Isu keselamatan murid terancam – Sinar Harian


Isu keselamatan murid terancam

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mac 2012
Isu keselamatan murid terancam

SUNGAI PETANI – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Muda sedia memberikan kerjasama bagi membincangkan aspek keselamatan di sekolah berhubung kes percubaan menculik yang berlaku di sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Pegawainya, Mohd Roslan @ Sobri Ismail berkata, kakitangannya telah berjumpa dengan pihak sekolah bagi mengetahui prosedur keselamatan dan membincangkan aspek keselamatan yang perlu ditingkatkan.

“Tujuan pihak sekolah berjumpa adalah untuk mendapat maklumat terperinci serta mengetahui tahap keselamatan, terutama semasa perjalanan pergi dan balik sekolah. Selebihnya kita serahkan kepada siasatan yang dijalankan pihak polis.

“Kita juga berharap kejadian seumpama ini tidak berulang dan bersyukur kerana mangsa terselamat dari jadi mangsa culik,” katanya ketika melawat Pameran Pendidikan Kerjaya di Karnival Sungai Petani, kelmarin.

Roslan menyatakan demikian berhubung kejadian murid tahun dua yang melalui situasi cemas ditarik penculik ke sebuah van menggunakan taktik sama seperti penculikan arwah Nurin Jazlin Jazimin, lima tahun lalu.

Bapa mangsa yang bimbang dengan keadaan itu segera membuat laporan polis ke balai polis berdekatan yang disiarkan Sinar Harian 27 Februari lalu.

Dalam kenyataan bapa mangsa, penculik menggunakan pendekatan RM5 untuk mengumpan mangsa sebelum ditarik ke sebuah van yang terletak di luar pagar sekolah.

Penduduk kampung yang menyaksikan tindakan mencurigakan itu segera meminta penculik wanita berusia 30-an terbabit melepaskan genggaman tangan mangsa yang menyelamatkannya dari percubaan menculik.