Ibu, empat anak nyaris maut – Sinar Harian


Ibu, empat anak nyaris maut
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Ogos 2013
  • Ibu, empat anak nyaris mautMangsa bersama empat anaknya terselamat dalam kemalangan tanpa sebarang kecederaan.
< 1 / 1 >

PARIT BUNTAR – Kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Ipoh-Butterworth, berdekatan Kampung Sungai Rawa, di sini kelmarin nyaris meragut nyawa seorang ibu bersama empat anaknya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Parit Buntar memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 4.10 petang dan mangsa berusia lingkungan 40an manakala anak-anaknya berusia lingkungan 2 hingga 11 tahun.

Menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari Pusat Bandar Parit Buntar ke Bagan Serai untuk menziarahi abangnya semasa kejadian.

“Kereta jenis Kia Optima dinaiki mangsa bersama anak-anaknya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki dua mekanik yang sendang membelok ke kanan untuk ke sebuah bengkel.

“Kedua-dua kereta terbabit terhumban ke dalam parit berdekatan selepas pelanggaran. Mangsa dan anak-anaknya bernasib baik kerana kereta yang mereka naiki tidak terbalik dan mereka dapat dikeluarkan dari dalam kenderaan dengan bantuan anggota bomba serta orang ramai,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, saksi kejadian, Amran Abu, 24 berkata, dia yang sedang minum di gerai berhampiran tempat kejadian terkejut mendengar bunyi geseran tayar diselangi dentuman kuat sebelum melihat kedua-dua kereta terbabas ke dalam parit.

Katanya, nasib baik kereta yang dinaiki ibu bersama empat anaknya tidak mengalami kerosakan teruk membolehkan mereka di bawa keluar dari kenderaan terbabit tanpa sebarang kecederaan.

“Dua mekanik terbabit juga berjaya merangkak keluar dari kenderaan dengan selamat. Saya mohon pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di tempat kejadian kerana kerap berlaku kemalangan di sini.

“Sudah lebih tiga kemalangan ngeri berlaku di kawasan tersebut dan bagi saya, perlu disediakan papan tanda amaran atau lampu isyarat untuk elak kemalangan berulang,” katanya.

Korban 2 sepupu – Metro


Korban 2 sepupu

 102  0 Google +0  0  0

Percutian lebih 30 ahli keluarga yang berkelah di Sungai Tombungan, di sini, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas selepas cuba menyelamatkan seorang saudara mereka dalam kejadian di Kampung Nawai, Kiulu, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kedua-dua mangsa, Ahmad Ainurrahim Paidi, 19, dan sepupunya, Safardi Paumin, 22, maut apabila gagal menyelamatkan diri ketika cuba membantu seorang lagi sepupu mereka, Adibah Litono, 14, yang hampir lemas.
Difahamkan, aktiviti perkelahan itu disertai lebih lima keluarga dari Kampung Kebayou, Telipok, yang tiba di kawasan perkelahan itu seawal jam 8.30 pagi.

 

Menurut seorang ahli keluarga mangsa, Litono Sohia, 53, ketika kejadian, anaknya, Adibah, bersama beberapa sepupu mereka termasuk kedua-dua mangsa mandi-manda di sungai berkenaan.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya terdengar jeritan anak saya meminta tolong dan terkapai-kapai dalam air.
“Ketika itu, kedua-dua mangsa bertindak menyelamatkan anak perempuan saya, namun mereka pula tenggelam ke dasar sungai,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

 

Katanya, dia segera terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka, namun hanya dapat menyelamatkan Adibah, manakala gagal menyelamatkan dua lagi sepupunya.
“Kami kemudian mendapatkan bantuan orang kampung untuk mencari mangsa di dasar sungai berkenaan,” katanya.

 

Litono berkata, kira-kira sejam kemudian, mayat kedua-dua mangsa ditemui tidak jauh dari tempat kejadian.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 10.21 pagi dan seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, sebaik tiba, kami mendapati kedua-dua mangsa sudah ditemui orang ramai yang membantu di tempat kejadian.
“Operasi ditamatkan sebaik saja mayat ditemui dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Dua remaja hilang dikhuatiri lemas – Sinar Harian


Dua remaja hilang dikhuatiri lemas

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Disember 2012
Dua remaja hilang dikhuatiri lemas
Ahli keluarga mangsa dan penduduk setempat menunggu sehingga mangsa dijumpai.
Muhamad Azhari Suranto
Muhamad Azhari Suranto
Mohamad Hafis Jamuladin
Mohamad Hafis Jamuladin

MERSING – Trip ahli Persatuan Kompang Sinar Perkasa Kampung Rahmat, Batu Pahat, yang berkelah berakhir dengan tragedi apabila dua daripadanya dikhuatiri lemas semasa mandi di Pantai Air Papan, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, mangsa, Mohamad Hafis Jamuladin, 17, dan Muhamad Azhari Suranto, 17, dipercayai ke laut untuk mandi semula selepas menikmati sajian sarapan pagi.

Rakan mangsa, Mohd Fauzi Jelani, 28, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua mangsa itu ke pantai untuk mandi-manda.

“Saya bertiga mandi bersama-sama. Apabila sudah letih, kami membuat keputusan naik ke tepi pantai untuk menikmati makanan yang ada.

“Selesai makan, mereka turun semula ke pantai. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu saya melihat mereka terkapai-kapai seperti meminta pertolongan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Fauzi berkata, dia bersama rakan lain bergegas turun untuk menyelamatkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana ombak kuat dan arus yang deras.

“Salah seorang daripada kami dapat mencapai tangan salah seorang daripada mereka, tetapi cubaan itu tidak berjaya.

“Ketika itu, kami rasa seperti ditarik ke tengah laut dan dengan sekelip mata mereka hilang,” katanya.

Bapa mangsa, Jamuladin Dasuki, 51, berkata, dia menerima panggilan telefon mengenai kejadian yang menimpa anaknya sekitar jam 9.30 pagi.

“Saya terkejut selepas menerima panggilan yang mengatakan anak saya lemas seterusnya segera mendapatkan bantuan ketua kampung untuk menghantar saya ke sana.

“Saya akan menunggu di sini sehingga anak saya ditemui pihak anggota penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat melakukan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa berkenaan.