Mogok lapar, bangunan sekolah tidak dibina – Sinar Harian


Mogok lapar, bangunan sekolah tidak dibina

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 September 2012
Mogok lapar, bangunan sekolah tidak dibina
Ibu bapa melakukan demonstrasi aman di hadapan sekolah terbabit.

KUALA PILAH – Hasrat lebih 200 ibu bapa murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kuala Pilah untuk melihat bangunan sekolah baru dibina masih lagi kabur apabila permohonan mereka dipandang sepi.

Malah rata-rata mereka melahirkan rasa kecewa dan menuntut pembinaan bangunan baru sekolah itu demi masa depan anak-anak mereka.

Jika pihak berkaitan tidak mengambil serius perkara itu, ibu bapa SJKT ini akan membuat mogok lapar dan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Sekolah yang dibina sejak 1954 itu hanya mempunyai keluasan tanah 0.2 hektar sahaja sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa kepada 183 murid.

Pelbagai masalah timbul seperti ruang bilik darjah sangat sempit dan tidak menepati skala ditetapkan, malah lebih mengecewakan tandas pelajar serta guru terlalu hampir dengan bilik darjah sekali gus mengundang bau busuk.

Bapa, T Paramanathan, 45, berkata, kedudukan bilik darjah tahun enam dan prasekolah juga terlalu dekat dengan kantin sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa kerana terlalu bising.

“Murid tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana keadaan yang sangat bising selain bilik darjah yang sempit. Di samping itu, pencahayaan bilik darjah juga berkurangan dan kadangkala terpaksa memasang lampu meskipun waktu siang.

“Pihak Jabatan Kesihatan juga mengesahkan ke semua bilik darjah tidak menepati spesifikasi kecerahan kelas. Justeru itu, perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” katanya.

Menurutnya, isu tanah dan pembinaan bangunan baru SJKT itu sudah dipanjangkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), pemimpin kawasan, MIC, Menteri Besar Negeri Sembilan dan kepada Perdana Menteri.

“Meskipun kami berusaha memanjangkan perkara ini kepada pihak berkaitan, namun isu terbabit masih belum ada jalan penyelesaian yang membanggakan.
“Kami (ibu bapa) dan masyarakat India, di sini berasa amat kecewa dan bimbang dengan masa depan anak-anak kami,” katanya.

Paramanathan berkata, baru-baru ini, pihak Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan dan unit pembangunan dari Putrajaya serta JPNS berkunjung ke SJKT terbabit.

“Mereka memberitahu kepada kami mengenai tiga perkara iaitu sekolah ini tidak dapat dibina pada masa sekarang dan berkemungkinan pada 2014 atau 2015. Sekolah ini juga tidak akan dibina pada tapak sedia ada dan berpindah ke kawasan lain.

“Selain itu, sumbangan Community Chest dari Genting Highland sebanyak RM1.5 juta tidak akan dibenarkan untuk digunakan bagi pembinaan bangunan baru sekolah tersebut. Kami amat kecewa di atas jawapan yang diberikan oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, N Gayatir, 26, berkata, dia juga tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan  pihak berkaitan.

“Saya tidak mahu sekolah ini dibina di tempat lain kerana ia akan menyusahkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka.

“Saya pernah bersekolah di sini, memang sehingga kini tiada perubahan langsung dan ia sama sahaja sejak dibina pada 1954. Saya difahamkan, semua tapak sekeliling sekolah dibeli oleh pihak swasta dan hanya satu-satu sahaja tapak sekolah milik kerajaan. Jika tempat ini dibangunkan, sekolah ini bagaimana pula statusnya?,” katanya.

Manakala, M Tamilselvan, 48, berkata, pihak berkenaan perlu memandang serius perkara itu.

“Pihak kerajaan khususnya perlu membantu kami kerana kami mengundi mereka. Jika kebajikan masyarakat India tidak dibela, siapa lagi kami mahu minta pertolongan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Senawang, P Gunasekaran berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada JPNS berhubung masalah lokasi sebenar tanah dan peruntukan yang dikhaskan untuk SJKT.

