Jerebu: Semua sekolah di KL, Selangor diarah tutup esok – Bernama


Jerebu: Semua sekolah di KL, Selangor diarah tutup esok

 

KUALA LUMPUR 23 Jun – Semua sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan ditutup esok seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel.

Palanivel berkata, beliau akan meminta Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh mengambil tindakan sewajarnya.

“Situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka berada dalam rumah dan memakai topeng jika mereka perlu keluar.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, yang diisytihar sebagai kawasan darurat, mencatat sedikit penurunan dengan bacaan 690 pada 11 pagi tadi berbanding 746 empat jam sebelumnya.

IPU bagi Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka, yang sebelum ini masing-masing mencatat bacaan di tahap bahaya 357 dan 334, meningkat ke 415 dan 428.

Negeri lain yang mempunyai IPU tidak sihat termasuk ibu negara, Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor manakala dua kawasan yang dikategori sebagai mempunyai kualiti udara sihat ialah Sandakan dan Tawau di Sabah. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130623/dn_34/Jerebu-Semua-sekolah-di-KL-Selangor-diarah-tutup-esok#ixzz2X2itd46m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kerajaan Melaka minta sekolah henti sementara aktiviti luar bilik darjah – Bernama


Kerajaan Melaka minta sekolah henti sementara aktiviti luar bilik darjah

 

19/06/2013 8:08pm

 

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka meminta semua sekolah di negeri ini menghentikan aktiviti luar bilik darjah buat sementara waktu berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencatat tahap tidak sihat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron berkata langkah itu bertujuan mengelak pelajar terdedah kepada pencemaran udara yang mampu mengundang pelbagai penyakit, termasuk gangguan sistem pernafasan.

Beliau berkata, sehingga 5 petang tadi, IPU di kawasan bandar raya Melaka serta Bukit Rambai masing-masing mencatat bacaan 161 dan 118.

“Indeks ini adalah amat tinggi dan kita khuatir ia akan terus mencatat bacaan sehingga 200, iaitu pada tahap kualiti udara yang amat tidak sihat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan mendengar taklimat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan taklimat JAS, pencemaran udara di Melaka mengganggu penglihatan pandangan sehingga 10 kilometer serta mengandungi bau kurang menyenangkan seperti bahan terbakar yang boleh mengganggu sistem pernafasan penduduk. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_22.htm#ixzz2Wfj6qBhO
Hakcipta terpelihara