Bapa, anak kantoi khalwat – Metro


Bapa, anak kantoi khalwat

 3  0 Google +0  0  0

Oleh Norfaisal Jahuri

Melaka: Bapa borek anak rintik. Itu yang digambarkan terhadap dua beranak apabila si ayah ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang ibu tunggal dan pada masa sama anak gadisnya ditemui berkurung bersama teman lelakinya di bilik di rumah sama di Bukit Katil, di sini.

Dalam operasi jam 12.30 tengah malam, Sabtu lalu, sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyerbu rumah didiami seorang ibu tunggal berusia 46 tahun dan anak lelakinya berusia 15 tahun.

Dalam pemeriksaan dilakukan, anggota penguat kuasa menemui seorang lelaki berusia 48 tahun berstatus duda di ruang tamu rumah berkenaan dan siasatan mendapati dia kenalan rapat kepada wanita terbabit.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM, Rahimin Bani berkata, selepas menemui lelaki berstatus bukan muhrim itu anggotanya terus membuat pemeriksaan lanjut. Selepas soal tanya mendapati ada dua lagi individu iaitu anak kepada wanita terbabit dan anak perempuan lelaki itu yang berusia 14 tahun.
Katanya, ketika pintu sebuah bilik diketuk ia dibuka remaja perempuan berkenaan dan apabila diperiksa menemui seorang lelaki berusia 18 tahun menyorok di dalam almari.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09

20,000 murid tak sekolah agama – Sinar Harian


20,000 murid tak sekolah agama

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 November 2012
 Datuk Yaakub Amin
Datuk Yaakub Amin

JASIN – Ibu bapa digesa menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) berikutan jumlah murid yang belajar di sekolah itu masih berkurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Yaakub Amin berkata, daripada 60,000 murid sekolah rendah yang berbangsa Melayu di negeri ini, hanya kira-kira 41,000 sahaja yang dihantar ke sekolah itu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 20,000 murid tidak menghadiri sekolah agama.

“Perkara ini tidak seharusnya timbul kerana majoriti ibu bapa mampu menghantar anak-anaknya ke sekolah kebangsaan, namun sekolah agama sering kali dipandang sepi sedangkan ia penting dalam melahirkan generasi cemerlang.

“Satu kerugian kerana kebanyakan sekolah agama berada berdekatan rumah penduduk dan kosnya juga tidak mahal,” katanya.

Katanya, oleh itu, ibu bapa perlu mengambil peluang menghantar anak-anak mereka menimba ilmu agama di sekolah agama ini.

“Saya harap ibu bapa akan lebih peka dan memandang positif sekolah agama Jaim ini dengan mendaftarkan anak-anak mereka sama ada pada sesi pagi ataupun petang,” katanya.

Hanya tujuh sekolah tahfiz daftar Jaim – Sinar Harian


Hanya tujuh sekolah tahfiz daftar Jaim

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 November 2012
Mohd Ali Rustam
Datuk Seri Mohd Ali Rustam

AYER KEROH – Sekolah tahfiz yang masih tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) perlu segera melakukannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, ia bagi membolehkan kurikulum persekolahan diselarikan selain faktor kebajikan murid dan guru termasuk keselamatan serta pengurusan sekolah lebih bersistematik.

Setakat ini, hanya tujuh sekolah tahfiz berdaftar dan 22 sekolah masih tidak berbuat demikian biarpun Majlis Agama Islam Melaka (Maim) sudah melakukan perbincangan dengan pengusaha sekolah.

“Sekolah tahfiz persendirian ini ada yang sudah lama beroperasi iaitu mencecah 20 tahun dan ada berusia dua tahun.

“Jika berdaftar kita mahu pastikan pelajar tahfiz ini bukan sahaja mendapat ilmu akhirat bergelar tahfiz sebaliknya boleh menjalani persekolahan mempelajari subjek dan mengambil peperiksaan seperti sekolah harian.

“Ada pakar sejarah yang tahfiz al-Quran, ada saintis tetapi tahfiz al-Quran. Kita mahu mereka belajar dengan sempurna,” katanya.

Jika masih tiada sambutan, Mohd Ali mencadangkan Jaim bertindak mendaftarkan sekolah terlibat dan meminta wakil menghadiri mesyuarat yang diadakan pihaknya.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memastikan bangunan sekolah tahfiz ini selamat untuk didiami walaupun ada pengusaha menggunakan rumah persendirian,” katanya.

