Mustapa: Guru perlu rasional terima maklumat pembangkang – Bernama


Mustapa: Guru perlu rasional terima maklumat pembangkang

25 Februari 2013
Mustapa Mohamed
Dato’ Seri Mustapa Mohamed

KOTA BAHRU – Guru dinasihat agar bertindak secara rasional apabila menerima sebarang maklumat daripada pihak pembangkang yang tidak berpaksikan kepada kebenaran dan boleh merosakkan negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata fitnah daripada pembangkang akan lebih memuncak menjelangnya pilihan raya umum akan datang yang pastinya menjadikan guru sebagai antara sasaran menaburkan fitnah itu.

“Guru-guru perlu buat pertimbangan wajar dan jangan sama sekali terpengaruh dengan pihak yang mahu merosakkan negara kita ini.

“Apa yang dibuat perlu berasaskan kepada kebenaran kerana yang penting untuk kita semua terus mewujudkan negara yang lebih gemilang pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bicara Transformasi Kelantan di Kompleks Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan di Tanjong Chat di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussain Awang dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustafa serta lebih 800 guru kaunseling sekolah rendah dan menengah seluruh negeri.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata guru di Kelantan perlu memahami perkara sebenar yang kononnya diperjuangkan pembangkang terutama membabitkan soal royalti minyak dan sebagainya.

“Saya telah difitnah antara orang yang bertanggungjawab tidak membawa pembangunan di Kelantan selama ini. Dalam satu demonstrasi pembangkang, ada patung saya yang disebat mereka dan ini satu tindakan yang tidak wajar,” katanya.

Menurutnya sejak menjawat beberapa portfolio menteri sebelum ini beliau telah membawa beberapa projek besar kepada rakyat Kelantan seperti Universiti Malaysia Kelantan, Pusat Transformasi Luar Bandar Kelantan dan juga Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua.

“Sebab itu PRU-13 ini adalah sangat penting kepada rakyat Kelantan untuk membuat perubahan. Rakyat Kelantan juga sebahagiannya masih tidak mendapat maklumat sebenar apa yang kononnya diperjuangkan pembangkang itu,” katanya.

Pada majlis itu Mustapa  turut berdialog dengan peserta dan menjelaskan isu terkini seperti pelaburan dan politik semasa. – Bernama

‘Messi’ sekolah minggu depan – Metro


‘Messi’ sekolah minggu depan

 0  1 Google +0  0  0

Kota Bharu: Remaja keciciran sekolah, Sufian Mat, 17, yang pernah digelar ‘Messi Malaysia’ boleh memulakan persekolahan seperti biasa minggu depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Zahari Daud yang mengesahkan perkara itu berkata, remaja terbabit diminta datang ke pejabat Jabatan Pelajaran Kelantan Ahad ini, bagi mendapatkan surat kebenaran bersekolah.
Katanya, selepas mendapat surat itu, dia boleh melaporkan diri untuk memulakan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.

 

“Kita sudah berjumpa bapa saudara remaja itu hari ini (semalam) dan meneliti dokumen yang diperlukan untuk kita proses.
“Remaja itu boleh kembali ke sekolah minggu depan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, berdasarkan maklumat dan dokumen, remaja berkenaan cukup syarat dari segi usianya tidak melebihi 18 tahun dan layak meneruskan persekolahan seperti biasa.

 

Katanya, pihaknya mengkategorikan remaja itu sebagai keciciran pelajaran dan dia tiada masalah menyambung persekolahan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/01

Banjir: 8 sekolah di Kelantan, Terengganu ditutup esok – Bernama


Banjir: 8 sekolah di Kelantan, Terengganu ditutup esok

31 Disember 2012

KUALA LUMPUR – Lapan buah sekolah di Terengganu dan Kelantan tidak akan memulakan sesi persekolahan esok, berikutan persekitaran sekolah masih digenangi air dan dibimbangi membahayakan keselamatan pelajar.

Meskipun dilaporkan keadaan banjir di dua negeri itu hampir pulih sepenuhnya, namun keadaan cuaca yang mendung serta hujan berterusan dan kadang-kala lebat menyebabkan paras air sungai utama di dua negeri tersebut kembali meningkat dan mungkin menyebabkan berlaku gelombang kedua banjir.

Di TUMPAT, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata lima buah sekolah di dua jajahan tidak akan memulakan sesi persekolahan esok.

Menurutnya sesi persekolahan bagi empat sekolah di Tumpat dan sebuah lagi di Pasir Mas ditangguh selama sehari.

