Isu Sekolah Mubaligh Selesai – mStar


Isu Sekolah Mubaligh Selesai

Oleh YUEN MEIKENG dan RUBEN SARIO

PETALING JAYA:┬áIsu yang semakin meruncing akhirnya telah diselesaikan apabila Kementerian Pelajaran memastikan “rundingan maksimum” diberikan kepada sekolah mubaligh dalam pelantikan pengetua.

Satu surat pekeliling akan dikeluarkan kepada semua negeri menjelang akhir bulan ini berkenaan prosedur rundingan dengan lembaga sekolah, menurut Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Ini berikutan pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Persekutuan Majlis Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia pada Isnin.

Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat, perundingan maksimum perlu diadakan dengan lembaga sekolah mubaligh terhadap tugas guru besar.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa sekolah mubaligh berkata ketetapan itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam pertemuan dengan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, perkara yang dibincangkan termasuklah peranan sekolah mubaligh dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara.

Presiden Persekutuan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata Muhyiddin yakin bahawa 438 sekolah mubaligh di Malaysia akan terus memainkan peranan dalam sistem pendidikan negara.

Dalam persidangan meja bulat pada 4 Disember, beliau berkata ia tidak menyebut tentang peranan sekolah mubaligh dalam rangka tindakan.

“Muhyiddin berkata sekolah mubaligh tidak akan diketepikan dan akan menikmati keistimewaan yang sama seperti sekolah kebangsaan.

“Sekolah mubaligh melaksanakan kurikulum kebangsaan dan oleh itu, ia diberikan status yang sama,” kata Yap.

Beliau berkata, Muhyiddin juga yakin sekolah mubaligh akan terus menerima pembiayaan untuk penyelenggaraan bangunan dan program pembangunan profesional.

Ketika membentangkan Bajet 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk menaik taraf sekolah mubaligh.

Yap berkata: “Kami amat berterima kasih kepada Muhyiddin dan Tan Sri Bernard Dompok, yang menyelaraskan mesyuarat.

Pada tahun 2011, pertikaian timbul terhadap pelantikan pengetua SMK Convent Bukit Nanas di Kuala Lumpur.

Ketua Biskop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam telah membantah pelantikan Datin Seri Zavirah Mohd Shaari dengan berkata ia bertentangan dengan dasar rundingan Kerajaan.

Pertikaian itu telah diselesaikan selepas pengetua Katolik, Mystrical Rose Fernandes dilantik.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK St Paul Dr S. Ganakumaran berkata beliau berharap pekeliling ini akan membawa “hasil yang baik” untuk sekolah di Seremban yang tidak mempunyai guru besar sejak lapan bulan yang lalu.

“Pekeliling ini untuk mengingatkan semua pihak tentang amalan baik dalam melantik ketua-ketua di sekolah mubaligh,” katanya.

“Di St Paul, kami sentiasa mempunyai komunikasi terbuka antara sekolah, alumni, jabatan pendidikan negeri (Negeri Sembilan) dan kementerian.”