37 murid keracunan – Sinar Harian


37 murid keracunan

NORMAWATI ADNAN
24 Julai 2013
37 murid keracunan
Adun Buntong, A Sivasubramaniam turut melawat mangsa keracunan.

BUNTONG – Seramai 37 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Guru Kalgidar, di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Buntong setelah mengadu sakit perut dan muntah dipercayai keracunan makanan.

Kejadian membabitkan murid tahun satu hingga enam itu dikesan berlaku selepas semua murid mengambil makanan di kantin sekolah pada waktu rehat kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Exco Kerajaan Negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, semua murid yang menerima rawatan sebagai pesakit luar itu mengaku sakit perut, muntah, pening dan cirit-birit antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan Jabatan Kesihatan mendapati, kemungkinan gejala itu berpunca daripada sejenis makanan dikenali sebagai idli iaitu makanan tradisi masyarakat India yang diperbuat daripada tepung beras yang dikukus.

“Kita syak semua murid ini telah dijangkiti bakteria bacillus cereus yang terdapat dalam makanan itu, sampel makanan sudah diambil untuk tujuan ujian makmal dan kita akan tunggu laporan seterusnya,” katanya.

Menurutnya, arahan penutupan kantin sekolah sudah dilakukan serta-merta.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan, sekolah berkenaan hanya memperoleh 62.1 peratus terhadap penilaian pendidikan kesihatan kepada murid sekolah dan guru.

“Saya agak kecewa kejadian seperti ini boleh berlaku.  Kita tidak akan teragak-agak untuk menyenarai hitamkan pengendali kantin yang didapati bersalah,” katanya.

Daripada laporan yang diterima daripada Jabatan Kesihatan negeri, 36 murid mengalami sakit perut, muntah (27), pening (10), cirit-birit (10), dan semua murid dibenarkan pulang pada jam 1.30 petang, semalam.

Sinar Harian difahamkan, sekolah berkenaan terpaksa menumpang gerai makanan luar untuk dijadikan kantin berikutan ketiadaan kemudahan itu.

Pegawai Khas Menteri Besar, C Sivaraj berkata, perkara itu berlaku berikutan jumlah murid yang sedikit iaitu seramai 97 orang.

Katanya, pihaknya sebelum ini ada menyarankan agar dibina kantin, namun timbul masalah pemilikan tanah apabila pihak swasta tidak membenarkan sebarang binaan kekal dibuat di kawasan itu.

Menjerit minta pertolongan ibu – Metro


Menjerit minta pertolongan ibu

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: “Tolong! Tolong!” jerit Abdul Rahman Mohd Ridhwan, 7, antara 50 peserta Majlis Berkhatan Beramai-ramai di Management & Science University (MSU), di sini, semalam yang meminta pertolongan ibunya, Mazhatul Susinaz Mohd Ali, 40, apabila tiba gilirannya untuk dikhatankan.

Anak keempat daripada enam beradik itu pada mulanya enggan dikhatankan kerana takut, namun akur selepas teringat janji bapanya, Mohd Ridhwan Abd Yazid, 40, yang mahu membelikannya ais krim Tutti Frutti.
“Apabila tiba waktu dikhatankan, saya sangat takut, jadi saya jerit minta tolong kepada ibu. Kemudian saya teringat bapa berjanji belikan ais krim Tutti Frutti selepas sembuh nanti. Itu yang buat saya berani,” katanya ketika ditemui. Turut dikhatankan abangnya, Mohd Luqman, 8, yang berazam menjadi lelaki dewasa selepas berkhatan. Abdul Rahman berkata, seperti juga adiknya, dia pada mulanya enggan berkhatan kerana takut, namun bersetuju selepas melihat lelaki dewasa boleh bersembahyang di belakang imam.

 

“Hari ini (kelmarin) saya sudah berkhatan. Apabila sembuh nanti saya akan sembahyang di belakang imam kerana saya sudah menjadi lelaki dewasa, bukan budak-budak lagi,” katanya.
Dua beradik itu juga berjanji menjadi lelaki yang baik dan mendengar kata ibu bapa mereka.
Terdahulu program anjuran Fakulti Sains Kehidupan dan Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Profesional itu dirasmikan Presiden MSU, Profesor Datuk Wira Dr Mohd Shukri Abdul Yajid.

