Ibu bapa bawa anak sertai perhimpunan boleh dihukum – Bernama


Ibu bapa bawa anak sertai perhimpunan boleh dihukum

2013/01/11 – 13:13:41 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang membawa anak menyertai perhimpunan yang dianjur pembangkang esok boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia, Datuk Noraini Mohd Hashim, berkata ibu bapa atau penjaga dinasihat tidak membabitkan anak-anak di bawah jagaan mereka dalam aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan seperti menyertai perhimpunan haram.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan boleh diambil mengikut subseksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab akan melindungi dan tidak membahayakan nyawa serta keselamatan kanak-kanak supaya kesejahteraan mereka terjamin.

– BERNAMA

Didera ibu kandung – Sinar Harian


Didera ibu kandung

SITI NOOR SEPEE
28 Mei 2012
Didera ibu kandung
Maniam dan isterinya, Malika menunjukkan salinan laporan polis dan masa waktu bekerja
sebagai bukti dia tiada di rumah pada waktu kejadian.

SKUDAI- Sepasang suami isteri bukan sahaja kecewa apabila dituduh mendera anak sendiri, namun paling mengejutkan apabila anak kedua mereka itu sanggup mereka-reka cerita semata-mata untuk kembali ke pangkuan keluarga angkat.

Pekerja swasta, Maniam (bukan nama sebenar), 41, berkata, anak keduanya, Letchumy (bukan nama sebenar), 13, sanggup bertindak nekad membuat laporan polis mengatakan ibunya, mencederakannya menggunakan senduk panas dalam kejadian pada 18 Mei lalu.

“Di dalam laporan polis berkenaan, dia menyatakan isteri saya mencederakannya pada kejadian jam 8 malam, sedangkan ketika itu dia tiada di rumah dan habis bekerja pada jam 10.30 malam.

“Saya kecewa apabila anak sendiri sanggup melemparkan tuduhan sedemikian.

Kami mempunyai bukti kukuh iaitu salinan punch card isteri, malah pada waktu kejadian, saya juga belum pulang ke rumah kerana bekerja di Singapura,” katanya.

Menurut Maniam, anaknya sebelum ini dipelihara abang dan kakak iparnya di Parit Buntar, Perak sejak berumur tiga bulan kerana isterinya, Malika (bukan nama sebenar), 36, mengalami masalah kesihatan ada masa itu.

“Saya hanya minta tolong mereka jaga untuk sementara waktu, namun apabila saya meminta anak saya kembali, pelbagai alasan mereka berikan sehingga kami terpaksa ambil keputusan ‘melarikan’ anak sendiri pada Januari lalu,” katanya.

Menurut Maniam, dia terpaksa berbuat demikian kerana risau terhadap masa depan anaknya.

“Prestasi pelajaran Letchumy begitu merosot dan saya risau dia terjebak dalam aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Letchumy kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) selepas membuat laporan polis menyatakan Maniam menderanya pada 21 Mei lalu dan ditempatkan di hospital.

“Saya dan isteri isteri tidak akan melepaskan anak kami ke tangan orang lain.

Kami masih ibu bapa kandung Letchumy dan kami tetap menyayanginya,” katanya.

Semalam, Maniam dan isterinya terpaksa tampil membuat kenyataan bagi membuktikan mereka tidak bersalah mendera Letchumy seperti yang dipaparkan di sebuah akhbar berbahasa Tamil kelmarin.