Perkahwinan Di Bawah Umur Dibenarkan – mStar


Perkahwinan Di Bawah Umur Dibenarkan

Oleh EMBUN MAJID

ALOR SETAR: Perkahwinan antara pasangan di bawah umur bukan satu jenayah dalam Islam jika dengan berbuat demikian boleh menghalang pasangan daripada terlibat dalam aktiviti tidak bermoral, kata anggota Exco Kedah.

“Jika ibu bapa pasangan bawah umur membenarkan perkahwinan, sepatutnya tidak ada sebarang masalah, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan dan Koperasi Negeri Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul.

Beliau berkata di bawah Undang-Undang Keluarga Islam Kedah, ibu bapa yang mahu mengahwinkan anak-anak di bawah umur mereka dikehendaki mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam.

Beliau berkata di dalam borang perkahwinan, pasangan dan ibu bapa mereka mesti menyatakan umur pengantin perempuan dan pengantin lelaki dan memberikan sebab perkahwinan.

Beliau berkata dalam kebanyakan kes, keputusan pasangan muda untuk berkahwin adalah bagi mengelakkan masalah sosial.

“Dalam kebanyakan kes ibu bapa membuat keputusan untuk membiarkan anak-anak mereka untuk berkahwin kerana mereka tidak lagi boleh mengawal mereka dan percaya bahawa, dengan berbuat demikian, mereka menghalang remaja daripada melakukan dosa,” katanya Khamis.

Berdasarkan rekod Jabatan Agama Islam Kedah dari 2008 sehingga 2010, terdapat 275 permohonan perkahwinan yang melibatkan individu di bawah umur.

Beliau berkata 75 permohonan telah diterima pada tahun 2008, 99 pada tahun 2009 dan 101 pada tahun 2010.

Lebih daripada 90 peratus daripada mereka yang terlibat adalah gadis di bawah umur 16.

Mohamed Taulan berkata dalam Islam seseorang yang telah mencapai umur baligh boleh berkahwin.

Ditanya mengenai kadar perceraian yang melibatkan perkahwinan di bawah umur, Mohamed Taulan berkata ia adalah lebih kurang sama seperti pasangan lain.

“Bagi pasangan muda, masalah boleh berlaku jika suami tidak mempunyai pendapatan tetap atau menganggur.

“Tetapi jika pasangan itu mempunyai sokongan yang baik daripada ibu bapa mereka, termasuk sokongan kewangan, mereka tidak mempunyai banyak masalah,” katanya.

Kadar Perkahwinan Kanak-Kanak Semakin Meningkat Membimbangkan – mStar


Kadar Perkahwinan Kanak-Kanak Semakin Meningkat Membimbangkan

Oleh S. INDRAMALAR

PETALING JAYA: Kadar perkahwinan di kalangan kanak-kanak semakin meningkat, berdasarkan statistik yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

Di Kedah sahaja, statistik daripada Jabatan Agama Islam negeri menunjukkan peningkatan 35 peratus dalam permohonan perkahwinan melibatkan mereka di bawah umur, antara tahun 2008 dan 2010.

Jabatan itu menerima 75 permohonan perkahwionan daripada individu bawah umur pada 2008, 99 pada 2009 dan 101 pada 2010.

Daripada jumlah tersebut, 90 peratus melibatkan gadis bawah 16 tahun.

Salah satu punca adalah ibu bapa bersetuju anak-anak mereka yang di bawah umur untuk berkahwin kerana anak-anak gadis dikatakan “terlalu liar” dan di bawah kawalan mereka.

Mereka merasakan bahawa mengahwini anak merupakan penyelesaian terbaik. Selain itu, adalah untuk mengurangkan tekanan ekonomi.

Majoriti kes-kes tersebut dilaporkan di Sik dan Baling.

Statistik itu membimbangkan kerana mereka menunjukkan perkahwinan kanak-kanak merupakan suatu masalah besar di Malaysia, kata Pengurus Program Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA), Saira Shameem.

Hari ini (Khamis) merupakan Hari PBB Antarabangsa untuk Kanak-Kanak Perempuan buat julung kalinya, yang memfokuskan untuk menghentikan trend perkahwinan kanak-kanak.

