Penolong Pengetua Disiasat Kerana Tegur Pelajar “Balik India, China” – mStar


Penolong Pengetua Disiasat Kerana Tegur Pelajar “Balik India, China”

Oleh TASHNY SUKUMARAN

PETALING JAYA: Seorang penolong pengetua di sebuah sekolah menengah disiasat atas dakwaan menegur sebahagian pelajarnya supaya “balik India, China.”

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, kementerian sedang menunggu laporan berhubung perkara itu daripada para pegawainya yang mengendalikan kes berkenaan.

“Jika didapati dakwaan itu adalah benar, maka kementerian akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya kepada The Star Online.

Guru terbabit didakwa berang selepas sebahagian pelajar tidak turut serta menyanyi lagu Negaraku semasa perhimpunan mingguan di SMK Engku Husain di Semenyih, Kajang beberapa hari lalu.

Pengetua sekolah, Abdul Ghafar Kunchi Mohd memberitahu The Star Online bahawa sekolah tersebut sudah melaporkan perkara itu kepada kementerian dan Jabatan Pelajaran Selangor.

Beliau berkata, satu mesyuarat diadakan pada Khamis mengenai perkara itu bersama wakil kementerian dan wakil Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di mana ia turut disertai beliau dan penolong pengetua terbabit.

Beliau enggan mengulas lanjut dan memberitahu bahawa perkara tersebut kini dikendalikan oleh kementerian.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan mengecam tindakan guru-guru yang merasakan sesuatu yang boleh diterima dengan memberitahu para pelajar supaya pulang ke negara asal nenek moyang mereka.

“Pada pendapat saya, mereka perlu dilatih semula untuk mempelajari tentang kelakukan yang sepatutnya diamalkan membabitkan guru dan pelajar,” katanya.

Ali berkata, guru-guru dan pendidik-pendidik yang didapati mencetuskan perkauman dalam pendidikan seharusnya ingat tentang peranan mereka memberi panduan kepada pelajar.

“Semangat bangsa Malaysia sepatutnya disemai dalam diri mereka, supaya ia dapat dimaklumkan kepada pelajar berbanding mencetuskan isu perkauman.”

Beliau berkata, pendidik yang mencetuskan isu perkauman perlu diatasi tanpa mempedulikan apakah jawatannya sekalipun.

Kejadian yang berlaku selepas beberapa insiden yang berbaur perkauman yang melibatkan beberapa sekolah, termasuk satu kes pada Ogos lalu apabila seorang pengetua sekolah di Shah Alam memohon maaf kepada para pelajar kerana memberitahu mereka supaya “balik ke India, China atau Indonesia”.

Satu lagi kes apabila SK Seri Pristana, di mana guru besarnya, Mohd Nasir Mohd Noor dituduh bersifat rasis selepas pelajar bukan Islam didapati makan di bilik persalinan pada bulan Ramadan.

Kementeria Pelajaran peruntuk RM1.3 juta untuk sekolah mubaligh di Selangor – Bernama


Kementeria Pelajaran peruntuk RM1.3 juta untuk sekolah mubaligh di Selangor

10 Julai 2012

Datuk Seri Noh Omar
SHAH ALAM – Kesemua 26 buah sekolah mubaligh di Selangor menerima peruntukan khas berjumlah RM1.3 juta daripada Kementerian Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 untuk kerja-kerja penyelengaraan.

Pengerusi Pembangunan Persekutuan Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata setiap sekolah mubaligh menerima peruntukan RM50,000 bagi tujuan berkenaan.

“Bantuan ini diberikan oleh Kementerian Pelajaran kepada sekolah bantuan modal yang dimiliki oleh lembaga pengelola masing-masing. Kita berikan peruntukan ini untuk membaik pulih dan menyelenggara bangunan sekolah terbabit.

“Yang penting, peruntukan ini untuk memastikan kecemerlangan pendidikan dapat ditingkatkan dari segi penambahbaikan kemudahan-kemudahan sekolah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan cek peruntukan itu di Jabatan Pelajaran Selangor di sini hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata terdapat 11 sekolah mubaligh di Klang, Petaling Utama (10), masing-masing dua di Kuala Langat dan Hulu Langat serta satu di Sepang.

Sementara itu, ketika mengulas dakwaan kerajaan Selangor mengenai papan iklan haram yang dipasang di kawasan Tanjong Karang, Noh yang juga Anggota Parlimen kawasan itu berkata ia merupakan tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata kesemua papan tanda itu dipasang oleh agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan, Kemajuan Pertanian Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga bagi memaklumkan kewujudan pusat berkenaan di kawasan Tanjong Karang.

“Semua itu adalah agensi kerajaan, jadi memanglah memamparkan wajah saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya.

