4,500 murid SRA khatam serentak
28 Julai 2013

Seramai 4,500 murid tahun enam melibatkan 164 Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka terlibat dalam Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Al-Azim, semalam.

Mohd Khalil menyampaikan cenderamata kepada murid cemerlang Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka, semalam.
BANDARAYA MELAKA – Seramai 4,500 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) seluruh negeri melakar kejayaan apabila khatam Al-Quran secara serentak di Masjid Al-Azim, semalam.
Majlis melibatkan murid tahun enam dari 164 SRA Jaim itu disempurnakan Yang Dipertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Idris Haron; Speaker Dun, Datuk Othman Muhammad dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Yaakub Md Amin.
Idris berkata, beliau melahirkan rasa syukur terhadap penganjuran program yang dilihat mampu melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran dan mengamalkannya sebagai panduan kehidupan.
“Jika semua umat Islam dapat mengamalkan inti pati kitab ini, saya yakin kita akan bertemu dengan kehidupan lebih sempurna,” katanya sempena Majlis Khatam Al-Quran Perdana Pelajar SRA Jaim peringkat negeri, semalam.
Menurutnya, menjadi kewajipan ibu bapa mengajar al-Quran kepada anak-anak sejak kecil bagi melahirkan modal insan berkualiti pada masa depan.
Bagaimanapun, Idris menyifatkan segelintir pihak sebagai bankrap idea dan kaedah selepas menimbulkan kekacauan di negara ini seharusnya tidak perlu ada lagi dalam masyarakat Islam hari ini.
Sebaliknya, tanpa mengira fahaman politik, umat Islam harus bersatu membina kehidupan lebih baik dan sempurna.
“Datang dengan pelbagai wajah dalam bentuk demonstrasi jalanan, protes dan ugutan, saya kira kaedah ini tidak perlu lagi ada dalam masyarakat,” katanya.