Statistik PBB menunjukkan bahawa di seluruh dunia, sebanyak 10 juta kanak-kanak perempuan berkahwin secara paksa sebelum mereka berusia 18 tahun, berjumlah sehingga 25,000 kanak-kanak perempuan setiap hari.

“Dalam sebuah negara yang mempunyai ekonomi stabil seperti Malaysia, di mana wanita mempunyai pendidikan dan bekerja dalam pekerjaan di peringkat tinggi dan di mana gadis-gadis membentuk 60 peratus daripada pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi, keadaan ini tidak seharusnya berlaku.

“Kita perlu menangani pendidikan kesihatan seksual dan pembiakan untuk anak-anak kita. Kajian menunjukkan bahawa umur yang sesuai bagi pendidikan seks sebenarnya melewatkan seks untuk kali pertama. Pendidikan kesihatan seksual dan pembiakan juga akan membantu gadis-gadis membuat pilihan yang lebih bermanfaat,” kata Saira.

Kumpulan pejuang hak menggesa tindakan segera dilakukan bagi menghentikan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia, sambil menunjukkan kesan berbahaya perkahwinan awal di kalangan perempuan, dan kurang bagi lelaki.

Dalam perspektif hak asasi manusia, perkahwinan menandakan berakhirnya zaman remaja dan kanak-kanak yang mengekang kebebasan mereka.

Kebanyakan perempuan yang berkahwin awal akan keciciran pendidikan di sekolah dan berhadapan dengan risiko kesihatan seperti kehamilan dan kelahiran anak pada usia muda.

Di seluruh dunia, kematian berkaitan kehamilan adalah punca kematian bagi gadis berusia antara 15 hingga 19 tahun.

Bagaimanapun, perkahwinan dibenarkan bagi mereka yang berumur antara 16 dan 18 tahun dengan kebenaran bertulis daripada ketua menteri.

Bagi Islam, umur yang sah untuk perkahwinan bagi lelaki adalah 18 tahun dan perempuan 16 tahun.

Bagaimanapun, dengan kebenaran mahkamah syariah, orang Islam boleh berkahwin pada sebarang usia.

Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Ratna Osman merasakan undang-undang negara perlu digubal, bagi menggesa usia yang dibenarkan untuk berkahwin bagi kedua-dua orang Islam dan bukan Islam adalah 18 tahun.

“Pada hari ini, perkahwinan kanak-kanak tidak boleh diterima. Adakah ini yang kita mahukan ia berlaku di Malaysia? Kami mahu umur yang dibenarkan di sisi undang-undang untuk kedua-dua lelaki dan perempuan adalah 18 tahun, dan minimum mutlak untuk perempuan Islam adalah 16 tahun tetapi dengan syarat-syarat yang ketat.

“Antara syarat-syarat tersebut adalah kanak-kanak perlu mempunyai kematangan yang mencukupi bagi memahami sifat dan tanggungjawab perkahwinan itu dan perunding kehakiman masing-masing mengesahkan kesediaan kanak-kanak itu sebelum mengeluarkan kelulusan,” kata Ratna.

‘Jual’ anak untuk rokok – Metro


‘Jual’ anak untuk rokok

Oleh Haidar Hilmi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Bagi memastikan bekalan rokoknya sentiasa cukup serta tidak perlu dibeli, seorang bapa menawarkan empat anak perempuannya berusia 17 hingga 25 tahun tidur bersama lelaki hidung belang sebagai tukaran.

Lebih menjijikkan, kegiatan itu dilakukan di rumahnya di sebuah kampung di daerah ini, malah ketika anaknya tidur bersama lelaki, bapa durjana berusia 53 tahun terbabit berada di situ sambil merokok.

Kegiatan itu yang berlarutan sejak dua bulan lalu itu, bagaimanapun hanya membabitkan rakan bapa durjana itu, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada keempat-empat anaknya akur perkara itu atau terpaksa melakukannya.

Bagaimanapun, kegiatan keji itu berakhir malam kelmarin, selepas rumah lelaki terbabit diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Daerah Batu Pahat sempena Ops Ambang Merdeka.