“Saya sudah menghantar surat pada 2010 kepada JPNS selaku wakil kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah ini. Saya menegaskan, pihak berkaitan perlu tampil ke hadapan untuk memberitahu lokasi sebenar ,” katanya.

Katanya, pihak kerajaan perlu memandang serius perkara itu supaya ibu bapa tidak rasa terabai dan tertipu.

‘Saya tidak tahu-menahu’ – Metro


‘Saya tidak tahu-menahu’
REMBAU: “Saya tidak tahu-menahu mengenai hal ini dan buat masa ini tidak boleh memberi sebarang komen,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Sembilan, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli ketika diminta mengulas kejadian kerani sebuah sekolah di daerah ini yang didakwa mencederakan murid menggunakan playar.

Bagaimanapun, menurutnya, pihaknya berjanji untuk segera berhubung dengan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) bagi mengetahui kejadian sebenar sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Saya tidak tahu mengenai hal itu tetapi akan berhubung dengan JPNS untuk mengetahui keadaan sebenar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Dalam perkembangan sama, Pengarah JPNS, Datuk Abdul Halim Abdul Razak gagal dihubungi untuk mendapatkan maklum balas berhubung insiden itu dan panggilan ke pejabatnya hanya dijawab pegawai bertugas yang memaklumkan beliau berkursus.

Iktiraf pelajar cemerlang – Metro


Iktiraf pelajar cemerlang

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Kebolehannya menguasai akademik dengan baik selain aktif dalam kokurikulum dan persatuan di sekolah menjadikan Ain Nazirah Mohd Ali Norfiah, 13, sebagai pelajar kebanggaan Sekolah Kebangsaan Nyatoh (SKN), dekat sini.

Pencapaian Ain Nazirah lebih terserlah apabila memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu dan menjadi satu-satunya pelajar sekolah itu yang menerima biasiswa bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Tan Sri Rashdan Baba.
Guru Besar SKN, Salmah Ismail berkata, Ain Nazirah amat aktif dalam pelbagai aktiviti ketika belajar termasuk bidang sukan terutama acara bola baling hingga mewakili sekolah ke peringkat negeri.

 

Menurut beliau, pelajar perempuan itu turut mempunyai sahsiah yang baik dan gaya kepemimpinan tinggi hingga menjadi contoh kepada pelajar lain.
“Pencapaiannya yang cemerlang dalam pelajaran selain aktif dalam bidang kokurikulum hingga mengharumkan nama sekolah membolehkandia dipilih sebagai Tokoh Pelajar SKN tahun lalu.
“Kami daripada kalangan warga Sekolah Kebangsaan Nyatoh amat berbangga dengan pencapaian dan kebolehan Ain Nazirah,” katanya.

 

 

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Serentak Sekolah-Sekolah Menengah dan Kebangsaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato` Shamsudin Nain, Rantau, baru-baru ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Abdul Halim Abdul Razak serta Pengerusi Penyelaras PIBG Sekolah DUN Rantau, Mohd Radzali Mohd Sani.

 

Pada majlis itu, Mohamad menyampaikan pelbagai anugerah kecemerlangan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah dari kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ain Nazirah yang meneruskan pelajaran di tingkatan satu di SMK Bukit Kepayang Seremban 2 berkata, kejayaannya hasil sokongan padu daripada ibu bapa dan guru SKN.
Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor berhasrat meneruskan kecemerlangan dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan peperiksaan lain di peringkat lebih tinggi.
“Saya akan terus belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran selain terus aktif dalam sukan kerana kedua-dua bidang berkenaan penting dalam membina semangat serta keyakinan diri untuk masa depan yang baik,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad mahu semua sekolah dalam DUN Rantau berusaha mengekalkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan awam setiap tahun bagi memastikan Negeri Sembilan berada dalam kelompok terbaik di peringkat kebangsaan.
Beliau berkata, selain guru, PIBG dan ibu bapa harus berperanan penting dalam memastikan pencapaian pelajar terus meningkat.
“Pihak sekolah juga tidak harus cepat berpuas hati dengan prestasi dan kejayaan yang dicapai dalam peperiksaan awam setakat ini sebaliknya kedudukan itu perlu ditingkat lagi pada masa depan,” katanya.