Cucu Katihja Bee bersekolah – Kosmo


Cucu Katihja Bee bersekolah

 

Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my

 

SITI NURHIDAYAH (tengah) ceria dikelilingi rakan-rakan pada hari pertama dia bersekolah semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Lebuh Light, George Town semalam.

 

GEORGE TOWN – Kisah seorang remaja, Siti Nurhidayah Abdullah, 13, yang terpaksa berhenti sekolah sejak setahun lalu kerana kemiskinan keluarganya mendapat perhatian proaktif Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

Semalam, Siti Nurhidayah mendaftar ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Lebuh Light di sini dengan diiringi Pengarah JPNPP, Tarmizi Kamaruddin ke kelas.

Siti Nurhidayah yang memakai pakaian seragam serba baharu ceria dapat bersekolah semula.

“Saya memang rindu hendak ke sekolah dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh bagi membantu nenek dan ibu.

“Tidak lupa juga, orang ramai membantu terutama akhbar yang menyiarkan berita tentang kesusahan kami,” ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang doktor untuk membantu orang susah.

Sementara itu, Tarmizi ketika ditemui memberitahu, pihaknya akan menyalurkan bantuan berterusan kepada remaja itu dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan.

Katanya, JPNPP mengambil berat terhadap kes yang menimpa Siti Nurhidayah dan turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelajar lain yang tercicir agar melaporkannya kepada jabatan itu.

“Walaupun ada yang sudah dua, tiga tahun tak bersekolah tetapi sistem pendidikan kita membenarkan mereka belajar semula serta tidak meminggirkan mereka.

“Setakat ini, JPNPP hanya menerima satu kes pelajar tercicir iaitu membabitkan Siti Nurhidayah dan kita berterima kasih kepada semua pihak yang membantu,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini, melaporkan kesusahan keluarga Siti Nurhidayah yang bergantung harap kepada neneknya, Katihja Bee Latiff, 46, yang juga orang kelainan upaya (OKU) setelah kudung kedua-dua kaki akibat diabetes.

Katihja Bee menyara hidup dengan bantuan daripada Pusat Urus Zakat (PUZ) sebanyak RM300 dan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara tiga anak dan dua cucunya.

Bagaimanapun dia yang tidak mampu bekerja terpaksa membelanjakan RM200 setiap bulan untuk kos rawatannya dan anak-anaknya.

Keluarganya juga terpaksa mengalas perut dengan bubur nasi berlaukkan bawang setiap hari kerana berjimat-cermat.

Lebih memilukan keluarga tersebut bakal kehilangan tempat berteduh kerana tidak mampu membayar tunggakan sewa rumah di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Jalan Sungai, Sungai Pinang dekat sini yang mencecah RM2,000.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2MeYDzQz0
Hakcipta terpelihara

Pelantikan Guru Ikuti Program Pensiswazahan Akan Disegerakan – Bernama


Pelantikan Guru Ikuti Program Pensiswazahan Akan Disegerakan
BUKIT MERTAJAM: Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata urusan pelantikan seramai 7,975 orang guru lulusan program pensiswazahan guru, akan dilakukan secepat mungkin.

Beliau berkata pada 23 Mei lepas Kementerian Pelajaran menerima waran untuk kenaikan pangkat ke DG41 bagi Pegawai Perkhidmatan Lepasan Diploma (PPLD)yang berjaya menamatkan pengajian di bawah program pensiswazahan guru.

“Penangguhan selama dua tahun untuk pelantikan itu telah menjadi satu daripada sebab ramai guru yang tidak mahu mengikuti program pensiswazahan. Pihak kementerian akan usahakan agar perkara ini diselesaikan secepat mungkin.

“Diharapkan ramai lagi guru akan mengikuti program pensiswazahan guru ini. Ia penting untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan guru di samping memartabatkan profesion perguruan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penganugerahan perkhidmatan cemerlang 2012 Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang di sini, Selasa.

Mohd Puad berkata kerajaan menjangkakan pada tahun 2020 semua guru di seluruh negara mempunyai ijazah. Sejak diperkenal pada 2006 hingga kini, seramai 70,062 guru mengikuti dan berjaya menamatkan program pensiswazahan guru.

Beliau berkata kementerian menyasarkan seramai 22,102 orang guru akan mengikuti program pensiswazahan bagi pengambilan kedua pada September.

“Bagaimanapun sehingga semalam (16 Julai) hanya 3,528 orang yang membuat permohonan. Diharap ramai lagi guru-guru yang akan memohon,” katanya.

Katanya kerajaan memperuntuk sebanyak RM1.4 bilion bagi menjayakan program pensiswazahan guru ini.

Guru-guru berkenaan akan mengikuti pengajian jarak jauh di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari tiga tahun setengah atau empat tahun. -BERNAMA