 

 

Ia turut disertai kanak-kanak yang juga penghuni pelbagai rumah kebajikan seperti Rumah Anak Yatim Baitul Fitrah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jinjang, komuniti setempat di Shah Alam serta anak-anak pekerja universiti itu.
Program berkenaan adalah acara tahunan MSU dan kali kedua diadakan dengan dibantu oleh 58 pensyarah serta pelajar fakulti itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03

Mogok lapar, bangunan sekolah tidak dibina – Sinar Harian


Mogok lapar, bangunan sekolah tidak dibina

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 September 2012
Mogok lapar, bangunan sekolah tidak dibina
Ibu bapa melakukan demonstrasi aman di hadapan sekolah terbabit.

KUALA PILAH – Hasrat lebih 200 ibu bapa murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kuala Pilah untuk melihat bangunan sekolah baru dibina masih lagi kabur apabila permohonan mereka dipandang sepi.

Malah rata-rata mereka melahirkan rasa kecewa dan menuntut pembinaan bangunan baru sekolah itu demi masa depan anak-anak mereka.

Jika pihak berkaitan tidak mengambil serius perkara itu, ibu bapa SJKT ini akan membuat mogok lapar dan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Sekolah yang dibina sejak 1954 itu hanya mempunyai keluasan tanah 0.2 hektar sahaja sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa kepada 183 murid.

Pelbagai masalah timbul seperti ruang bilik darjah sangat sempit dan tidak menepati skala ditetapkan, malah lebih mengecewakan tandas pelajar serta guru terlalu hampir dengan bilik darjah sekali gus mengundang bau busuk.

Bapa, T Paramanathan, 45, berkata, kedudukan bilik darjah tahun enam dan prasekolah juga terlalu dekat dengan kantin sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa kerana terlalu bising.

“Murid tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana keadaan yang sangat bising selain bilik darjah yang sempit. Di samping itu, pencahayaan bilik darjah juga berkurangan dan kadangkala terpaksa memasang lampu meskipun waktu siang.

“Pihak Jabatan Kesihatan juga mengesahkan ke semua bilik darjah tidak menepati spesifikasi kecerahan kelas. Justeru itu, perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” katanya.

Menurutnya, isu tanah dan pembinaan bangunan baru SJKT itu sudah dipanjangkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), pemimpin kawasan, MIC, Menteri Besar Negeri Sembilan dan kepada Perdana Menteri.

“Meskipun kami berusaha memanjangkan perkara ini kepada pihak berkaitan, namun isu terbabit masih belum ada jalan penyelesaian yang membanggakan.
“Kami (ibu bapa) dan masyarakat India, di sini berasa amat kecewa dan bimbang dengan masa depan anak-anak kami,” katanya.

Paramanathan berkata, baru-baru ini, pihak Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan dan unit pembangunan dari Putrajaya serta JPNS berkunjung ke SJKT terbabit.

“Mereka memberitahu kepada kami mengenai tiga perkara iaitu sekolah ini tidak dapat dibina pada masa sekarang dan berkemungkinan pada 2014 atau 2015. Sekolah ini juga tidak akan dibina pada tapak sedia ada dan berpindah ke kawasan lain.

“Selain itu, sumbangan Community Chest dari Genting Highland sebanyak RM1.5 juta tidak akan dibenarkan untuk digunakan bagi pembinaan bangunan baru sekolah tersebut. Kami amat kecewa di atas jawapan yang diberikan oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, N Gayatir, 26, berkata, dia juga tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan  pihak berkaitan.

“Saya tidak mahu sekolah ini dibina di tempat lain kerana ia akan menyusahkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka.

“Saya pernah bersekolah di sini, memang sehingga kini tiada perubahan langsung dan ia sama sahaja sejak dibina pada 1954. Saya difahamkan, semua tapak sekeliling sekolah dibeli oleh pihak swasta dan hanya satu-satu sahaja tapak sekolah milik kerajaan. Jika tempat ini dibangunkan, sekolah ini bagaimana pula statusnya?,” katanya.

Manakala, M Tamilselvan, 48, berkata, pihak berkenaan perlu memandang serius perkara itu.

