Empat beradik tak bersekolah – Berita Harian


Empat beradik tak bersekolah
07:07:01 AM Oleh Rosli Ilham Cetak Emel Kawan

DUNGUN: Empat beradik dari Kampung Nyior, Paka, dekat sini hanya mampu melihat rakan sebaya ke sekolah yang terletak hanya beberapa meter dari rumah mereka.

Zulfitri Zuki, 13; Norsyafikah, 11; Nasarudin, 9, dan Nazihan, 7, tidak dapat menimba ilmu berikutan tiada sijil kelahiran selepas bapa mereka, Zuki Hashim, 45, gagal menjelaskan bil hospital ketika empat beradik itu dilahirkan.

“Kami juga mahu jadi seperti kanak-kanak lain, bangun pagi dan ke sekolah. Kami malu dengan kawan yang pandai menulis dan membaca. Kami tak pandai sangat mengira, membaca dan menulis seperti mereka yang bersekolah, sedikit sebanyak bolehlah,” kata Norsyafikah.
Belajar sendiri

Empat beradik itu berusaha sendiri belajar membaca dan menulis daripada rakan yang datang ke rumah, malah Norsyafikah pernah berhasrat membawa adiknya memerhati murid lain belajar, tetapi tidak diteruskan kerana bimbang tidak disenangi guru dan kakitangan sekolah.

Sementara itu, Zuki berkata, beliau pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di negeri ini untuk menyelesaikan masalah pendaftaran kelahiran empat beradik itu, tetapi diminta ke Ibu Pejabat JPN di Kuala Lumpur bersama surat pengesahan kelahiran dari hospital.

“Saya sedang mengumpul wang untuk bayar bil hospital dan membiayai tambang ke Kuala Lumpur bagi urusan pendaftaran kelahiran mereka,” katanya yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan beristerikan warga Indonesia, Suharni Basir, 43.
Zuki dan keluarganya yang menetap di kampung berkenaan sejak 12 tahun lalu dengan menyewa rumah RM200 sebulan berkata, pendapatannya yang kecil menyebabkannya gagal menjelaskan bil hospital, manakala pendapatan bulanan isteri sebagai pembantu kedai makan tidak menentu menyukarkan lagi usahanya untuk mengumpul wang.

Dua beradik tiada maklumat ibu bapa gagal buat MyKad – Berita Harian


Dua beradik tiada maklumat ibu bapa gagal buat MyKad

2012/05/15

KUALA LUMPUR: Dua beradik dari Sik, Kedah gagal membuat kad pengenalan diri kerana tidak mempunyai maklumat peribadi ibu bapa kandung mereka selepas hampir 12 tahun dipelihara keluarga angkat.

Mohd Idris Liakat Ali, 20, berkata dia dan adiknya, Mohd Ismail Liakat Ali, 17, pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan, tetapi gagal.

Katanya JPN memerlukan nama dan nombor kad pengenalan ibu bagi mengesahkan mereka rakyat negara ini.

“Kami tidak pernah kenal ibu kami, apatah lagi mengetahui nama dan nombor kad pengenalannya.

“Kami merayu kepada sesiapa terutama saudara mara yang mengenali kami tampil membantu kami,” katanya ketika datang ke Balai Berita di sini, semalam.

Mohd Idris berkata, selama ini mereka hanya berdiam diri, tetapi selepas berfikir panjang, mereka memutuskan untuk mendapatkan maklumat ibu bapa mereka supaya dapat membuat kad pengenalan.

Sementara itu, ibu angkat mereka, Noriah Abu, 41, berkata dia dan suaminya yakin dua anak angkatnya itu rakyat negara ini kerana mereka mempunyai suntikan imunisasi atau BCG yang mana kesan suntikan itu jelas keli-hatan di bahu mereka.

Bimbang masa depan 5 anak – Sinar Harian


Bimbang masa depan 5 anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mac 2012
Bimbang masa depan 5 anak

PASIR GUDANG – Sepasang suami isteri di Taman Masai Utama, di sini, bimbang mengenai masa depan lima anaknya apabila sijil kelahiran dan Mykad anaknya itu ditahan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pasir Gudang, pada 20 Februari lepas.

Mindah Abdullah, 47, mendakwa, tindakannya ke JPN untuk mendaftarkan kelahiran cucunya menimbulkan keraguan pihak berkenaan apabila hanya salinan dokumen pengenalan sementara yang dikemukakan sebagai pengenalan diri.