 

 

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 01/09/2012

Jais kesan sindiket guna pelajar sekolah kutip derma hingga pukul 3 pagi – Bernama


Jais kesan sindiket guna pelajar sekolah kutip derma hingga pukul 3 pagi

9 Ogos 2012
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan terdapat sindiket yang berselindung di sebalik nama pusat Tahfiz, madrasah dan rumah anak yatim serta menggunakan pelajar sekolah untuk mengutip derma sehingga ke pukul 3 pagi setiap hari.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jais Hardi Mohamad Sadali berkata aktiviti sindiket mengutip derma itu terbongkar selepas lapan individu termasuk tiga rakyat asing ditahan dalam operasi kutipan derma tanpa kebenaran di Seksyen 9, 11, 17, 18 dan 19 di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 50 tahun kerana didapati menjalankan aktiviti mengutip derma tanpa kebenaran Jais dan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Siasatan kami mendapati ada yang berselindung di sebalik sindiket yang menggunakan pelajar sekolah yang dihantar sejak awal pagi hingga ke pukul 3 pagi keesokannya malah ada yang dipercayai dipergunakan oleh sebuah ajaran yang meragukan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hardi berkata operasi yang diketuai Penolong Pengarah Unit Perundangan dan Kesalahan Jais Zaaba Zakaria itu turut merampas beberapa barangan yang dijual oleh mereka yang ditahan seperti cakera padat karaoke, madu dan ubat-ubatan tradisional.

Beliau berkata turut dirampas ialah resit, tabung derma dan surat kebenaran kutipan yang tidak sah.

“Kesemua yang ditahan akan diambil kenyataan untuk tujuan siasatan sebelum tindakan selanjutnya dan dibebaskan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata Jais memang ada mengeluarkan kebenaran untuk mengutip derma tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak dibuat di tempat awam seperti di restoran dan bank.

Ditanya mengenai pembabitan kumpulan ajaran dipercayai sesat dalam sindiket itu, Hardi tidak menolak kemungkinan itu dan berkata perkara itu masih di peringkat siasatan.

“Kami masih menyiasat malah ada mereka yang ditahan memaklumkan mereka mengutip derma untuk aktiviti kumpulan berkenaan dengan menjual produk mereka,” katanya. – Bernama

Mabuk sebelum waktu sahur – Sinar Harian


Mabuk sebelum waktu sahur
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Julai 2012

Anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan.
BANDARAYA MELAKA – Akibat terlalu panik, seorang lelaki yang sedang leka minum arak lari lintang pukang apabila pusat hiburan dikunjunginya diserbu sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), awal pagi semalam.

Bagaimanapun, lelaki berusia 40-an itu berjaya ditangkap anggota penguatkuasa ketika Operasi Cegah Jenayah Syariah yang dijalankan kira-kira 12.30 tengah malam dan berakhir 3 pagi.

Lelaki itu antara dua individu yang ditahan daripada 30 orang diperiksa dalam serbuan ketiga buah premis di Batu Berendam dan Melaka Raya oleh 20 anggota penguatkuasa diketuai Ketua Operasinya, Zulkifli Zainal.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, sebanyak 28 saman dikeluarkan dalam operasi dilakukan dengan kerjasama polis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu.

“Seramai 30 umat Islam termasuk 24 wanita berusia 17 hingga 50 tahun dikenakan tindakan atas beberapa kesalahan jenayah syariah, iaitu lima orang meminum arak, selain 24 wanita berkelakuan tidak sopan di tempat awam. Manakala, seorang lelaki ditahan atas kesalahan berpakaian menyerupai wanita.

“Dua daripada mereka ditahan termasuk lelaki yang cuba melarikan diri. Manakala, selebihnya dikenakan saman supaya hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Rahimin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 50, Seksyen 71 dan Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991

Tambah guru agama Jais – Sinar Harian


Tambah guru agama Jais

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mei 2012
Tambah guru agama Jais
Abdul Khalid diiringi Marzuki melancarkan laman sosial Facebook dan Twitter Jais.

BAGAN TERAP – Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah 5,161 guru Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi menampung kekurangan kakitangan itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri mempunyai kewangan mencukupi untuk melaksanakan penambahan jawatan itu.

Menurutnya, setakat ini seramai 9,128 orang guru mengurus dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi 238,572 pelajar.

“Pertambahan pelajar setiap tahun menyebabkan guru yang dipertanggungjawabkan tidak mencukupi.

“Jumlah guru yang akan ditambah itu juga merangkumi pelbagai jawatan sama ada tetap, kontrak dan sambilan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Jais peringkat negeri, di Kompleks Pendidikan Islam Jais, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Pada program itu, Abdul Khalid turut melancarkan melancarkan laman sosial Facebook dan Twitter Jais. Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut meluluskan permohonan kenaikan pangkat guru Jais Gred DG41 ke Gred DG44 dan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA29 ke Gred DGA32.