“Pihak kerajaan khususnya perlu membantu kami kerana kami mengundi mereka. Jika kebajikan masyarakat India tidak dibela, siapa lagi kami mahu minta pertolongan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Senawang, P Gunasekaran berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada JPNS berhubung masalah lokasi sebenar tanah dan peruntukan yang dikhaskan untuk SJKT.

“Saya sudah menghantar surat pada 2010 kepada JPNS selaku wakil kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah ini. Saya menegaskan, pihak berkaitan perlu tampil ke hadapan untuk memberitahu lokasi sebenar ,” katanya.

Katanya, pihak kerajaan perlu memandang serius perkara itu supaya ibu bapa tidak rasa terabai dan tertipu.

Kehidupan aneh empat beranak, takut bertemu orang ramai – Sinar Harian


Kehidupan aneh empat beranak, takut bertemu orang ramai
WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Jun 2012
SIK – Empat beranak dari Kampung Relong, Jeneri di sini dilihat melalui kehidupan yang aneh termasuk takut berhadapan dengan orang ramai.

Mereka terdiri daripada Sanah Mat, 46, dua anak perempuannya Mek Ah Ahmad, 15, Siti Musliha Ahmad, 14, dan anak lelaki Mohd Firdaus Ahmad, 10.

Mereka dikatakan takut berhadapan orang ramai terutama yang tidak dikenali dan boleh bertindak melarikan diri ke dalam hutan berdekatan rumah mereka.

Mohd Firdaus pula dikatakan gemar memanjat dan tinggal di atas pokok walaupun ketika waktu malam, lapor Bernama.

Kesemua kanak-kanak itu tidak pernah bersekolah. Menyulitkan lagi keadaan, suami Sanah, Ahmad Ali, 54, yang tidak mempunyai sebarang kerja tetap kini tidak boleh bercakap dipercayai akibat mengidap demam panas.

Keluarga ini hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Tinjauan Bernama mendapati mereka masih menggunakan dapur kayu untuk memasak serta mengunakan air telaga yang digali oleh Jabatan Kesihatan.

Rumah mereka merupakan hasil bantuan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin.

Namun masalah mereka mendapat perhatian Pergerakan Pemuda Umno bahagian Sik.

Ketuanya Mahadzir Abd Hamid berkata pihaknya akan turut mengadakan program gotong-royong memperbaiki rumah keluarga itu dengan bantuan 20 anggota Kelab Kembali Bersinar selain kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Sik.

Beliau memohon anggota masyarakat dan jabatan kerajaan yang berkaitan membantu keluarga berkenaan.

Orang ramai yang berhasrat menyalurkan bantuan boleh berhubung dengan Mahadzir di talian 013-52833582.

Sekolah diserang ulat bulu – Sinar Harian


Sekolah diserang ulat bulu

SYAMILAH ZULKIFLI
5 Mac 2012
ulat bulu

SEREMBAN – Serangan ulat bulu di sebuah sekolah rendah di Senawang, dekat sini sejak dua minggu lalu merisaukan ibu bapa.

Kejadian disedari seorang daripada ibu bapa terbabit yang datang ke sekolah berkenaan untuk membuat uru­-san pembayaran yuran anaknya.

Md Sani Mohd Shah, 35, berkata, sewaktu tiba di sekolah berkenaan, dia terkejut melihat ulat bulu bersaiz tiga hingga lima sentimeter bewarna hitam dalam jumlah yang banyak di bahagian parkir sekolah berkenaan.

“Minggu lalu, saya ke sekolah untuk membuat urusan pembayaran yuran bagi tiga orang anak saya.

“Saya terkejut sebaik sahaja melihat banyak ulat bulu merayap di sepanjang jalan di kawasan parkir sekolah. Saya bertanya kepada seorang gu­-ru di sekolah itu dan dia sendiri mengesahkan serangan ulat bulu terbabit sudah berlaru­-tan dua minggu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, guru terbabit mengakui ada pelajar dan guru yang terpaksa mendapat rawatan selepas mengalami gatal-gatal.

“Walaupun perkara itu tidak begitu serius, namun perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia dikuatiri mengundang keadaan lebih buruk yang boleh menjejaskan kesihatan pelajar,” katanya.

