517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini – Bernama


517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini

11/09/2012 – 16:41:00 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Seramai 517,139 calon yang berdaftar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai hari ini hingga Khamis.

Pelajar yang terlibat terdiri daripada 507,783 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, 9,345 calon sekolah swasta penghantar Bahasa Melayu dan 11 calon dari sekolah swasta penghantar Bahasa Cina.

Sementara itu, seramai 52,172 petugas terlibat dalam memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar kali ini.

Di KUALA LUMPUR, ibu bapa juga kelihatan turut berada di kawasan sekolah bagi memberi semangat kepada anak-anak mereka yang menduduki peperiksaan berkenaan.

Bagi Marlina Mazlan, 36, ibu kepada Amir Daniel Ross Affendy dari Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) telah mengambil cuti untuk menemani anak sulungnya menduduki UPSR.

Malah, beliau turut merasa gementar dan cemas berbanding anaknya memandangkan ini adalah kali pertama anaknya berhadapan peperiksaan besar seperti ini.

Bagi pelajar Nik Aqil Baig, walaupun merasa gementar dan risau berhadapan dengan hari pertama UPSR, beliau telah berusaha merehatkan minda sebelum menghadapi peperiksaan sejak awal pagi ini.
Malah kata anak yatim ini, selain mengadakan perancangan jadual pembelajaran yang sistematik dan melakukan ulang kaji pada saat akhir, dia turut mengerjakan solat hajat.

Guru Besar SKTM2, Mohamad Alwan Ginen berkata pihak sekolah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi peperiksaan itu termasuk mengadakan latihan tubi serta membantu pelajar yang lemah secara berkelompok.

Di MELAKA, seramai 15,352 murid menduduki UPSR, iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Melaka, Megat Nasir Megat Hashim berkata daripada jumlah itu 102 calon berkeperluan khas menduduki UPSR, termasuk calon yang mengalami masalah pembelajaran, buta, pekak dan rabun.

“Tujuh pelajar hari ini terpaksa menduduki peperiksaan di hospital di negeri ini akibat kemalangan jalan raya dan sakit,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata 228 pusat peperiksaan dibuka di negeri itu pada tahun ini berbanding 230 tahun lalu.

Katanya bilangan petugas peperiksaan juga meningkat 29 orang tahun ini kepada 1,405 berbanding 1,376 orang tahun lalu.

Di KEDAH, seramai 40,109 pelajar mengambil UPSR di negeri ini, termasuk Zulshafakin Md Shafar, 12, dari Sekolah Kebangsaan Telaga Mas yang merupakan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU).

Beliau yang kudung kaki kiri dari paras lutut sejak lahir berkata walaupun tidak sempurna seperti orang lain, beliau yakin mampu bersaing dengan pelajar lain untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam UPSR.

Anak petani dari Kampung Telaga Mas yang bercita-cita menjadi pendidik berkata walaupun gementar tetapi yakin mampu untuk memperoleh keputusan UPSR terbaik kerana telah bersedia menghadapinya.

Sementara pasangan kembar Nasrul Shafiq dan Nasrul Shakir Rosmi yang juga anak petani berkata mereka sering mengulang kaji pelajaran di rumah, dan sentiasa menyelesaikan segala kerja rumah bersama serta memberi tumpuan kepada guru semasa sesi pembelajaran dalam kelas. – BERNAMA

Kawal lalu lintas sambil lewa – Sinar Harian


Kawal lalu lintas sambil lewa

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mac 2012
Kawal lalu lintas sambil lewa

ALOR GAJAH – Hampir seluruh pelajar dan murid terdedah dengan kemalangan jalan raya berikutan tindakan sambil lewa pengawal lalu lintas bertugas tanpa pemakaian yang dikhaskan.

Difahamkan, beberapa kemalangan pernah berlaku di hadapan pintu masuk beberapa sekolah di sekitar daerah ini membabitkan tahap keselamatan lalu lintas yang rendah sehingga mengundang kemalangan maut.

Beberapa ibu bapa yang sempat ditemui mendakwa, petugas yang mengawal lalu lintas di daerah ini kebanya­kannya tidak terlatih dan tidak mematuhi garis panduan ditetapkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Salmiah Sidek, 48, berkata, dia kurang pasti fungsi tugas pengawal keselamatan di sekolah sama ada ia merangkumi tugas mengawal lalu lintas sahaja, ataupun terpaksa melalukan kerja mengikut arahan yang dikeluarkan.

Menurutnya, apa yang diperhatikan, kebanyakan pengawal keselamatan dilihat kurang memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pelajar dan murid, malah mereka sendiri turut terdedah dengan bahaya.

“Mereka (pengawal keselamatan) ditugaskan menjaga laluan pelajar yang keluar dari sekolah setiap hari tanpa pemakaian betul seperti seragam putih, sarung tangan dan topi yang biasa diguna penjaga lalu lintas lain.

“Tindakan mereka yang turut keluar melulu dari pintu sekolah dengan menahan kereta yang sedang dipandu laju tanpa pemakaian betul dan papan tanda amaran ‘berhenti’ boleh mengundang berlakunya kemalangan,” katanya.

Manakala menurut Ismail Salleh, 42, kebanyakan pengguna jalan raya akan memperlahankan kenderaan mereka setiap kali melalui hadapan sekolah terutama di waktu puncak.

“Namun, ada juga segelintir pemandu degil masih memandu laju. Perkara ini perlu dipandang serius kerana cara pemakaian pengawal yang ditugaskan mengawal lalu lintas harus bersesuaian supaya mudah dilihat dengan jelas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), Mohamad Yusuff Osman ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum berhubung segelintir pengawal keselamatan bertugas yang tidak mengikut garis panduan.

Menurutnya, pihak JPM akan menyiasat dakwaan ibu bapa terbabit yang membabitkan keselamatan pelajar dan murid sekolah yang pulang pada waktu pagi dan juga tengah hari yang terdedah dengan bahaya kemalangan di luar sekolah.

“Kami sudah memanjangkan perkara ini kepada pengetua sekolah terbabit dan syarikat keselamatan yang dilantik diberi amaran keras. Sekiranya ia berulang, kami tidak teragak-agak akan menamatkan perkhidmatan mereka.

“Kami di JPM sentiasa menerima pandangan dan teguran dari orang ramai serta ibu bapa mengenai keselamatan pelajar sekolah membabitkan kawalan lalu lintas terutamanya semasa pulang dari sekolah,” katanya.