Siasatan Terhadap Guru Panggil Murid ‘Pelacur’ – mStar


Siasatan Terhadap Guru Panggil Murid ‘Pelacur’

Oleh YUEN MEIKENG

KUALA LUMPUR: Jabatan Pelajaran Melaka telah diarahkan untuk menyiasat dakwaan bahawa seorang guru disiplin telah memanggil seorang murid sekolah ‘pelacur’, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mary Yap.

“Jabatan itu boleh mengambil tindakan terhadap guru tersebut, jika benar dia melakukan kesalahan itu, di bawah Perintah Am Bab D,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Perintah Am Bab D di bawah Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada kelakuan dan tatatertib kakitangan kerajaan.

Di bawah perintah itu, mana-mana penjawat awam yang didapati bersalah atas suatu kesalahan tatatertib mungkin tertakluk kepada, antara lain, amaran, denda, dilucutkan hak emolumen, penurunan pangkat atau dipecat, bergantung kepada keseriusan kesalahan itu.

Dilaporkan bahawa seorang murid berusia 12 tahun dari Batu Berendam, Melaka mendakwa guru disiplinnya memanggilnya pelacur.

Dia mendakwa guru wanita itu telah tersalah anggap dia adalah sebahagian daripada sekumpulan rakan sekelas lelaki yang telah menimbulkan masalah kepada guru lain.

PELAKSANAAN ARAHAN POTONGAN GAJI TERHADAP PEMINJAM – PINJAMAN PELAJARAN DI BAWAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


PELAKSANAAN ARAHAN POTONGAN GAJI TERHADAP PEMINJAM – PINJAMAN PELAJARAN DI BAWAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

13 May 2013

Sukacita dipanjangkan surat mengenai Pelaksanaan Arahan Potongan Gaji Terhadap Pinjaman-Pinjaman Pelajaran di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia
rujukan KPM.BT800-1/17 (28) bertarikh 10 Mei 2013 yang telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk hebahan/tindakan
semua Ketua Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengarah Kolej Matrikulasi,
Pengarah lnstitut Pendidikan Guru serta Pengetua dan Guru Besar.

 

Muat Turun
Surat Siaran

Kesal guru diwajib hadir – Sinar Harian


Kesal guru diwajib hadir

HAMIZAH BASIR
15 April 2013
Kesal guru diwajib hadir
Kok Seong menunjukkan surat daripada Jabatan Pelajaran yang mengarahkan guru-guru SJKC di negeri ini hadir perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri di Johor Bahru, Selasa ini.

SEREMBAN – Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong kesal berikutan hampir 400 guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini diwajibkan menghadiri perjumpaan khas dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Johor Bahru pada Selasa ini.

Menurutnya, beliau menerima aduan daripada beberapa guru yang memaklumkan mereka ‘diwajibkan’ hadir pada perjumpaan khas itu di SJKC Foon Yew 1, Johor Bahru.

“Selepas parlimen bubar, kerajaan sekarang adalah kerajaan sementara sahaja tetapi mengapa Muhyiddin sanggup mewajibkan guru-guru turun Johor Bahru yang amat jauh untuk bertemunya.

“Cuba bayangkan bukan guru-guru di Negeri Sembilan sahaja diwajibkan hadir, saya menjangkakan seramai 4,000 guru di seluruh negara dijemput hadir perjumpaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau khuatir perjumpaan tersebut akan menjejaskan pembelajaran murid-murid berikutan waktu persekolahan.

“Hari tersebut merupakan hari bekerja dan ia akan menjejaskan pelajaran murid-murid sekolah apabila guru diminta menghadiri perjumpaan tersebut.

“Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya menggunakan Jabatan Pelajaran untuk memaksa guru-guru hadir perjumpaan tersebut yang sebenarnya hanyalah ceramah BN sahaja.

“Jabatan Pelajaran telah dijadikan alat untuk BN berkempen. Saya amat tidak bersetuju dengan tindakan BN memperalatkan Jabatan Pelajaran,” katanya.

Kok Seong berkata, pihaknya berharap Timbalan Perdana Menteri dapat memberi penjelasan secara terbuka tujuan apa perjumpaan itu dilakukan.

“Saya melihat perjumpaan ini adalah untuk BN berkempen menarik undi golongan guru-guru pada Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13),” katanya.

Keputusan SPM ulangan Khamis ini – Bernama


Keputusan SPM ulangan Khamis ini

14 Ogos 2012
KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2012 akan dikeluarkan Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara. – Bernama

Urusan tukar sekolah lambat – Sinar Harian


Urusan tukar sekolah lambat
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Julai 2012

Muhammad menggesa pihak berkenaan meluluskan permohonan pemindahan persekolahan anak angkatnya.
PUCHONG - Seorang bapa mendakwa terkilan apabila dimaklumkan oleh pihak berkenaan urusan pendaftaran persekolahan anak angkatnya terpaksa mengambil masa tiga minggu dan tidak boleh diluluskan serta-merta selepas berpindah dari Johor Bahru.

Perkara itu dikatakan menyebabkan anaknya tertangguh untuk ke sekolah dan tidak dapat menerima pelajaran seperti kanak-kanak lain.

Bapa berkenaan, Muhammad Iskandar, 46, berkata, dia terpaksa berpindah ke negeri ini atas urusan kerja dan membawa anak angkat yang dipelihara sejak lahir bersama.

Katanya, apa yang dikesalkan sebelum ini anaknya juga pernah berpindah sekolah namun kelulusan itu hanya mengambil masa sehari.

