Berhenti sekolah akibat bengkak hati – Sinar Harian


Berhenti sekolah akibat bengkak hati

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 September 2012
Fatin (kiri) menerima sumbangan daripada Tengku Razaleigh, kelmarin.
Fatin (kiri) menerima sumbangan daripada Tengku Razaleigh, kelmarin.

GUA MUSANG – Seorang pelajar perempuan di sini, terpaksa berhenti sekolah berikutan menghidap penyakit bengkak hati yang turut menyebabkan mata kekuningan.

Fatin Nazihah Tuan Bongsu, 13, tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir hanya bersekolah sehingga tahun lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, kerana mengalami masalah kesihatan.

Fatin berkata, setiap kali naik dan turun tangga di sekolah, dia akan pengsan kerana tidak boleh bernafas menyebabkan dia terpaksa berhenti sekolah untuk mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya sedih kerana rakan-rakan lain dapat belajar sedangkan saya terpaksa duduk di rumah,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, dia mempunyai dua adik-beradik sahaja dan dia anak sulung. Akibat penyakit itu dia perlu berulang-alik ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menjalani pemeriksaan.

“Jika diizinkan saya ingin bersekolah semula bagi menjamin masa depan saya,” katanya selepas menerima sumbangan yang disampaikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Dewan RKT Kesedar Lebir, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah, Adun Galas, Ab Aziz Yusof dan Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Cawangan Gua Musang, Muhammad Shukri Abdul Aziz.

Seramai 39 ahli keluarga RKT Lebir menerima sumbangan itu sebanyak RM300 seorang, termasuk 20 penerima orang kurang upaya (OKU), 11 ibu tunggal dan lapan penerima khas.

Ibunya, Siti Ma Sidik Ahmad, 35, yang juga ibu tunggal berkata, penyakit bengkak hati yang dihadapi anaknya itu dikesan sejak berusia 11 tahun, di mana Fatin mengalami masalah pernafasan dan matanya kuning.

Katanya, ketika itu anaknya masih boleh ke sekolah walaupun dalam keadaan tidak bermaya, dan selepas beberapa kali pengsan dia tidak membenarkan Fatin ke sekolah.

“Saya selalu membawa Fatin ke hospital  untuk menjalani  pemeriksaan kerana bimbang penyakitnya akan bertambah serius,” katanya.