Menurutnya, hanya salinan dokumen itu yang menjadi pengenalan dirinya dan suami, Ghazali Abdullah, 47, selepas dokumen pengenalan sementara asal telah ditarik balik oleh JPN Putrajaya pada 2005.

“Permohonan Mykad di Kota Kinabalu yang dibuat tidak pernah diterima sehingga saya membuat rujukan di JPN Petaling Jaya, tetapi saya diarahkan membuat permohonan baru kerana maklumat permohonan saya bertindih dengan individu lain.

“Malangnya, permohonan kali kedua turut tidak diketahui status sehingga dokumen pengenalan sementara asal yang menjadi pengenalan diri saya ditarik balik JPN Putrajaya pada 2005,” katanya kepada Sinar Harian.

Mindah berkata, JPN Putrajaya memintanya bersama suami pulang membuat semakan di Kota Kinabalu Sabah, tetapi hasratnya tidak tercapai kerana menghadapi masalah kewangan ketika itu.

Menurutnya, hidupnya sentiasa dalam ketakutan seperti warga asing kerana hanya memiliki salinan dokumen pengenalan sementara sebagai pengenalan diri sehingga suaminya sukar mendapat pekerjaan tetap.

“Saya tidak mahu anak-anak senasib kami kerana kami bukan pendatang asing. Permohonan Mykad yang dibuat bukan melalui orang tengah kerana kami pergi sendiri ke JPN Kota Kinabalu.

“Kami bimbang masa depan anak-anak jika sijil kelahiran dan Mykad mereka ditarik balik. Bagaimana mereka hendak menyambung sekolah dan mendapatkan pekerjaan yang tetap nanti?
“Kami rayu pihak JPN dapat menyelesaikan perkara ini dengan adil dan segera demi masa depan anak-anak kami,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pendaftaran JPN Pasir Gudang, Ruzana A. Rahman berkata, pihaknya terpaksa menahan sementara lima sijil kelahiran dan tiga Mykad anak-anak Mindah kerana menimbulkan keraguan.

Menurutnya, pihaknya telah menghantar surat ke JPN Sabah untuk mendapatkan rekod asal sebelum memanggil Mindah untuk siasatan di bawah Akta Pendaftaran 1859, Peraturan Negara 1990 (Pindaan 2001).

“Kita ada keluarkan surat yang menyatakan sijil kelahiran dan Mykad penama-penama berkenaan ditahan sementara yang mana surat itu boleh diguna pakai jika memerlukan. Kita minta mereka boleh memberikan kerjasama jika dipanggil untuk disoal siasat kerana jika tidak ada apa-apa kesalahan, sijil kelahiran dan Mykad itu akan dipulangkan semula,” katanya.

Remaja lega boleh ambil PMR – Utusan


Remaja lega boleh ambil PMR

 

Oleh LEE HOOI BOON
utusanpenang@utusan.com.my

 

JONATHAN Loo Shon Sheuan menunjukkan surat status taraf kewarganegaraan Malaysia yang diperoleh dari JPN di Pusat Komuniti Paya Terubong, Pulau Pinang, semalam.

 

PULAU PINANG 10 Jan. – Seorang remaja kini boleh menarik nafas lega apabila akhirnya mendapat status warganegara.

Lebih menggembirakan bagi Jonathan Loo Shon Sheuan, 14, dengan status tersebut, dia boleh mendapatkan MyKad dan seterusnya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun depan.

“Hati saya begitu lega apabila diberitahu mendapat status kewarganegaraan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Jumaat lalu.

“Saya amat bersyukur dengan anugerah ini kerana membolehkan saya mengambil peperiksaan PMR tanpa masalah dan juga tidak perlu risau lagi untuk melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima sijil kewarganegaraan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong dalam satu majlis di sini, hari ini.

Turut hadir datuknya, Loo Choon Seng, 72 dan nenek, Tan Say Kim, 64.

Masalah untuk mendapatkan MyKad Jonathan timbul kerana ibu bapanya hanya mendaftarkan perkahwinan mereka setelah dia dilahirkan dan ditambahkan pula kegagalan untuk menghubungi ibunya seorang warga Indonesia yang telah bercerai dengan bapanya.

Sementara itu, Chee Leong memberitahu, sejak tiga tahun lalu, lebih 10 peratus rakyat Malaysia berkahwin dengan warga asing terutama dari Indonesia dan China.

“Oleh itu, saya menyarankan golongan terbabit agar mendaftar perkahwinan mereka di JPN bagi mengelak masalah sebegini berlaku sehingga menjejaskan masa depan anak mereka,” ujarnya.