Tanggung azab ingkar arahan – Metro


Tanggung azab ingkar arahan

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Sekumpulan pelajar lelaki berusia 15 tahun bertindak membelasah seorang rakan sekolah sehingga separuh mati berikutan keengganan mangsa menyertai kumpulan mereka selain mengingkari arahan supaya memukul rakan sekelasnya.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari Isnin lalu, mangsa, Muhammad Shafuan Shari, 15, ditampar, ditumbuk dan diterajang lima pelajar lain tanpa belas kasihan di koridor tingkat atas bangunan tiga tingkat sekolah itu.
Ibu mangsa, Maria Mawarni Mahamud, 35, berkata anaknya didatangi lima pelajar terbabit selepas menduduki ujian di kelas dan memintanya memukul seorang pelajar yang juga rakan sekelasnya.

 

“Namun, anak saya enggan menuruti arahan itu. Berikutan itu, anak saya dibelasah tanpa belas kasihan oleh lima pelajar terbabit sehingga menyebabkan dia hampir terjatuh tetapi bernasib baik apabila sempat berpaut pada besi pemegang tangga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelam, Simpang Empat, di sini, semalam.
Beliau berkata, Muhammad Shafuan yang juga anak sulung daripada empat beradik itu turut diugut agar tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah jika mahu selamat.
“Sebaik pulang dari sekolah, dia menceritakan kejadian yang menimpanya dan berikutan itu, saya membawanya ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat,” katanya.

 

 

Maria berkata, dia kesal dengan kejadian itu dan meminta pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Perlis mengambil tindakan tegas ke atas pelajar terbabit kerana perbuatan itu tidak boleh diterima.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan pihaknya menerima laporan kes itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Gejala ponteng perlu ditangani sebaik mungkin: Raja Muda Perlis – Bernama


Gejala ponteng perlu ditangani sebaik mungkin: Raja Muda Perlis

2012/04/06

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melahirkan rasa bimbang dengan gejala ponteng sekolah sekarang dan mahu ianya ditangani sebaik mungkin kerana perbuatan itu bukan saja merugikan pelajar malah memberi kesan negatif kepada negara.

Ketika melancarkan program Titian Kasih Mega, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Saffi, Simpang Empat dekat sini, baginda menasihati pelajar supaya menjauhi perbuatan itu manakala pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru perlu menggembleng tenaga secara berterusan melaksanakan langkah pencegahannya. “Tidak perlu menuding jari antara satu sama lain kerana isu ini memerlukan tanggungjawab bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak langkah buruk padahnya,” titah baginda pada majlis anjuran bersama Yayasan Tuanku Syed Putra dan Jabatan Pelajaran Perlis itu.

Menurut baginda, pelbagai faktor menjadi penyebab kepada masalah ponteng termasuk suasana persekitaran pembelajaran, pengaruh media massa, sikap pelajar dan juga pengaruh rakan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah bahawa antara kesan buruk kepada pelajar yang ponteng sekolah ialah mereka terdedah kepada gejala sosial negatif, prestasi pembelajaran merosot dan peluang mereka dalam pasaran pekerjaan selepas tamat persekolahan menjadi sukar.

“Negara akan kekurangan bakal peneraju yang berwawasan,” titah baginda. – BERNAMA

Pendidik jangan terpengaruh dakyah jatuhkan kerajaan – Isa Sabu – Bernama


Pendidik jangan terpengaruh dakyah jatuhkan kerajaan – Isa Sabu

01/02/2012 11:50am

 

KANGAR 1 Feb. – Warga pendidik khususnya di negeri ini diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan demi kepentingan diri mereka.

Menteri Besar Perlis, Datuk Dr. Md. Isa Sabu ketika memberikan ingatan itu berkata sebagai golongan profesional dan intelektual, para guru perlu sentiasa berada di hadapan dan peka dengan usaha-usaha kerajaan yang sangat menitikberatkan soal pendidikan.

“Saya tidak mahu golongan pendidik terpedaya dengan pihak yang mahu menggugat kekuatan kerajaan. Sama-samalah hindarkan diri daripada dakyah yang tidak membawa faedah dan merosakkan peribadi,” katanya ketika berucap pada majlis Perutusan Tahun 2012 Jabatan Pelajaran Perlis, di sini semalam. – BERNAMA