Ibu, empat anak nyaris maut – Sinar Harian


Ibu, empat anak nyaris maut
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Ogos 2013
  • Ibu, empat anak nyaris mautMangsa bersama empat anaknya terselamat dalam kemalangan tanpa sebarang kecederaan.
< 1 / 1 >

PARIT BUNTAR – Kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Ipoh-Butterworth, berdekatan Kampung Sungai Rawa, di sini kelmarin nyaris meragut nyawa seorang ibu bersama empat anaknya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Parit Buntar memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 4.10 petang dan mangsa berusia lingkungan 40an manakala anak-anaknya berusia lingkungan 2 hingga 11 tahun.

Menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari Pusat Bandar Parit Buntar ke Bagan Serai untuk menziarahi abangnya semasa kejadian.

“Kereta jenis Kia Optima dinaiki mangsa bersama anak-anaknya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki dua mekanik yang sendang membelok ke kanan untuk ke sebuah bengkel.

“Kedua-dua kereta terbabit terhumban ke dalam parit berdekatan selepas pelanggaran. Mangsa dan anak-anaknya bernasib baik kerana kereta yang mereka naiki tidak terbalik dan mereka dapat dikeluarkan dari dalam kenderaan dengan bantuan anggota bomba serta orang ramai,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, saksi kejadian, Amran Abu, 24 berkata, dia yang sedang minum di gerai berhampiran tempat kejadian terkejut mendengar bunyi geseran tayar diselangi dentuman kuat sebelum melihat kedua-dua kereta terbabas ke dalam parit.

Katanya, nasib baik kereta yang dinaiki ibu bersama empat anaknya tidak mengalami kerosakan teruk membolehkan mereka di bawa keluar dari kenderaan terbabit tanpa sebarang kecederaan.

“Dua mekanik terbabit juga berjaya merangkak keluar dari kenderaan dengan selamat. Saya mohon pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di tempat kejadian kerana kerap berlaku kemalangan di sini.

“Sudah lebih tiga kemalangan ngeri berlaku di kawasan tersebut dan bagi saya, perlu disediakan papan tanda amaran atau lampu isyarat untuk elak kemalangan berulang,” katanya.

Mayat pelajar lemas di Pantai Cenang ditemui – Bernama


Mayat pelajar lemas di Pantai Cenang ditemui

2013/06/23 – 15:49:51 PMCetakEmel Kawan
LANGKAWI: Mayat seorang pelajar yang dilaporkan hilang ketika belajar berenang di Pantai Cenang di sini Jumaat lalu ditemui petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harith Kam Abdullah berkata, mayat Muhammad Aizzat Ahmad Nazri, 17, dari Ulu Melaka Langkawi, ditemui tidak jauh dari tempat dia mandi kira-kira 3.45 petang semalam oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian Jumaat lalu Muhammad Aizatt bersama dua lagi rakannya mandi di Pantai Cenang kira-kira 6 petang, dan tiba-tiba arus deras menyebabkan mereka tidak dapat mengawal keadaan.

Dua rakannya dapat diselamatkan orang awam di pantai itu.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Padang Mat Sirat itu kemudian dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

Gerakan mencari dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam. – BERNAMA

Mayat pelajar perempuan jatuh parit ditemui – Utusan


Mayat pelajar perempuan jatuh parit ditemui

SHAH ALAM 18 Mac – Mayat pelajar perempuan yang terjatuh bersama tiga lagi rakannya ke dalam parit besar berhampiran kunci air di Padang Jawa di sini semalam, ditemui petang ini.

Mayat Nur Alisa Balqis Mohd. Zakir, 15, yang merupakan pelajar tingkatan tiga ditemui pada pukul 6.45 petang oleh anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat yang melakukan gerakan mencari sejak semalam.

Tiga lagi rakannya termasuk dua lelaki berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Timbalan Penguasa Bomba, Muhamad Hissam Sidek berkata, mayat mangsa ditemui terapung kira-kira dua kilometer dari tempat dia terjatuh.

Beliau berkata, ketika ditemui mayat mangsa memakai baju T dan seluar jeans.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Zakir Hussin, 40, berkata, dia dan keluarganya reda dengan pemergian anak sulungnya itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, mangsa dan tiga rakannya dikatakan bermain air di kawasan parit besar yang berarus deras sebelum tergelincir dan jatuh.