“Dalam tempoh terdekat ini juga, Kerajaan Negeri akan mengiklankan kekosongan 60 jawatan tetap guru bagi gred jawatan DG41, DGA29, DG48, DG44 dan DG41.

“Pada masa sama juga bagi mengisi perjawatan gred DGA34, DGA32 dan DGA29,” katanya.

Menurutnya, sistem pendidikan Islam Jais bermula sejak 1945 dan bermula 2008, Kerajaan Negeri melakukan banyak perubahan terhadap sistem pendidikan Islam.

Katanya, ia merangkumi penstrukturan semula dasar dan hala tuju pendidikan Islam dengan menjadikan al-Quran sebagai kurikulum teras pendidikan Islam, penambahan bilangan sekolah
agama dan perlaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua murid.

Sementara itu Marzuki berkata, penyertaan Jais dalam laman sosial adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap keberkesanan sistem penyampaian jabatan itu sebagai medium perkongsian
maklumat dengan masyarakat.

“Ia juga sebagai sumber bagi menilai kemahuan dan penerimaan rakyat terhadap kualiti perkhidmatan Jais,” katanya.

Beliau berkata, banyak isu mengenai masa depan pendidikan Islam di Selangor memerlukan perhatian Kerajaan Negeri bagi meningkatkan semangat dan motivasi kerja guru Jais.

“Antaranya keperluan menyegerakan penambahan bangunan sekolah di sekolah agama menengah bagi menampung pertambahan permohonan bilangan pelajar selain meningkatkan prasarana
sekolah di sekolah rendah agama.

“Pada masa sama, keperluan meningkatkan tahap keselamatan dan keceriaan sekolah melalui tambahan peruntukan melantik pengawal keselamatan dan kebersihan di semua sekolah Jais,”katanya.

Lari ‘tak tahan’ – Metro


Lari ‘tak tahan’

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Bukan saja didera dan dijadikan sasaran belasahan, malah seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah tahfiz di Mersing di sini, diliwat berkali-kali oleh pelajar senior pada Mac dan April lalu.

Mangsa yang baru mendaftar ke sekolah terbabit awal tahun ini dijadikan sasaran belasahan serta pemuas nafsu songsang pelajar senior.
Pelajar berkenaan yang tidak tahan diperlakukan sedemikian akhirnya melarikan diri dari sekolah itu pada penghujung April lalu.

 

Ketika mendedahkan penderitaan ditanggung, bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ayub, berusia lingkungan 40-an berkata, anaknya itu minat untuk mendalami ilmu agama sebelum mendaftarkannya di sekolah berkenaan.
“Sejak masuk ke sana, anak saya kerap mengadu diganggu pelajar senior. Pada mulanya saya minta dia bersabar.
“Dia kemudiannya mengadu menjadi mangsa belasahan pelajar senior. Saya sendiri pernah bertemu dengan guru sekolah itu untuk melaporkan kejadian, namun ia seolah-olah tidak diendahkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kulai, semalam.

 

 

Menurut Ayub, anaknya yang tidak tahan akhirnya melarikan diri dari sekolah terbabit.
“Saya terkejut apabila anak akhirnya memaklumkan dia diliwat beberapa kali oleh pelajar senior.

 

“Saya juga bertanya mengapa dia tidak menjerit atau melawan, namun anak menjawab mulutnya ditutup selain diugut supaya tidak memaklumkan kejadian kepada sesiapa,” katanya.
Ayub kemudiannya pergi semula ke sekolah terbabit untuk mengadu dan mendapatkan penjelasan berkaitan kejadian.
Bagaimanapun, Ayub mendakwa, pengurusan sekolah seolah-olah buat tidak tahu dengan perkara terbabit.
Ayub kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 21 April lalu.
Selain laporan polis, Ayub turut mengadukan perkara itu ke Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Johor, Md Nor A Ghani berkata, jika laporan berkenaan memang ada, pihaknya akan membuat siasatan terhadap pelajar serta sekolah terbabit.
“Kami akan jalankan siasatan secepat mungkin. Jika sekolah terbabit berada di bawah pentadbiran kami, maka kami akan mengambil tindakan sesuai,” katanya.