Yang dikesalkan, pelajaran anaknya akan tertinggal berikutan gagal mendapatkan keizinan agensi berwajib berkenaan menumpang di sekolah bakal dipindahkan sementara menunggu kelulusan
diperolehi.

“Saya sudah menghantar dokumen yang lengkap, malah saya juga sudah ke sekolah dan bertanya sama ada wujud kekosongan untuk menempatkan anak angkat, Muhammad Hafiz Iskandar, 8, pihak sekolah memberitahu masih ada kuota kekosongan.

“Malangnya apabila ke Jabatan Pelajaran Daerah, kakitangan bertugas memaklumkan saya perlu menunggu dalam tempoh tiga minggu untuk mengetahui status kelulusan pertukaran sekolah,”katanya.

Muhammad yang bekerjasebagai tukang masak berkata, dia tidak berpuas hati kerana alasan diberikan pihak itu adalah mereka perlu mematuhi prosedur.

Dia turut mempersoalkan mengapa perbezaan timbul dalam prosedur pemindahan sekolah kerana sebelum ini hanya sehari diperlukan untuk mendapatkan kelulusan pejabat di Johor sedangkan tiga minggu diperlukan di negeri ini.

“Mengapa dinafikan hak anak saya ke sekolah, saya menggesa supaya mereka segera beri kelulusan ”katanya.

ILI: Belum ada sekolah ditutup – Metro


ILI: Belum ada sekolah ditutup

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: “Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat mengenai penutupan sekolah di negeri ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.

Beliau mengulas mengenai dakwaan ada beberapa sekolah di negeri ini ditutup berikutan penularan penyakit seiras influenza (ILI).
Menurut Shamsulkahar, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu, malah tiada arahan penutupan daripada Kementerian Pelajaran.

 

“Namun, kita akan sentiasa berwaspada dengan wabak berbahaya itu dengan melakukan pemantauan bersama Jabatan Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, pengawasan tahap kesihatan pelajar sentiasa dipantau dan pihaknya berharap tiada penularan wabak ILI berlaku di negeri itu.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang arahan penutupan sekolah.

 

 

Di Melaka, Pemangku Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Dul Hadi Mat Junid berkata, jumlah pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah (SMSMS), yang dijangkiti penyakit menyamai ILI berkurangan kepada 35 orang sehingga semalam dan keadaan dilaporkan bertambah baik.
“Tiada penutupan sekolah, di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah juga sekolah tidak ditutup, tetapi pelajar terbabit hanya dikuarantin. Keadaan bertambah baik dengan hanya dua kes dikesan semalam (kelmarin), manakala jumlah pelajar dikuarantin berbaki 35 orang,” katanya.

 

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak mengeluarkan sebarang cadangan penutupan sekolah kepada jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Galak sekolah, pengusaha kantin lain – Sinar Harian


Galak sekolah, pengusaha kantin lain

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Februari 2012

KULAIJAYA – Jabatan Pelajaran Johor menyambut baik usaha Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai dekat Kampung Melayu, di sini, yang menjadi sekolah pertama di negara ini mengadakan Program Kantin 1Malaysia bermula 9 Februari yang lalu.

Pengarahnya, Mohd Nor A Ghani berkata, pihaknya menyokong dan memuji usaha Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kulaijaya yang menjadi pencetus idea untuk merealisasikan program terbabit selain turut menerima cadangan dari PPD lain untuk mewujudkan pada masa akan datang.

Menurutnya, sekolah mahupun pengusaha kantin lain di negeri ini digalakkan untuk mencontohi sekolah berkenaan yang mana program tersebut berlandaskan konsep 1 Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak.

“Program ini mengambil kira kepada sekolah yang mempunyai pelajar berbilang kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang mana menu makanan dan minuman dijual pada harga RM1 selaras dengan konsep 1 Malaysia.

“PPD Kulaijaya telah membentangkan perkara ini sebelum ini. Kami di peringkat jabatan tiada masalah dan mengalu-alukan usaha sedemikian yang mana dibuat berdasarkan kemampuan pelajar, sekali gus ia berupaya meringankan ibu bapa juga.

“Namun, biarpun terdapat menu makanan 1 Malaysia bernilai RM1, tetapi harga makanan lain yang lebih rendah dari harga tersebut juga perlu disediakan oleh pengusaha kantin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Fauzan Sukimi berkata, tercetusnya idea untuk mengadakan program itu sejak beliau bertugas di sebuah sekolah sebelum ini, di mana kebanyakan pelajar tidak makan pada waktu rehat kerana kekurangan wang.

Menurutnya, meskipun menu makanan terbabit berharga RM1, makanan tersebut tetap mengandungi khasiat dan kualiti yang diperlukan untuk pertumbuhan murid-murid sekolah bertepatan dengan slogan Murid Didahulukan, Kualiti Diutamakan.

“Kantin 1Malaysia turut mementingkan aspek 4 K iaitu kebersihan, keceriaan, kualiti serta kuantiti; dan 2 M iaitu murah dan mesra. Ini bermaksud ia turut mengutamakan persekitaran yang bersih dan mesra pelanggan serta kondusif.

“Untuk menjayakan program ini, keadaan kantin juga perlu berubah wajah dan kelihatan lebih ceria. Biarpun makanan dijual harga murah, tetapi murid-murid turut dilayan dengan mesra, selain menjadi medium atau tempat untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan murid-murid,” katanya.

Beliau berharap, lebih banyak lagi sekolah lain mencontohi SK Kulai untuk mewujudkan program Kantin 1Malaysia di sekolah masing-masing sebagai melambangkan keprihatinan dalam membantu golongan yang memerlukan.