PRK Kuala Besut: 8 sekolah dibenar cuti berganti – Bernama


PRK Kuala Besut: 8 sekolah dibenar cuti berganti

2013/07/22 – 16:43:18 PMCetakEmel Kawan
KUALA BESUT: Lapan sekolah yang digunakan sebagai pusat mengundi pada Khamis ini sempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diberikan cuti berganti.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Hashim Mohd Zin, berkata lapan sekolah itu melibatkan seramai 4,727 pelajar dan cuti tersebut akan diganti pada Sabtu, 7 September ini.

“Semua sekolah itu dibenarkan bercuti pada hari Rabu ini namun akan diganti semula untuk mengganti semula waktu persekolahan yang tertinggal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian, SK Kuala Besut, SK Kampung Nail, SK Alor Peroi, SK Kampung Nangka, SK Kampung Baharu dan SK Bukit Puteri. – BERNAMA

Jabatan Pelajaran Terengganu sasar semua sekolah satu sesi – Bernama


Jabatan Pelajaran Terengganu sasar semua sekolah satu sesi

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Februari 2013

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan semua sekolah di negeri itu akan menjalankan persekolahan satu sesi dalam tempoh lima tahun lagi.

Pengarahnya Zakaria Hussin berkata setakat ini masih terdapat 21 sekolah menjalankan dua sesi, membabitkan 11 sekolah menengah dan 10 sekolah rendah yang kebanyakan terletak di bandar-bandar utama Terengganu.

Persekolahan satu sesi dijangka dapat dilaksana dengan pembinaan sekolah baru bagi menampung jumlah pelajar dan usaha mengenal pasti tapak sekolah baru sedang dijalankan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurutnya, pembinaan sekolah baharu itu merupakan langkah jangka panjang sektor pendidikan Terengganu serta menumpukan kawasan berkepadatan penduduk tinggi.

“JPNT banyak mengadakan perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian di setiap daerah untuk mengetahui pelan pembangunan di setiap kawasan untuk memudahkan jabatan merancang aspek infrastruktur fizikal bagi keperluan pendidikan masa depan,” katanya.

Buat masa ini dua kawasan telah dikenal pasti sebagai tapak sekolah baharu iaitu di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun membabitkan kawasan seluas 12 hektar dan di Bandar Baru Cheneh, Kemaman (20 hektar). Terengganu kini mempunyai 493 buah sekolah.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata purata kepadatan pelajar di sekolah dua sesi itu ialah antara 1,300 dan 1,600 orang.

“Istimewanya Terengganu ialah kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said memberi keutamaan terhadap apa sahaja keperluan pendidikan, termasuk menyediakan tanah untuk pembinaan sekolah baru.

“Jabatan yakin masalah dua sesi ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana kerja pembinaan sekolah baru dapat dimulakan sebaik mendapat peruntukan kewangan dari Kementerian Pelajaran,” katanya. – Bernama

Sekolah pondok persendirian di Terengganu diminta daftar dengan JPNT – Bernama


Sekolah pondok persendirian di Terengganu diminta daftar dengan JPNT

30 Januari 2013

KUALA TERENGGANU – Sekolah pondok persendirian di negeri ini disaran agar mendaftar dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bagi mendapat pelbagai kemudahan daripada kerajaan termasuk bantuan awal persekolahan RM100.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tindakan itu juga membolehkan kerajaan memantau sukatan mata pelajaran dan aktiviti kokurikulum sekolah berkenaan supaya selari dengan sistem akademik peringkat nasional.

“Banyak kebaikan dan faedah yang akan dinikmati oleh pelajar dan guru jika sekolah pondok persendirian berdaftar dengan JPNT kerana kita akan meneliti setiap isu di sekolah terutama dari aspek keselamatan dan masa depan pelajar.

“Justeru ibu bapa perlu berhati-hati dalam memilih sekolah yang sesuai untuk menghantar anak mereka mendapat pendidikan kerana tanpa pemantauan kerajaan, kemungkinan pelajar terdedah dengan tindakan atau aktiviti subversif yang boleh memudaratkan masa depan anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program bahasa Radio Malaysia Terengganu FM di sini.

Beliau bagaimanapun menegaskan jumlah sekolah pondok persendirian yang masih belum mendaftar dengan JPNT adalah kecil dan mereka bantuan dari pihak-pihak tertentu.

Mengenai pengagihan bantuan awal persekolahan RM100, Ahmad Razif berkata, hampir semua sekolah sudah menerimanya termasuk yang terletak di pulau-pulau.

“Sekolah di pulau sedikit lewat menerimanya kerana kesulitan untuk ke pulau ekoran musim tengkujuh baru-baru ini, namun pengagihan kepada sekolah di pulau sudah pun selesai,” katanya.

Sebanyak RM25.46 juta bantuan persekolahan diagihkan kepada seramai 254,634 orang pelajar di seluruh Terengganu mulai 15 Januari lalu. – Bernama

Kursus khas guru subjek Sains – Sinar Harian


Kursus khas guru subjek Sains

FARAH SHAZWANI ALI
22 November 2012
Kursus khas guru subjek Sains
Mohd Yusoff Abdullah (kiri) menyerahkan zakat berjumlah RM150,000 kepada wakil Maidam, sambil disaksikan Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah (dua, kiri).

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri melihat kemungkinan untuk mengadakan kursus khas bagi guru subjek Sains berikutan penurunan agak ketara subjek berkenaan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), diumumkan 19 November lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, laporan awal diterima daripada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) menunjukkan, penurunan itu disebabkan terdapat perubahan bagi subjek Sains, menyebabkan ia sukar difahami murid.

