang membantu menampung kos pembedahan dan rawatan anaknya. “Saya amat terharu dalam keadaan ini ada pihak yang sudi membantu. Hanya ucapan terima kasih dan doa yang mampu saya titipkan kepada semua pihak yang membantu serta mendoakan kesihatan Nursyafikah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

– See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013022806031520130228060315/Article/index_html#sthash.ZLUuOyOY.dpuf

Janji pendidikan negara lebih baik – Metro


Janji pendidikan negara lebih baik

 1  0 Google +0  0  0

Putrajaya: Kerajaan terus memajukan bidang pendidikan negara serta memperjuangkan kebajikan golongan pendidik dan guru sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata, perkara itu antara komitmen dan iltizam yang bakal dilaksanakan kerajaan pimpinannya sekiranya BN terus diberikan mandat untuk memerintah Malaysia.
“Kita mempunyai komitmen dan iltizam politik melaksanakan, namun kesudahannya bergantung kepada satu peristiwa yang berlangsung dalam sedikit masa lagi.

 

“Jika peristiwa itu berakhir dengan sesuatu menggembirakan maka saya yakin dan percaya bidang pendidikan negara melalui zaman yang jauh lebih maju daripada masa lalu. Jadi saya fikir mesej utama saya sudah disampaikan,” katanya ketika berucap dihadapan lebih 2,000 tetamu yang menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena sambutan Jubli Emas, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di sini, malam tadi.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.
Pada majlis itu, Perdana Menteri juga turut mengumumkan pemberian peruntukan khas RM1 juta kepada SAS.

 

Sebelum itu, Najib berkata, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai pembaharuan dan proses transformasi bagi memajukan bidang pendidikan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.
“Satu perkara yang saya bincang dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri) dan perlu diberi perhatian apabila PPPM dilaksanakan dan diberikan perhatian segera ialah mengurang beban dan tugas guru,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Pelajar Permata Insan akan diserap ke sekolah asrama penuh – Berita Harian


Pelajar Permata Insan akan diserap ke sekolah asrama penuh

2012/11/21 – 12:38:22 PMCetakEmel Kawan
JUGRA: Pelajar program Permata Insan akan diserapkan ke sekolah berasrama penuh bagi meneruskan kesinambungan program berkenaan dan memacu kecemerlangan generasi muda negara.

Isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Program Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata secara dasar kelulusan pembinaan sekolah berkenaan sudah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi.

“Sekolah berkenaan dijangka dibina di kawasan berhampiran kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Permata Insan, di sini, sebentar tadi.

Beri hadiah makanan, tonton wayang percuma – Kosmo


Beri hadiah makanan, tonton wayang percuma


ROSMAH sambil diiringi Saie Kie (kanan) bersalaman dengan kanak-kanak yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di Putrajaya semalam.

 

PUTRAJAYA – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan agar kanak-kanak diberi makan dan menonton wayang secara percuma sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia setiap tahun.

Beliau berkata, restoran dan panggung wayang wajar menjalankan tanggungjawab sosial untuk meraikan kanak-kanak yang bakal menjadi pewaris negara.

“Dahulu, apabila kami menyambut Hari Kanak-kanak, kami bukan sahaja berkumpul di stadium, kami juga boleh masuk ke mana-mana restoran atau panggung wayang secara percuma. Saya pun berasa hairan macam mana amalan ini dihentikan sekarang.

“Jadi, saya berharap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh kementerian berkenaan untuk berbincang dengan pengusaha restoran dan panggung wayang agar kanak-kanak boleh menonton wayang dan makan secara percuma pada Hari Kanak-Kanak,” katanya pada majlis perasmian sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di sini semalam.

Tema sambutan tahun ini adalah Karisma Kanak-Kanak: Serlahkan Potensimu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

Bakti sumbang kaki palsu kepada 4 pelajar mangsa kemalangan – Utusan


Bakti sumbang kaki palsu kepada 4 pelajar mangsa kemalangan

ROSMAH Mansor bersama Noorainee Abdul Rahman dan Siti Hasmah Mohamad Ali bermesra dengan Mohammad Shahrul Nizam Yahya (kanan), Muhd. Hasryani (dua dari kanan), Muhammad Muazs (tengah) dan Muhamad Haqimie di Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

 

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) hari ini menyumbang kaki palsu kepada empat pelajar yang kehilangan kaki akibat kemalangan jalan raya.

Sumbangan itu disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi penyerahan surat persetujuan membeli kaki palsu pada satu majlis di Bangunan Bakti Siti Hasmah hari ini.

Rosmah, yang juga Yang Dipertua Bakti berkata, sumbangan itu sebahagian daripada program kebajikan badan tersebut untuk membela golongan kurang bernasib baik.

“Kami berharap penyerahan sumbangan itu dapat mengubah kehidupan pelajar berkenaan untuk menjalani kehidupan normal seperti rakan-rakan sebaya lain dan dapat meringankan beban ahli keluarga mangsa,” katanya semasa berucap pada majlis itu.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, yang juga Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Empat penerima bantuan tersebut ialah Muhammad Muasz Mohd. Mokhtar, 15, yang menerima bantuan kaki palsu bernilai RM7,800, Mohammad Shahrul Nizam Yahya, 16, (RM6,800), Muhd. Hasryani Mokhtar, 17, (RM7,800) dan Muhamad Haqimie Hasim, 20, (RM10,800).

Rosmah berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat diharap terus memberi perhatian terhadap golongan kurang bernasib baik.

“Saya percaya peranan NGO telah membantu meringankan beban kerajaan, masyarakat serta ibu bapa dan jika kesedaran ini diperluas maka ramai lagi golongan kurang bernasib baik mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Muhamad Haqimie gembira dan bersyukur kerana bantuan tersebut membantunya berjalan semula.

“Sejak kemalangan Jun lepas, saya tidak dapat berjalan setelah kehilangan kaki kiri dari pangkal paha.

“Bantuan ini akan memudahkan urusan harian dan menjadi pemangkin kepada diri untuk terus berjaya melengkapkan pengajian,” katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Senibina, Universiti Teknologi Mara itu terpaksa mengambil cuti kecemasan selama satu semester akibat kemalangan itu.

Seorang lagi penerima, Mohammad Sharul berkata, bantuan kaki palsu itu akan memudahkan pergerakannya yang selama ini bergantung kepada tongkat.

“Saya tidak akan patah semangat dan terus berusaha mencapai cita-cita serta menjalani kehidupan normal seperti orang lain,” ujarnya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra, Segamat, Johor.