“Hari ini kita memutuskan semua sekolah itu akan ditangguhkan sesi persekolahan selama sehari. Kita tengok esok untuk menentukan sama ada ia boleh dibuka untuk hari berikut atau sebaliknya,” katanya ketika melawat Sekolah Kebangsaan Tok Jering yang terjejas banjir.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bandang Pak Yong, Sekolah Kebangsaan Tok Jering dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurrul Huda di Tumpat, manakala di Pasir Mas adalah SABK Diniah.

Beliau juga meminta ibu bapa agar menghubungi pihak sekolah dan mendengar hebahan melalui media massa mengenai keadaan di sekolah-sekolah berkenaan.

Hujan lebat malam tadi menyebabkan beberapa batang sungai utama di Kelantan mula meningkat dan berada pada paras berjaga-jaga.

Di KUALA TERENGGANU, tiga buah sekolah masing-masing dua di Daerah Hulu Terengganu dan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kemaman masih ditutup kerana dinaiki air berikutan kejadian banjir gelombang kedua, hari ini.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (PPNT), Zakaria Hussin berkata dua Sekolah Kebangsaan (SK) di Hulu Terengganu ialah SK Lubuk Periok yang mempunyai seramai 42 orang murid dan SK Menerong dengan 168 murid.

Sementara di Kemaman melibatkan SMK Bukit Mentok yang dikatakan mempunyai lebih 1,000 pelajar.

“Sebelum ini dua sekolah (di Hulu Terengganu) yang terletak di pinggir sungai itu sudah surut. Namun hari ini, air naik semula kira-kira empat kaki menyebabkan kedua-dua sekolah itu akan ditutup esok. Ia ada kaitan dengan banjir gelombang kedua bermula,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zakaria berkata, SK Lubuk Periok merupakan sekolah luar bandar yang mempunyai pelajar kurang daripada 100 orang.

Dijangkakan lebih banyak sekolah di kawasan rendah di negeri Terengganu mungkin akan akan ditutup sekiranya cuaca terus mendung dan hujan tanpa henti, katanya. – Bernama

Sultan rai pelajar cemerlang – Sinar Harian


Sultan rai pelajar cemerlang

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Disember 2012

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan meraikan pelajar cemerlang Sijil pelajaran Malaysia (SPM) 2011 sebagai bukti keprihatinan baginda terhadap kejayaan rakyat.

Majlis Anugerah Kecemerlangan D’ Raja anjuran Pertubuhan Kerabat D’ Raja Kelantan Al- Muhammadi menjadi saksi betapa baginda menghargai usaha gigih pelajar-pelajar cemerlang ini.

Bendaharinya, Tengku Ibrahim Farihaddin Datuk Feissal berkata, program pertama kali yang bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dicapai pelajar- pelajar di negeri ini adalah penghormatan tertinggi Sultan untuk mereka.

“Majlis julung kali dan akan menjadi aktiviti tahunan ini diadakan khas untuk meraikan bersama kejayaan pelajar di negeri ini tanpa mengira latar belakang dan keturunan.

“Baginda berkenan meraikan kejayaan pelajar ini yang bukan sahaja membanggakan diri dan ibu bapa mereka, malah masyarakat dan negeri ini secara keseluruhannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika menghadiri majlis itu di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Hadir sama, Yang DiPertua pertubuhan, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim dan isteri, Tengku Puan Laksamana Syarifah Azwan Syed Jamalullai; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang serta Koordinator pertubuhan itu, Kapten Mohd Khairul Anuar Ilias.

Menurutnya, majlis dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan, Yayasan Islam Kelantan (YIK), dan Kerajaan Negeri menyaksikan kira-kira 537 pelajar mendapat A  keseluruhan dari seluruh negeri ini.

“Sebagai kenangan daripada pertubuhan, pelajar-pelajar ini kita hadiahkan dengan Sijil Pengiktirafan daripada Sultan, selain jam tangan dan pen sebagai tanda kenangan,” kata Tengku Ibrahim Farihaddin.

Sementara itu, Baginda yang berangkat tiba jam 6 petang meluangkan masa kira- kira setengah jam menyempurnakan penyampaian kepada 40 penerima termasuk pelajar paling cemerlang, anak-anak kerabat dan penaja.

110 pelajar OKU duduki PMR di Kelantan – Bernama


110 pelajar OKU duduki PMR di Kelantan

9 Oktober 2012

KOTA BHARU – Seramai 110 daripada 35,525 calon yang menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Kelantan tahun ini, terdiri daripada calon kurang upaya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Husin Awang berkata mereka dikategorikan sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang menduduki peperiksaan di sekolah khas, hospital dan sekolah harian biasa.