Namun katanya, guru Sains khususnya guru baru perlu mendapat pendedahan terlebih dahulu dan faham mengenai perubahan subjek berkenaan, sebelum disampaikan kepada murid.

“Saya harap pihak kementerian memberikan perhatian terhadap perkara ini kerana walaupun nampak mudah, ia boleh menjejaskan prestasi murid. Ia bukan berlaku di negeri ini sahaja tetapi seluruh negara.

“Kita akui, prestasi Terengganu yang agak menurun tahun ini tetapi kita lihat trend ini berlaku di seluruh negara, terutama bagi subjek Bahasa Inggeris dan Sains,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau menyaksikan Pengurus Besar MIDF Property Berhad, Mohd Yusoff Abdullah menyerahkan zakat berjumlah RM150,000 kepada wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Zakat perniagaan yang diserahkan itu selepas mengambil kira keuntungan diperoleh MIDF Property Berhad sepanjang 2011.

Ketika ditanya kegagalan Terengganu untuk terus mengungguli keputusan UPSR kali ini, Ahmad berkata, Kelantan adalah pesaing rapat Terengganu selama ini.

Malah, beliau memuji murid Kelantan yang bijak dan sentiasa mengekori rapat Terengganu.

“Namun, kita harus sedar bahawa 9.7 peratus daripada murid Terengganu mendapat 4A 1B dan jika hanya separuh sahaja, keputusannya akan menjadi 19 peratus yang mendapat 5A.

“Dua bulan sebelum peperiksaan, saya lihat keputusan agak merosot, jadi saya berikan peruntukan tambahan RM1.2 juta untuk buat kursus tambahan tetapi kita tidak dapat pertahankan juga.

“Tapi kita perlu akui dedikasi murid Kelantan lebih baik sebenarnya. Sebab itu sejak dahulu, kita lihat Kelantan menguasai pelbagai aspek dan Terengganu sejak kebelakangan ini mula meningkat kerana kita cuba mengejar mereka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap berbangga kerana murid luar bandar menunjukkan prestasi amat  membanggakan.

35 pelajar sekolah berkayak sambut Hari Malaysia – Bernama


35 pelajar sekolah berkayak sambut Hari Malaysia

15 September 2012

BESUT – Seramai 35 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut mempunyai cara tersendiri dalam meraikan Hari Malaysia esok, dengan berkayak sejauh 95 batu nautika atau 55 kilometer merentasi dua pulau di perairan Terengganu selama dua hari, bermula hari ini.

Pengetua SMK Kuala Besut Mohd Ramli Mat Amin berkata kumpulan pelajar itu akan merentasi Pulau Perhentian dan Pulau Redang dengan menggunakan 15 buah kayak yang dilepaskan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Mohd Yasmin Yusof di Pantai Bukit Keluang di sini.

“Seramai 13 pelajar wanita mengikuti ekspedisi yang turut disertai dua guru. Ekspedisi itu akan mengambil masa selama enam jam untuk sampai ke Pulau Perhentian sebelum berhenti rehat.

“Mereka akan berkayak ke Pulau Redang esok selama tujuh jam sebelum pulang ke Kuala Besut pada Selasa. Anggota ekspedisi telah menjalani latihan fizikal dan ketahanan mental sejak dua minggu lepas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Ramli berkata ketika di Pulau Perhentian, pelajarnya akan menyertai aktiviti pemuliharaan terumbu karang dan pembersihan persekitaran pulau dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia.

Katanya program yang julung kali diadakan itu mendapat kerjasama Jabatan Taman Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta Biro Pendidikan Pemuda Umno Besut. – Bernama

Soalan bocor bukan punca – Sinar Harian


Soalan bocor bukan punca

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mac 2012
Soalan bocor bukan punca

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) menafikan berlaku soalan bocor dalam peperiksaan awam hingga membawa kepada kejayaan negeri ini mengungguli pencapaian dalam pendidikan negara sejak beberapa tahun ini.

Sebaliknya, kejayaan yang diperoleh itu hasil kerja keras warga pendidik, di samping sokongan padu Kerajaan Negeri yang sentiasa memberi keutamaan dalam bidang pendidikan membabitkan peruntukan yang cukup besar setiap tahun.

Pengarahnya, Zakaria Hussin berkata, kesungguhan Terengganu untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam pendidikan dan sukan jelas terbukti dengan pelbagai kejayaan, namun katanya, sukar untuk menghalang pihak lain beranggapan sedemikian (soalan bocor).\

“Kita tidak boleh untuk menghalang orang lain untuk beranggapan sedemikian (soalan bocor) dan biasalah apabila kita cemerlang akan timbul rasa tidak puas hati pihak lain, tetapi itu tidak halang kesungguhan kita.

“Malah, apa yang penting kita teruskan kerja dengan melaksanakan pelbagai perancangan yang telah dibuat bagi memastikan Terengganu terus mengungguli kejayaan dalam pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media pertama selaku Pengarah JPNT di bilik Mesyuarat Alamanda, JPNT, di sini, semalam.

Menurutnya, tidak dinafikan kejayaan Terengganu mengungguli kecemerlangan dalam pelbagai peperiksaan awam sebelum ini mengundang pelbagai persepsi ramai pihak dan situasi itu secara tidak langsung melonjakkan lagi semangat untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

Sementara itu, Zakaria yang memulakan tugas secara rasmi sebagai peneraju utama pendidikan di negeri ini semalam, turut bertekad untuk memastikan kejayaan terus menjadi milik Terengganu pada masa akan datang.

Beliau sebelum ini memegang jawatan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan mantannya, Razali Daud.