Masa depan anak OKU diabai
21 Oktober 2012

Nasrudin (tiga,kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar OKU dan turut serta, Azizon (dua,kiri).
KOTA BHARU – Sikap malu menyebabkan ramai ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak yang orang kurang keupayaan (OKU) ke sekolah sehingga mengabaikan masa depan mereka.
Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Nasrudin Talib berkata, perkara tersebut sudah lama berlanjutan sehinggakan masih ada kanak-kanak OKU di negeri ini yang tercicir.
“Ibu bapa harus membuang sikap tersebut demi memberi kehidupan yang terbaik kepada anak mereka walaupun dilahirkan serba kekurangan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Sebelum itu beliau merasmikan Sambutan Hari Keluarga anjuran guru-guru Pendidikan Khas Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) dan hadir sama ialah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato Hashim 1, Azizon Abdullah.
Menurutnya, di sekolah anak-anak OKU akan diajar cara berdikari dan bergaul dengan masyarakat.
Nasrudin berkata, di Kelantan terdapat 88 buah sekolah menengah dan 40 buah sekolah rendah khas yang melibatkan 4,000 orang pelajar.
Beliau berkata, sementara itu kerajaan juga memperuntukkan RM3 juta pada tahun ini bagi menganjurkan pelbagai program khas untuk mereka.
“Keistimewaan dan kelebihan yang diberikan oleh kerajaan diharap dapat memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.