Dua rakan lelaki mangsa berjaya menyelamatkan diri sementara rakan perempuannya diselamatkan oleh pasukan bomba dengan bantuan orang awam. Mangsa pula hanyut dibawa arus. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130318/je_15/Mayat-pelajar-perempuan-jatuh-parit-ditemui#ixzz2Ny3NgskF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Budak mati jatuh longkang – Berita Harian


Budak mati jatuh longkang

2013/03/12 – 06:03:28 AMCetakEmel Kawan
Johor Bahru: Usaha sekumpulan remaja mengambil bola yang terjatuh dalam longkang, bertukar tragedi apabila seorang murid Tahun Enam tergelincir dan lemas dihanyutkan arus deras ke Sungai Skudai di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku berdekatan rumah pangsa Taman Cempaka di sini kira-kira jam 5.30 petang, ketika mangsa, Abu Hanifah Abu Amir, 12, menyertai 10 rakan lain termasuk abangnya, Rahimidin, 23, bermain bola sepak di padang berdekatan.

Saksi kejadian, Mohammad Fadhil Mujahid, 26, berkata ketika sedang bermain, bola mereka terjatuh ke dalam longkang menyebabkan mereka bergegas ke saliran terbabit.

Katanya, ketika rakan yang lebih dewasa berusaha mengambil bola berkenaan, tanpa disedari mangsa yang turut berada di tepi longkang itu tergelincir.

Sejurus menyedari kejadian itu, kami berusaha membantu mangsa tetapi tidak berhasil kerana keadaan arus longkang yang deras selepas hujan lebat, katanya.

Sukarelawan turut bantu

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata lebih 20 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Unit Skuba, Jabatan Pertahanan Awam, Polis Marin serta sukarelawan membantu dalam operasi mengesan mangsa.
Susulan gerakan mencari dan menyelamat yang dilancarkan polis, mayat mangsa ditemui orang awam yang membantu gerakan itu di sekitar Sungai Skudai, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Ibu mangsa, Rozaini Abdullah, 41, berkata dia tidak menyangka akan kehilangan anak kelapan daripada 11 beradik itu yang kebiasaannya periang.

Terperangkap dalam lumpur – Berita Harian


Terperangkap dalam lumpur

Anggota bomba cuba mengeluarkan kaki kanak-kanak yang terperangkap dalam lubang lumpur di Salak Tinggi, kelmarin.Anggota bomba cuba mengeluarkan kaki kanak-kanak yang terperangkap dalam lubang lumpur di Salak Tinggi, kelmarin.

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menanggung kesakitan selama 30 minit selepas kaki kanannya terperangkap dalam lubang lumpur di Taman Mawar, Salak Tinggi, Sepang, petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang itu berlaku apabila mangsa berusia 10 tahun itu sedang bermain bersama beberapa rakannya sebelum terperangkap ke dalam lubang terbabit.

Panggilan jam 5.55 petang

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan jam 5.55 petang sebelum tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kaki kanan budak lelaki itu terperangkap dalam lubang lumpur hingga paras lutut menyebabkan pihak bomba terpaksa mengorek lubang itu.

“Kita terpaksa mengambil lebih kurang 30 minit mengorek lubang berikutan keadaan hujan lebat sebelum mengeluarkan kanak-kanak itu.

“Pada masa sama, anggota terpaksa menenangkan mangsa yang menangis akibat kesakitan.
“Kanak-kanak itu yang mengalami cedera ringan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Sani, lokasi terbabit semakin berlopak kerana hujan lebat sejak kebelakangan ini menyebabkan kanak-kanak terbabit tidak menyedari keadaan lumpur itu mempunyai lubang besar.

Ibu, tiga anak ditemui rentung – Berita Harian


Ibu, tiga anak ditemui rentung

2013/02/06 – 00:28:12 AM Oleh Jalal Ali Abdul RahimCetakEmel Kawan
Sungai Siput: Seorang ibu bersama tiga anaknya rentung dalam kebakaran rumah sewanya di Taman Bukit Medan di sini, semalam, lima hari selepas suami wanita itu meninggal dunia akibat kanser paru-baru.

Mayat S Jayalatchumy, 45, dan anak lelakinya, R Suhan, 17, serta dua anak perempuannya, Puvaneswary, 21, dan Thilagawati, 23, ditemui di ruang dapur rumah berkembar setingkat oleh anggota bomba.

