Peranan guru muda diiktiraf – Sinar Harian


Peranan guru muda diiktiraf

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Mei 2013
Peranan guru muda diiktiraf
Mansor (tengah) melakukan gimik pra pelancaran sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah Tahun 2013.

ALOR SETAR –  Buat julung kalinya Anugerah Ikon Guru diperkenalkan demi mengiktiraf peranan guru muda kepada masyarakat meliputi pelbagai bidang hingga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Pengiktirafan itu bagi menghargai sumbangan mereka dalam pelbagai bidang seperti sukan, kesenian, kokurikulum, pengajaran dan pembelajaran serta kepimpinan tak kira sama ada di dalam mahupun luar negara kerana berjaya menaikkan imej sekolah dan juga negara.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat berkata, keunikan sambutan hari guru kali ini apabila menyaksikan pengiktirafan turut diberikan kepada guru yang masih memberi perkhidmatan berikutan sumbangan mereka itu.

“Anugerah Ikon Guru ini tidak sama dengan anugerah guru sebelum ini seperti Tokoh Guru, Tokoh Akademik, Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas mahupun Anugerah Guru Cemerlang Orang Kurang Upaya (OKU).

“Hal ini kerana pada kebiasaannya anugerah diberikan kepada mereka yang tamat perkhidmatan mahupun bersara, bagaimanapun pada kali ini guru biasa yang masih berkhidmat juga berpeluang mendapatkannya, asalkannya berjasa kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pra pelancaran sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah Tahun 2013 di Dewan Al-Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Kedah, semalam.

Mansor berkata, ia diwujudkan demi menyuntik semangat dan menjadi ikon kepada guru lain untuk turut sama aktif melibatkan diri ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah kali ini akan berlangsung di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman pada 22 Mei 2013.

Pelajar dakwa gegendang telinganya cedera ditampar senior – Bernama


Pelajar dakwa gegendang telinganya cedera ditampar senior

9 Julai 2012
ALOR SETAR – Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di sini mendakwa gegendang telinganya cedera selepas ditampar oleh pelajar senior di asrama sekolah itu, Khamis lalu.

Mangsa, Mohamad Hazim Mohamad Zaid, 13, berkata kejadian itu berlaku selepas seorang senior menampar pipinya atas kesalahan kecil kerana tidak mengemas tempat tidurnya Rabu lalu.

Selepas kejadian itu, mangsa yang mengalami pening kepala, mata kabur dan pendengaran kurang jelas mengadu kepada ibunya selepas pulang ke rumah di Kampung Rambai, Simpang Empat, dekat sini pada petang hari kejadian.

Dia dibawa ke klinik Tanah Merah, Pendang untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan dibawa ke Hospital
Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ibu mangsa, Norhafizah Puteh, 39, berkata doktor mengesahkan bahawa gegendang telinga sebelah kanan anaknya itu pecah dan mengalami pendarahan akibat ditampar dengan kuat dan dinasihatkan mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (JPN) Mansor Lat berkata bahawa beliau tidak boleh memberi sebarang komen kerana masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung kes tersebut.

“Saya sekarang ada di Putrajaya dan masih belum dimaklumkan tentang kes ini, tapi saya akan siasat kes ini selepas selesai kerja saya di sini nanti” katanya selepas dihubungi. – Bernama