Daripada jumlah itu, seramai 31 orang ialah pelajar kurang upaya pendengaran, rabun (11), terencat akal (18), dan lain-lain kecacatan (50), katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Husin berkata kebanyakan mereka yang dikategorikan sebagai calon CBK itu mempunyai Kad Orang Kurang Upaya dan didaftarkan dengan JPN sebelum menduduki sesuatu peperiksaan.

Daripada jumlah 35,525 calon itu, seramai 28,542 calon sekolah kerajaan, calon sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) 5,454 orang, calon Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) 745, MARA (628) dan swasta/persendirian (156), katanya. – Bernama

‘i-Hadir’ kesan pelajar ponteng – Berita Harian


‘i-Hadir’ kesan pelajar ponteng

2012/05/11

KOTA BHARU: Jabatan Pelajaran Kelantan menjadi perintis mengguna perisian yang dikenali sebagai ‘i-Hadir’ bagi mengenal pasti kehadiran pelajar ke sekolah dan mengesan pelajar ponteng.

Inovasi baru yang diperkenalkan oleh Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Kelantan itu boleh diakses bila-bila masa serta memudahkan pihak sekolah dan ibu bapa mengetahui kedatangan anak mereka ke sekolah.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata, i-Hadir adalah aplikasi mudah, cepat dan tepat, dengan pihak sekolah akan memasukkan rekod kedatangan harian murid ke dalam komputer yang dilengkapi perisian berkenaan.

Pada masa sama, katanya, data itu boleh dipantau oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) walaupun berada di tempat lain.

“Sekiranya ada pelajar yang kerap tidak hadir, pihak JPN akan merujuk semula kepada pihak sekolah berhubung tindakan yang diambil.

“Secara tak langsung, aplikasi ini akan menjadi penghubung antara pihak sekolah dan PPD seterusnya JPN,” katanya pada majlis pelancaran i-Hadir pada perhimpunan ‘Bulanan Jabatan Pelajaran Kelantan di Dewan Bestari, Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Kelantan, Rosnah Wan Ibrahim.
Perisian yang mula diguna dua bulan lalu itu adalah program perintis, dilihat mampu mengesan kehadiran pelajar ke sekolah dan pada masa sama dapat mengurangkan masalah ponteng membabitkan pelajar sekolah bandar dan luar bandar.

Sepasang kekasih antara 63 remaja ditahan – Sinar Harian


Sepasang kekasih antara 63 remaja ditahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mac 2012
Sepasang kekasih antara 63 remaja ditahan operasi bersepadu

KOTA BHARU – Sepasang kekasih yang mempunyai ‘gigitan cinta’ di leher antara 63 remaja yang diberi kaunseling dalam Operasi Lepak dan Cegah Jenayah melibatkan lima agensi yang diketuai Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini, semalam.

Selain itu, beberapa pelajar yang berpakaian seksi, berpelukan, berpegangan tangan di khalayak ramai turut diberi kaunseling dalam operasi yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di sini.

Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa MPKB-BRI Ramly Che Hussin berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula jam 3 hingga petang itu berjaya ‘menyelamatkan’ 63 remaja, 15 daripadanya adalah pelajar.

“Seramai 22 daripada yang dipanggil itu menjalani ujian saringan air kencing dan kesemuanya bebas pengaruh dadah. Mereka ini diberikan kaunseling serta pelajar yang terlibat dalam operasi diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN),” katanya semalam.

Ramly berkata, lebih mengejutkan ketika operasi dijalankan ada di antara pengunjung tidak segan silu memakai baju ketat, pelajar perempuan tidak bertudung, mendedahkan dada, malah ada juga yang mewarnakan rambut pelbagai warna dan tindik telinga.

Selain itu, ada juga di antara remaja yang memakai baju menjolok mata, lelaki berketerampilan perempuan, pelajar bawah umur mengunjungi pusat snooker turut ditahan untuk kaunseling.

“Kesemua yang ditahan ini diberi peluang untuk mengubah cara hidup mereka dengan mengikuti kaunseling dari pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan ada diantaranya diarahkan menjalani ujian air kencing,” katanya.

Katanya, operasi seperti ini diteruskan dari masa ke masa supaya golongan remaja dan belia boleh akan mematuhi peraturan serta takut untuk melakukan perkara bertentangan dengan agama Islam.

Operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama Agensi Anti Dadah Kelantan (AADK), Jabatan Pelajaran Kelantan (JPN) dan polis.

Turut serta dalam operasi berkenaan Ketua Inspektor MPKB-BRI, Mohamad Ali dan pegawai JPN, Wan Suraya Arifin.