Salah Seorang Daripada Dua Beradik Hilang Pernah Adakan Hubungan Seks Dengan Teman Lelaki Nepal – Polis – mStar


Salah Seorang Daripada Dua Beradik Hilang Pernah Adakan Hubungan Seks Dengan Teman Lelaki Nepal – Polis

Oleh SHAUN HO

KLANG: Salah seorang adik-beradik yang dilaporkan hilang pada Khamis lepas telah mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya, warga Nepal.

Ketua Polis Klang Selatan Mohamed Mat Yusop berkata pemeriksaan perubatan menunjukkan tanda-tanda hubungan seks pada Chen Poh Choo, 15.

“Kami percaya gadis mengadakan hubungan seks dalam tempoh kehilangannya.

“Kami telah menahan seorang lelaki Nepal berusia 32 tahun yang dipercayai menjadi teman lelakinya,” katanya dalam satu sidang akhbar, Selasa.

Mohamed berkata teman lelakinya adalah seorang pekerja am di pusat beli-belah di Klang dan akan direman selama dua minggu.

Dia akan disiasat di bawah Akta Imigresen dan Rogol Berkanun.

“Adik-beradik itu masih di hospital dan akan diserahkan kepada keluarga mereka hari ini atau esok.

“Jika mereka masih enggan untuk kembali, saya akan rujuk mereka kepada Jabatan Kebajikan,” tambah beliau.

Sebelum ini dilaporkan Poh Choo dan adiknya Poh Fong, 13, telah hilang sejak Khamis lalu.

Polis menemui mereka di rumah teman lelaki di Taman Sentosa di sini pada pukul 2 petang, Isnin.

Mohamed berkata siasatan mendedahkan mereka lari bersama teman lelaki.

“Kami percaya adiknya juga mempunyai teman lelaki Nepal.

“Mereka bertemu lelaki warga asing pada Disember dan telah keluar dengan mereka sebanyak empat kali sebelum mereka melarikan diri,” katanya.

Terpaksa catu makanan anak – Sinar Harian


Terpaksa catu makanan anak

SYAMILAH ZULKIFLI
21 Oktober 2012
Terpaksa catu makanan anak
Patima bersama tiga anaknya yang berusia antara 5 dan 10 tahun.

SEREMBAN – “Kita orang susah,” jawab Patima Bee Bee Athamsa, 40, setiap kali anaknya bertanya kenapa dia tidak ke sekolah sama seperti kanak-kanak lain sebaya dengannya.

Patima terpaksa memberi alasan itu untuk menenangkan hati anaknya berikutan dihimpit kesusahan selepas kematian suami, Ogos lalu.

Lebih menyedihkan, Patima juga seorang kurang upaya (OKU) selepas mengalami kecacatan kekal pada kedua belah tangannya akibat tersepit pada mesin ketika bekerja di sebuah kilang, 20 tahun lalu.

Disebabkan mahu berjimat, Patima terpaksa mencatu makan anak-anaknya walaupun jauh di sudut hati, dia tidak sampai hati berbuat demikian.

“Kadang-kadang saya terpaksa mencatu makanan anak saya kerana perlu berjimat.

“Setakat ini, makanan paling mewah untuk kami anak-beranak pun hanya mi segera dan bubur nasi sahaja. Kadang-kadang anak saya minta ayam goreng, tapi saya terpaksa bagitahu mereka, kita tidak ada duit,” katanya.

Menurutnya, dia bagaikan hilang arah memikirkan masa depan bersama anak-anak selepas kehilangan tempat bergantung.

“Selama ini suamilah tempat saya dan anak-anak bergantung. Bila dia sudah tiada, kehidupan sangat perit dan perlu membesarkan tiga orang anak yang masih bersekolah.

“Dua anak saya berusia lima dan enam tahun sepatutnya sudah boleh dihantar ke prasekolah. Tapi saya tidak ada duit menyebabkan hasrat mereka untuk belajar sama seperti kanak-kanak lain terpaksa dilupakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Murah Kerajaan Dusun Nyior, dekat sini, semalam.

Patima berkata, buat masa ini, dia hanya mengharapkan bantuan ahli keluarga terdekat, selain bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, katanya, ia tidak mencukupi kerana perlu membayar sewa rumah RM280 sebulan, selain bil air dan elektrik.

Terdahulu, Patima menerima kunjungan daripada Persatuan Kebajikan dan Keharmonian Masyarakat Negeri Sembilan (PKKMNS)

Pengerusi PKKMNS, Amir Hamzah Ahmad berkata, pihaknya telah memanjangkan nasib dihadapi Patima kepada pihak JKM untuk tindakan lanjut.

“Kita simpati dengan Patima yang dihimpit kesusa-han. Saya sudah berbincang dan memohon JKM agar menaikkan jumlah bantuan bulanan diterimanya dan kita masih menunggu.

“Bagi masalah lain, saya akan cuba bantu setakat yang mampu. Kita harap mana-mana pihak yang simpati dan inginkan membantu bolehlah menghulurkan bantuan,” katanya.

Suami isteri disyaki dera tiga anak guna kayu hoki – Bernama


Suami isteri disyaki dera tiga anak guna kayu hoki

26 April 2012

 

JOHOR BAHRU – Polis menahan sepasang suami isteri rakyat Singapura dua hari lepas kerana dipercayai mendera tiga anak mereka di Kampung Melayu, Gelang Patah, di sini. Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata bapa kandung dan ibu tiri berumur 40 dan 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang di rumah mereka di kampung tersebut selepas polis menerima laporan mengenai jenayah berkenaan pada pukul 11 pagi, hari yang sama.

“Laporan polis dibuat oleh mangsa, seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun dengan ditemani guru sekolahnya. Turut dipercayai menjadi mangsa dera itu adalah seorang adik perempuannya yang berumur 12 tahun dan adik lelaki berumur lapan tahun,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini hari ini.

Noor Hashim berkata mengikut keterangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah itu, ketiga-tiga mereka menetap di rumah berkenaan bersama ayah kandung dan ibu tiri yang merupakan guru muzik, sejak tahun 2007. Beliau berkata mereka tidak pernah berhubung dengan ibu kandung sejak berlakunya penceraian ibu bapa mereka, malah mereka sering dipukul dengan kayu hoki dan ditampar sehingga kejadian yang sama berulang pada Ahad dan Selasa lepas.
Katanya kedua-dua beradik perempuan itu turut dibotakkan kepala dan mengalami kesan lebam di beberapa bahagian badan, bagaimanapun, adik lelaki mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis berjaya merampas sebatang kayu hoki di rumah berkenaan dan pasangan terbabit kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Ketiga-tiga mangsa pula dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Dalam kes lain, Noor Hashim berkata pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan pecah rumah di sekitar bandar raya ini selepas menahan lima lelaki di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini, di sini semalam.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 35 hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari selepas bilik gerakan IPD Nusajaya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan berlakunya kejadian pecah rumah di Jalan Bakti 56, perumahan terbabit.

Katanya polis tiba di rumah tersebut lima minit kemudian dan merampas pelbagai barangan serta peralatan pecah rumah daripada suspek termasuk dua kereta curi, 14 telefon bimbit, televisyen plasma, beg tangan, minuman keras dan kuku kambing.

Katanya kesemua lelaki yang dipercayai terlibat dengan sembilan kes pecah rumah sejak tujuh bulan lepas itu kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — Bernama