Sumbang mahram: Abang dipenjara 15 tahun, 3 sebatan – Bernama


Sumbang mahram: Abang dipenjara 15 tahun, 3 sebatan

28 Mac 2013

PETALING JAYA – Seorang abang dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan sumbang mahram terhadap adik kandung perempuannya yang berusia 15 tahun ketika itu, tujuh tahun lepas.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki yang berusia 24 tahun itu, setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan sumbang mahram dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 Mac lepas.

Lelaki tersebut yang bekerja di sebuah pasar raya, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di sini, antara Oktober 2006 hingga November tahun sama, dan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, pada waktu kejadian, mangsa telah dirogol oleh tertuduh dan hasil hubungan sumbang mahram tersebut, adiknya telah mengandung dan melahirkan seorang bayi lelaki.

Hasil pemeriksaan oleh Jabatan Kimia mendapati tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia menanggung keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh sebagai abang sepatutnya bertanggungjawab melindungi dan menjaga darah dagingnya sendiri tetapi telah mengambil kesempatan.

Zhafran berkata ini bukan kesalahan pertama tertuduh kerana sebelum ini pernah melakukan kesalahan sama pada mangsa sehingga melahirkan anak tetapi telah meninggal dunia dan ini menunjukkan tertuduh tidak insaf. – Bernama

Rogol pelajar: Penghantar surat dipenjara 50 tahun – Utusan


Rogol pelajar: Penghantar surat dipenjara 50 tahun

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Seorang penghantar surat hari ini dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 50 tahun dan 18 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan merogol seorang pelajar di kawasan semak di Gombak, dekat sini, pada April tahun lepas.

Hakim Rozianayati Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Mazrin Mustafa, 21, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Nazrin dihukum penjara 25 tahun dan lapan sebatan manakala pertuduhan kedua yang sama dia dihukum penjara 25 tahun dan 10 sebatan.

Hakim memerintahkan hukuman penjara tersebut dijalankan serentak mulai hari ini.

Dalam penghakimannya, Roszianayati berkata Jabatan Kimia mengesahkan asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh terdapat di dalam kemaluan mangsa dan tiada kecacatan dari segi pengambilan sampel yang dibuat.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berusia 15 tahun ketika itu pulang dari sebuah pusat beli-belah di Jalan Imbi di sini bersama jirannya menaiki sebuah motosikal apabila ditahan oleh tertuduh yang mendakwa dirinya polis.

Tertuduh kemudian membawa mangsa ke satu kawasan semak sebelum dia dirogol.

Mohd Nazrin didakwa merogol pelajar itu dua kali tanpa kerelaannya, di kawasan semak di Gombak, di antara pukul 1.40 pagi hingga pukul 4.30 pagi, 3 April 2011.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

“Saya menghadapi tekanan perasaan dan pelajaran terganggu di sekolah. Semua impian dan cita-cita saya dah hancur,” kata mangsa ketika memberi keterangan di mahkamah.

Seramai 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberui keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Yusoff Ag. Lah dan Mohd Firdaus Mohd Razi. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121010/ma_06/Rogol-pelajar-Penghantar-surat-dipenjara-50-tahun#ixzz28xwWhAvY
© Utusan Melayu (M) Bhd