Asrama di SMA Kunak akan dibina – Bernama


Asrama di SMA Kunak akan dibina
29 Julai 2013
< 1 / 0 >

TAWAU – Sebuah asrama baharu tiga tingkat bagi Sekolah Menengah Agama Kunak akan dibina segera bagi menggantikan bangunan asrama sementara sekolah itu yang musnah dalam kebakaran awal bulan ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Arifin Mohd Arif berkata bangunan asrama baharu itu yang dilengkapi dengan kemudahan dapur itu akan dibina di atas tapak asrama lama yang  musnah dalam kebakaran pada 2010.

“Apabila siap, asrama itu boleh menampung antara 150 hingga 180 pelajar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Arifin turut melawat sekolah itu hari ini dan diberikan taklimat mengenai sekolah itu oleh pengetuanya Mambang Yusuf Rafael.

Menurut Arifin, buat sementara waktu beberapa kelas digunakan pelajar sekolah itu sebagai tempat penginapan dan sebahagian pelajar lagi akan dipindahkan sementara waktu ke beberapa Sekolah Menengah Agama Negeri yang lain.

Asrama asal Sekolah Menengah Agama Kunak yang menempatkan pelajar lelaki terbakar pada tahun 2010 sebelum digantikan dengan asrama sementara pada tahun 2011. Bagaimanapun, asrama sementara berkenaan turut musnah dalam kebakaran awal bulan ini. – Bernama

Pendidikan: Kerajaan peruntuk RM45 juta – Bernama


Pendidikan: Kerajaan peruntuk RM45 juta

20 Jun 2013

KOTA KINABALU – Kerajaan memperuntukkan lebih RM45 juta untuk membantu sekolah Cina dan swasta di negeri ini bagi tempoh 2009 hingga tahun lepas, kata Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri Datuk Teo Chee Kang.

Beliau berkata untuk 2009 sebanyak RM10 juta disalurkan, manakala pada 2010 (RM12,129,800), 2011 (RM11,129,830) dan 2012 sebanyak RM12,415,000.

“Kerajaan menyediakan peruntukan ini bagi meringankan beban kewangan sekolah-sekolah Cina dan swasta dan ia diberi sebagai subsidi dan bukan untuk menampung sepenuhnya perbelanjaan yang diperlukan,” katanya menjawab soalan Dr Hiew King Cheu (DAP-Luyang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Di samping itu kata Teo, bantuan kewangan yang diberi disalur terus kepada sekolah-sekolah berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan lagi kecemerlangan kualiti pendidikan sekolah cina di Sabah.

Teo berkata walaupun bidang pendidikan tanggungjawab kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga prihatin terhadap kebajikan semua lapisan rakyat di negeri itu termasuk masyarakat Cina.

Sehubungan itu, katanya Menteri Tugas-Tugas Khas diberi tanggungjawab untuk menangani hal ehwal masyarakat Cina terutama yang berkaitan hal-hal pendidikan.

“Bagi memastikan semua bentuk bantuan, baik dalam bentuk geran atau pemberian langsung daripada kerajaan kepada sekolah-sekolah Cina dan swasta di negeri ini dapat diselaraskan dengan baik dan berkesan, maka jawatan pengerusi jawatankuasa pemberian kerajaan kepada sekolah-sekolah Cina dan swasta diletakkan di bawah tanggungjawb Menteri Tugas-Tugas khas,” katanya. – Bernama