Mayat ditemui berdekatan antara satu sama lain, termasuk dua mayat dalam keadaan berpelukan.

Kebakaran dipercayai berlaku jam 12.10 tengah malam yang diikuti letupan sehingga mengejutkan penduduk taman berkenaan.

Mayat empat beranak itu ditemui di atas lantai ruang dapur selepas pasukan bomba berjaya memadam kebakaran pada jam 12.57 tengah malam.

Mayat dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.

Suami Jayalatchumy, M Rajan, 48, meninggal dunia, Jumaat lalu. Keluarga itu menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu dirancang oleh mangsa kerana mereka dikatakan terlalu sedih selepas kematian Rajan.

Kita tidak menolak kemungkinan mangsa mengambil tindakan sendiri dan melulu kerana terlalu sedih dengan kematian suami dan bapa mereka beberapa hari lalu.

Apapun, itu satu kemungkinan saja dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut, katanya di sini, semalam.

Bedah siasat ke atas mayat empat beranak itu mengesahkan kematian akibat kebakaran teruk dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Difahamkan, sebelum ini Jayalatchumy membantu suaminya di ladang getah milik mereka. Suhan pula masih bersekolah manakala dua kakaknya tidak bekerja.

Azman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan letupan kuat berpunca daripada tong gas tetapi polis dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Zon Pusat Perak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Pegawai Kanan Bomba I Rushisha Haris, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.16 tengah malam.

Korban 2 sepupu – Metro


Korban 2 sepupu

 102  0 Google +0  0  0

Percutian lebih 30 ahli keluarga yang berkelah di Sungai Tombungan, di sini, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas selepas cuba menyelamatkan seorang saudara mereka dalam kejadian di Kampung Nawai, Kiulu, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kedua-dua mangsa, Ahmad Ainurrahim Paidi, 19, dan sepupunya, Safardi Paumin, 22, maut apabila gagal menyelamatkan diri ketika cuba membantu seorang lagi sepupu mereka, Adibah Litono, 14, yang hampir lemas.
Difahamkan, aktiviti perkelahan itu disertai lebih lima keluarga dari Kampung Kebayou, Telipok, yang tiba di kawasan perkelahan itu seawal jam 8.30 pagi.

 

Menurut seorang ahli keluarga mangsa, Litono Sohia, 53, ketika kejadian, anaknya, Adibah, bersama beberapa sepupu mereka termasuk kedua-dua mangsa mandi-manda di sungai berkenaan.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya terdengar jeritan anak saya meminta tolong dan terkapai-kapai dalam air.
“Ketika itu, kedua-dua mangsa bertindak menyelamatkan anak perempuan saya, namun mereka pula tenggelam ke dasar sungai,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

 

Katanya, dia segera terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka, namun hanya dapat menyelamatkan Adibah, manakala gagal menyelamatkan dua lagi sepupunya.
“Kami kemudian mendapatkan bantuan orang kampung untuk mencari mangsa di dasar sungai berkenaan,” katanya.

 

Litono berkata, kira-kira sejam kemudian, mayat kedua-dua mangsa ditemui tidak jauh dari tempat kejadian.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 10.21 pagi dan seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, sebaik tiba, kami mendapati kedua-dua mangsa sudah ditemui orang ramai yang membantu di tempat kejadian.
“Operasi ditamatkan sebaik saja mayat ditemui dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28

Bangunan SK Kelangsat , Sipitang Musnah Dalam Kebakaran – Bernama


Bangunan SK Kelangsat , Sipitang Musnah Dalam Kebakaran

KOTA KINABALU: Sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan Kelangsat, di Jalan Tenom-Sipitang, kira-kira 55 kilometer dari pekan Sipitang dekat sini musnah dalam kebakaran tengah hari Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendi K.Ramin berkata kebakaran itu melibatkan bangunan yang menempatkan pejabat guru besar dan guru, pantri serta pusat sumber sekolah.

Beliau berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.23 pagi dan sepasukan anggota dengan dua jentera tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian.

“Ketika pasukan bomba tiba, kebakaran yang melibatkan sebuah bangunan sekolah telah terbakar 100 peratus,” katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Mohd Affendi berkata pihaknya turut mengalami kesukaran mendapat maklumat berhubung kejadian itu berikutan tiada liputan komunikasi di lokasi terbabit.