Sementara itu, seorang penjaga yang tidak mahu dikenali berkata, dia pada awalnya tidak percaya perkara itu selepas diberitahu anaknya, bagaimanapun terkejut ketika datang ke sekolah itu.

“Setakat ini anak saya belum lagi mengadu gatal-gatal, tapi saya bimbang jika perkara ini tidak dipandang serius ia akan berlarutan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, pihak sekolah sudah membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pertanian untuk mengambil tindakan menyembur racun.

Bagaimanapun, ulat bulu terbabit masih wajud dan menganggu seluruh warga sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan, Datuk Dr Zailan Datuk Adnan dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Zabidi Dun ketika dihubungi berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenai masa­lah itu, tetapi kemungkinan ia diselesaikan di peringkat daerah.

ILI: Belum ada sekolah ditutup – Metro


ILI: Belum ada sekolah ditutup

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: “Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat mengenai penutupan sekolah di negeri ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.

Beliau mengulas mengenai dakwaan ada beberapa sekolah di negeri ini ditutup berikutan penularan penyakit seiras influenza (ILI).
Menurut Shamsulkahar, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu, malah tiada arahan penutupan daripada Kementerian Pelajaran.

 

“Namun, kita akan sentiasa berwaspada dengan wabak berbahaya itu dengan melakukan pemantauan bersama Jabatan Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, pengawasan tahap kesihatan pelajar sentiasa dipantau dan pihaknya berharap tiada penularan wabak ILI berlaku di negeri itu.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang arahan penutupan sekolah.

 

 

Di Melaka, Pemangku Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Dul Hadi Mat Junid berkata, jumlah pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah (SMSMS), yang dijangkiti penyakit menyamai ILI berkurangan kepada 35 orang sehingga semalam dan keadaan dilaporkan bertambah baik.
“Tiada penutupan sekolah, di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah juga sekolah tidak ditutup, tetapi pelajar terbabit hanya dikuarantin. Keadaan bertambah baik dengan hanya dua kes dikesan semalam (kelmarin), manakala jumlah pelajar dikuarantin berbaki 35 orang,” katanya.

 

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak mengeluarkan sebarang cadangan penutupan sekolah kepada jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Lebih 2,000 TASKA tidak berdaftar dengan JKM – Bernama


Lebih 2,000 TASKA tidak berdaftar dengan JKM

2012/01/25

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,077 pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di seluruh negara belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga akhir tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) jabatan itu, Noraini Mohd Hashim, berkata sehingga kini hanya 770 TASKA di seluruh negara yang berdaftar dengan jabatan dan angka itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah yang belum berdaftar.

“Kami tidak faham kenapa ramai pengusaha tidak mahu mendaftar dengan JKM sedangkan mereka tahu banyak faedah akan diperoleh jika berdaftar dengan jabatan,” katanya di sini.

Noraini berkata, pendaftaran dengan JKM bukan sahaja memudahkan penyaluran bantuan daripada kerajaan, tetapi memastikan semua pengasuh mempunyai latihan yang sewajarnya terutama dalam menjaga kanak-kanak.

“Sebab itu kalau kita tengok kebanyakan kes kanak-kanak meninggal dunia dan kes keganasan adalah daripada TASKA yang tidak berdaftar sebab pengasuhnya ada yang tidak terlatih,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata masyarakat harus berhenti menyalahkan JKM kerana tidak meluluskan pendaftaran sesebuah TASKA sehingga menyebabkan banyak yang beroperasi tanpa kelulusan.

Katanya, sesebuah TASKA yang ingin berdaftar dengan JKM perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada tiga agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kebanyakannya sangkut di peringkat PBT kerana kawasan yang dipilih tidak sesuai maka kami tidak boleh luluskan pendaftaran mereka sebab ini soal keselamatan kanak-kanak, jadi kami tidak akan kompromi,” katanya.

Noraini turut menasihatkan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke TASKA supaya memeriksa status pusat berkenaan sama ada ia berdaftar dengan JKM atau sebaliknya.

“TASKA yang berdaftar dengan JKM kita bagi sijil untuk mereka pamer, jadi ibu bapa perlu periksa terlebih dahulu supaya kalau terjadi perkara tidak diingini, kita boleh ambil tindakan,” katanya. – BERNAMA