Bajet: RM1.2b untuk pendidikan prasekolah – Bernama


Bajet: RM1.2b untuk pendidikan prasekolah

28 September 2012

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1.2 bilion akan disediakan  kepada pelbagai agensi kerajaan sebagai platform melengkapkan kanak-kanak dengan pendidikan prasekolah berkualiti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Agensi berkenaan termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional yang terbabit secara langsung dalam menyediakan pendidikan prasekolah.

“Sebagai tambahan, RM380 juta akan disediakan kepada Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga mencadangkan beberapa insentif untuk memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di samping membangunkan perkembangan minda yang positif.

Beliau berkata insentif itu termasuk geran pelancaran RM10,000 kepada Pusat Pendidikan Awal Pendidikan Kanak-Kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baharu yang berkualiti.

Kira-kira 1,000 pusat ECCE swasta baharu akan mendapat manfaat daripada insentif itu, katanya.

Najib berkata majikan juga akan diberikan potongan cukai dua kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

“Ketiga, pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta.

“Keempat, pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh lima tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberikan kepada pengusaha prasekolah swasta,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan projek perintis bagi Taska OKU (prasekolah kanak-kanak kurang upaya) bagi enam kategori kanak-kanak iaitu sindrom down, autisme, buta atau cacat penglihatan, pekak dan bisu,  kurang upaya fizikal dan OKU masalah pembelajaran. – Bernama

‘Kami nak raya sama mama, abah’ – Sinar Harian


‘Kami nak raya sama mama, abah’
NORHAFIZA MUSA
26 Julai 2012

Abd Ghani (duduk tengah) bersama empat cucunya diraikan dalam majlis berbuka puasa oleh Great Clean Servis di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong, semalam.
KUALA TERENGGANU – Tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang anak melainkan dapat menyambut hari raya bersama kedua ibu bapanya. Namun harapan itu hanya tinggal kenangan bagi empat beradik yang berasal dari Pulau Duyong ini setelah ditinggalkan ibu bapa mereka.

Apalah yang difahami Kamarul Hamizan Ahmad Kamal, 10, Nur Balqis, 8, Fatin Nurzalia, 5 dan Faris Fauzan, 4 akan erti hidup berkeluarga apabila mereka dipaksa menerima kenyataan membesar sebagai ‘anak yatim piatu’ biarpun kedua ibu bapa mereka masih hidup.

Biarpun pilu melihat kanak-kanak lain mempunyai tempat mengadu dan bermanja namun jiwa luhur mereka bagi menggantung harapan untuk beraya bersama ibu bapa tersayang.

Lebih malang, apabila datuk mereka, Abd Ghani Jusoh, 64 yang bekerja sebagai nelayan terpaksa melepaskan hak penjagaan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dua tahun lalu kerana faktor usia dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Sejak itu, empat kanak-kanak tersebut menghuni Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi di Teluk Ketapang, Seberang Takir bersama keluarga angkat.

“Saya ingin beraya bersama abah dan mama, kami sangat rindukan mereka. Rabu lepas, abah ada datang jumpa kami, dia pesan supaya kami belajar bersungguh-sungguh dan jadi orang baik,” kata Kamarul Hamizan yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu.

Mereka ditemui Sinar Harian ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama datuknya yang dianjurkan Great Clean Servis di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong.

Sementara itu, kata Abd Ghani, bukan niatnya untuk tidak mahu menjaga cucunya tetapi dia mengalami masalah kesihatan dan kurang mampu dari segi kewangan.

“Tinggal di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi makan minum lebih terurus dan ada yang menjaganya. Saya memang tidak mampu untuk menjaga mereka. Bukan hanya tidak mampu sediakan makan dan minum tetapi juga tidak mampu menjaga mereka kerana masalah kesihatan.

“Dengan usia mereka sekarang, sangat lasak terutama yang kecil tidak mampu dijaga dengan kudrat yang ada,” katanya.

Katanya, demi masa depan mereka, dia terpaksa mengambil keputusan begitu kerana jika ingin meminta bantuan anak yang lain, mereka juga ada masalah kewangan dan tidak mampu untuk menyara mereka.

Walaubagaimanapun, sekali-sekala dia akan menjenguk cucunya itu untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu.

“Jika ada kenduri atau pada hari raya saya akan membawa pulang untuk beraya bersama mereka,” katanya.

Walaupun begitu, Abd Ghani tidak akan membenarkan sama sekali empat cucunya itu dipisahkan.

“Jika ada yang ingin mengambil anak angkat mereka perlu mengambil kesemua mereka, jika tidak, tak payahlah,” katanya.

Sinar Harian difahamkan bapa kepada kanak-kanak ini dikatakan sering keluar masuk pusat pemulihan manakala ibu mereka tidak dapat dikesan sejak dua tahun lalu.

Awasi tabiat makan anak-anak – Sinar Harian


Awasi tabiat makan anak-anak
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Jun 2012

Tahir menurunkan tandatangan sebagai simbolik melancarkan Mini Karnival
Pemakanan Sihat Komuniti Pagoh di Dataran Gersik dekat sini, baru-baru ini.
LEDANG – Ibu bapa dan pengusaha tadika diminta menyediakan diet yang sihat untuk kanak-kanak bagi menggalakkan pertumbuhan yang baik dari segi mental dan fizikal mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat berkata, mereka juga perlu menghalang anak-anak daripada makan makanan ringan secara berlebihan yang boleh menyebabkan obesiti dan pertumbuhan tidak seimbang.

Menurutnya, bayi dan kanak-kanak prasekolah harus diberikan formula pemakanan yang sihat dan lengkap dengan nutrisi seimbang termasuk susu bagi memastikan mereka memperoleh diet sihat untuk membesar.

“Kita sering berasa gembira apabila lihat kanak-kanak montel dan menyangka mereka sihat, tetapi sebaliknya.

“Montel bermakna bayi atau kanak-kanak ini mengalami masalah lebihan berat badan,” katanya ketika berucap melancarkan Mini Karnival Pemakanan Sihat Komuniti Pagoh di Dataran Gersik dekat sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata, diet dan gaya hidup sihat sentiasa diperlukan sepanjang masa.

“Tabiat pemakanan yang sihat akan menggalakkan pertumbuhan fizikal dan mental yang baik dalam kalangan kanak-kanak, secara tidak langsung dapat meningkatkan pembangunan rohani serta intelek.

“Saya menyambut baik penganjuran karnival ini kerana dapat memberi pendedahan kepada penduduk kampung berkaitan kepentingan diet sihat,” katanya.

Katanya, karnival tersebut juga melibatkan perbincangan mengenai pemakanan dan gaya hidup sihat serta acara sukan berorientasi keluarga.

Terdahulu Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Johor, Kapten (B) Abdul Rahim Mohd Salleh berkata, penganjuran karnival berkenaan bertujuan untuk mempromosikan cara pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.

“Jabatan telah memutuskan untuk menganjurkan sembilan karnival yang sama tahun ini dan Pagoh menjadi tuan rumah ketiga selepas Ledang dan Kota Tinggi,” katanya.