Noh dalam pada itu menyelar tindakan Kerajaan Selangor yang menaikkan papan tanda ‘Selamat Datang ke Pekan Ikan Segar’ di beberapa kawasan di Kuala Selangor dan Tanjong Karang kerana projek itu diusahakan oleh kerajaan Persekutuan.

“Apa sumbangan mereka (kerajaan Selangor). Kerajaan persekutuan yang bangunkan dan beri bantuan termasuk jeti di Kuala Selangor yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia…mereka ambil jalan pintas, pacak papan tanda mereka,” katanya. — Bernama

Dakwa dipukul guru muzik – Metro


Dakwa dipukul guru muzik

Oleh Siti Sofia Md Nasir
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PRIHATIN...aktivis masyarakat Klang, Peter Tan (kiri) menunjukan kesan lebam pada pipi Ng, sambil diperhatikan ibunya.
PRIHATIN…aktivis masyarakat Klang, Peter Tan (kiri) menunjukan kesan lebam pada pipi Ng, sambil diperhatikan ibunya.

KLANG: Hanya kerana menegur rakan sekelasnya bermain satu permainan tangan, seorang pelajar sekolah swasta cedera di kepala, muka, mulut, kaki dan bahagian belakang kerana dipukul guru muziknya.

Menceritakan semula kejadian pada 29 Februari lalu, mangsa, Ng Shoon Vee, 14, berkata, guru muzik berumur 50 tahun itu mengarahkan dia keluar dari kelas tanpa memberitahu kesalahannya.
“Saya tidak tahu apa kesalahan saya, tetapi cikgu terus mengarahkan saya ke luar kelas sebelum merotan bahagian belakang, kaki dan tangan saya.

 

“Saya sempat menepis rotan itu, tetapi cikgu menumbuk pula muka saya bertalu-talu melebihi 10 kali hingga saya terhantuk ke dinding,” katanya dalam sidang media di Kelab Eksekutif Klang, semalam.
Ng berkata, guru terbabit hanya berhenti memukulnya selepas menyedari kehadiran guru lain di kawasan itu.
Ibu mangsa, Tan Wan Ching, 40, berkata, selepas kejadian itu dia terus membuat laporan polis dan membawa anaknya menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

 

 

“Saya juga sudah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada pengetua sekolah berkenaan, namun guru terbabit menceritakan cerita yang sebaliknya,” katanya.
Wan Ching berkata, dia harap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap guru itu sebelum lebih ramai pelajar lain menjadi mangsanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
Jurucakap Jabatan Pelajaran Selangor berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, namun jika pelajar terbabit bersekolah di sekolah swasta, Jabatan Pelajaran tiada kuasa.

CCTV cegah ponteng sekolah – Sinar Harian


CCTV cegah ponteng sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Januari 2012

RAWANG – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan belakang sekolah antara langkah yang akan diambil untuk mengatasi masalah ponteng sekolah dan pencerobohan orang luar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Rawang (Semekar), Mohd Saufi Shafie berkata, perancangan tersebut dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

Menurutnya, usaha tersebut dicadangkan ibu bapa dan pihak sekolah selepas selepas menerima banyak aduan kehilangan, kerosakan harta sekolah dan masalah disiplin pelajar.

“Pemasangan CCTV dibuat sebagai komitmen kita memastikan sekolah sentiasa selamat dan meyakinkan kepada ibu bapa bahawa PIBG sentiasa komited dalam menjaga kebajikan sekolah dan pelajar.

“Kita juga akan menaikkan infrastruktur dan prasarana yang dirasakan perlu untuk pembangunan pelajar dari semasa ke semasa,” katanya sewaktu mempengerusikan mesyuarat PIBG Kali Ke-32 SMK Rawang, kelmarin.

Selain itu katanya, PIBG sedang giat mengumpul dana berjumlah RM200,000 untuk memasang bumbung tempat perhimpunan.

“Setakat ini pihak sekolah hanya dapat mengumpul dana RM40,000 dan memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk memulakan projek tersebut.

“Pelan struktur bangunan telah dihantar kepada Jabatan Pelajaran Selangor dan masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Pelajaran untuk kelulusan dan dijangka diperoleh Februari ini,” katanya.

Justeru itu katanya, untuk merealisasikan pembinaan bumbung itu, PIBG bersama sekolah merencanakan pelbagai projek untuk mengutip dana.

“Kita merancang untuk mengadakan karnival dan program yang membolehkan kutipan dibuat selain mengedarkan borang sumbangan kepada orang perseorangan.

“Mesyuarat juga sebulat suara untuk meminta setiap ibu bapa menyumbang RM30 dan dijangka dapat mengutip melebihi RM80,000,” katanya.