Katanya operasi memadam kebakaran tamat pada 6.22 petang ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA

Dua remaja hilang dikhuatiri lemas – Sinar Harian


Dua remaja hilang dikhuatiri lemas

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Disember 2012
Dua remaja hilang dikhuatiri lemas
Ahli keluarga mangsa dan penduduk setempat menunggu sehingga mangsa dijumpai.
Muhamad Azhari Suranto
Muhamad Azhari Suranto
Mohamad Hafis Jamuladin
Mohamad Hafis Jamuladin

MERSING – Trip ahli Persatuan Kompang Sinar Perkasa Kampung Rahmat, Batu Pahat, yang berkelah berakhir dengan tragedi apabila dua daripadanya dikhuatiri lemas semasa mandi di Pantai Air Papan, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, mangsa, Mohamad Hafis Jamuladin, 17, dan Muhamad Azhari Suranto, 17, dipercayai ke laut untuk mandi semula selepas menikmati sajian sarapan pagi.

Rakan mangsa, Mohd Fauzi Jelani, 28, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua mangsa itu ke pantai untuk mandi-manda.

“Saya bertiga mandi bersama-sama. Apabila sudah letih, kami membuat keputusan naik ke tepi pantai untuk menikmati makanan yang ada.

“Selesai makan, mereka turun semula ke pantai. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu saya melihat mereka terkapai-kapai seperti meminta pertolongan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Fauzi berkata, dia bersama rakan lain bergegas turun untuk menyelamatkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana ombak kuat dan arus yang deras.

“Salah seorang daripada kami dapat mencapai tangan salah seorang daripada mereka, tetapi cubaan itu tidak berjaya.

“Ketika itu, kami rasa seperti ditarik ke tengah laut dan dengan sekelip mata mereka hilang,” katanya.

Bapa mangsa, Jamuladin Dasuki, 51, berkata, dia menerima panggilan telefon mengenai kejadian yang menimpa anaknya sekitar jam 9.30 pagi.

“Saya terkejut selepas menerima panggilan yang mengatakan anak saya lemas seterusnya segera mendapatkan bantuan ketua kampung untuk menghantar saya ke sana.

“Saya akan menunggu di sini sehingga anak saya ditemui pihak anggota penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat melakukan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa berkenaan.

JPN Kelantan putuskan pada Isnin status sekolah terlibat banjir – Bernama


JPN Kelantan putuskan pada Isnin status sekolah terlibat banjir

29 Disember 2012

KOTA BHARU – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan akan memutuskan pada Isnin ini mengenai kedudukan sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir, kata Pengarahnya Hussain Awang.

“Isnin ini akan kita putuskan sama ada sekolah yang terlibat akan dibuka pada Selasa ini atau sebaliknya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini di Tumpat, empat sekolah masih digenangi air manakala tiga sekolah dijadikan pusat pemindahan banjir.

Sekolah yang dinaiki air ialah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong, Sekolah Kebangsaan Telok Jering, dan Sekolah Kebangsaan Beluru, katanya.

Sekolah yang masih dijadikan pusat pemindahan banjir adalah Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1 dan 2 serta Sekolah Kebangsaan Bunohan.    Sehingga petang ini, lebih 1,000 mangsa banjir masih berada di tiga pusat berkenaan.

“Setakat ini, jabatan tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda sekolah yang terjejas itu,” katanya.

Tinjauan Bernama di beberapa sekolah di Rantau Panjang mendapati kakitangan dan guru sibuk membersihkan kelas yang dipenuhi lumpur. Mereka mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menggunakan pam air untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan.

Sementara itu, Zon Bebas Cukai di Pekan Rantau Panjang juga mula dikunjungi orang ramai apabila sebahagian besar premis perniagaan dibuka semula  hari ini

Peniaga kelihatan membersihkan kedai masing-masing setelah pekan itu lumpuh akibat digenangi limpahan air Sungai Golok sejak tiga hari lalu.

Azman Aziz, 47, berkata sebelum ini pekan itu digenangi air sedalam paras lutut namun peniaga bersiap sedia lebih awal untuk mengemas barangan.

“Alhamdulillah, semua barangan saya dan milik peniaga di sini selamat. Kami bersiap lebih awal ketika paras air sungai menghampiri bahaya baru-baru ini,” katanya yang tidak berniaga sejak seminggu lepas.

Orang ramai pula dilihat mengambil kesempatan untuk membeli-belah barangan persekolahan anak-anak mereka.  – Bernama