Gas beracun: 55 pelajar dikejarkan ke hospital
ALOR SETAR 23 April – Seramai 55 orang pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Seri Pantai di Kuala Kedah dekat sini dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kerana disyaki terhidu gas beracun pagi tadi.
Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, mereka terdiri daripada 50 pelajar perempuan dan lima pelajar lelaki.
“Pelajar-pelajar yang dihantar ke hospital oleh ambulans dan ibu bapa sendiri masih ditahan di wad kerana pihak kami masih tidak mengetahui punca sebenar. Jadi kami akan pantau keadaan mereka dahulu sebelum boleh benarkan mereka pulang.
“Pelajar-pelajar ini menunjukkan simptom-simptom seperti sesak nafas dan muntah-muntah tetapi semuanya berada dalam keadaan yang stabil,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Nazri Zakaria berkata, bilik gerakan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.38 pagi dan anggota bomba dari Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian. – BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130423/dn_13/Gas-beracun-55-pelajar-dikejarkan-ke-hospital#ixzz2RI5rWuuB
© Utusan Melayu (M) Bhd