Guru Besar SK Seri Pristana Nafi Mohon Maaf – mStar


Guru Besar SK Seri Pristana Nafi Mohon Maaf

Oleh FARIK ZOLKEPLI

PETALING JAYA: Guru besar sekolah kontroversi, SK Seri Pristana menafikan telah meminta maaf kepada ibu bapa berhubung penggunaan bilik persalinan sebagai kantin sementara di sekolah berkenaan.

“Saya tidak pernah memohon maaf kepada ibu bapa kerana saya menganggap perkara itu sudah diselesaikan,” kata Mohd Nasir Mohd Noor ketika mengulas laporan bahawa beliau telah memohon maaf kepada sekumpulan ibu bapa semasa mesyuarat pada Isnin.

Satu laporan dalam talian menyatakan Mohd Nasir, yang telah mengarahkan pelajar bukan Islam di sekolah berkenaan untuk makan di bilik mandi pada bulan Ramadan, memohon maaf ketika mesyuarat pagi Isnin dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pegawai-pegawai jabatan pendidikan negeri dan ibu bapa murid-murid yang terlibat.

Mohd Noor memberitahu The Star bahawa Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Mahmud Karim, turut menghadiri mesyuarat tersebut untuk mendengar rungutan ibu bapa.

“Bagaimana saya dapat bercakap apabila pegawai atasan saya berada di sana pada mesyuarat itu,” katanya pada hari Selasa.

Tutup sekolah untuk jamin kesihatan, keselamatan – Bernama


Tutup sekolah untuk jamin kesihatan, keselamatan

20 Jun 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan hari ini mengarahkan pihak pentadbir sekolah mengambil langkah menutup sekolah jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras bahaya, iaitu 300 bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata berkata pihak pentadbir sekolah perlu mengambil tindakan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Selain ditutup, pihak sekolah juga perlu menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah jika IPU melebihi 250, dan menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi jika IPU melebihi 150, katanya dalam satu kenyataan di sini.

“Kementerian Pendidikan memandang serius perkembangan fenomena jerebu yang melanda negara ketika ini.  Selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Ogos 2012 berhubung pindaan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, kementerian telah mengeluarkan Surat Siaran KPM Bil.14 Tahun 2013 berhubung Langkah-Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia Bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid-Murid Di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal,” katanya.

Abdul Ghafar berkata Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah juga telah diarah untuk memantau dan mengikuti perkembangan semasa fenomena jerebu melalui media massa dan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengetahui status jerebu di kawasan masing-masing.

Katanya, kementerian itu juga telah membuka bilik gerakan untuk memantau perkembangan fenomena itu, dan untuk memudahkan kementerian mengambil langkah-langkah wajar bagi menanganinya.

“Murid-murid dinasihatkan memakai penutup hidung dan pihak sekolah hendaklah merujuk pelajar yang dikenal pasti tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.

Lebih 200 sekolah di Muar, Johor hari ini diarah tutup buat sementara berikutan bacaan IPU mencatat paras bahaya iaitu 383.

Pengarah Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani berkata keputusan itu dibuat berikutan paras IPU di daerah itu mencecah tahap bahaya, dan tindakan itu melibatkan 76,940 pelajar.

JAS hari ini melaporkan Muar merupakan kawasan yang paling teruk dilanda jerebu dengan IPU 383 pada 11 pagi meningkat daripada 337 pada 7 pagi tadi. – Bernama

Lebih Banyak Hari Bersekolah Pada Tahun Depan – mStar


Lebih Banyak Hari Bersekolah Pada Tahun Depan

Oleh KAREN CHAPMAN

PETALING JAYA: Ibu bapa yang ingin membawa anak-anak bercuti pada tahun depan harus ingat bahawa lebih banyak hari mereka berada di sekolah berbanding tahun ini.

Sebanyak 205 hari bersekolah iaitu dua hari lebih daripada tahun ini. Pelajar juga akan mendapat cuti yang pendek dengan 84 hari cuti tahun depan berbanding 87 hari tahun ini.

Pesta Menuai dan Gawai iaitu Mei dan Jun bertepatan dengan cuti pertengahan tahun manakala Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada cuti semester dua minggu pada bulan Ogos.

Kalendar sekolah tahun depan, seperti yang ditunjukkan di laman web Kementerian Pelajaran, menunjukkan bahawa pelajar kembali ke sekolah pada 2 Januari di semua negeri kecuali Kedah, Kelantan dan Terengganu, di mana kelas bermula sehari awal.

Pihak sekolah juga boleh memohon empat hari cuti Peristiwa yang tidak perlu diganti.

Mereka juga boleh memohon cuti ganti (cuti gantian), yang tertakluk kepada kelulusan oleh masing-jabatan pendidikan negeri.

Cuti akhir tahun akan bermula pada 15 November tahun depan, kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu di mana cuti bermula sehari lebih awal.

63 pelajar kaki ponteng ditahan – Kosmo


63 pelajar kaki ponteng ditahan

SEBAHAGIAN daripada pelajar yang ditahan dalam operasi gerak gempur basmi pelajar ponteng sekolah peringkat negeri Terengganu diberikan kaunseling oleh seorang pegawai JHEAT di Kuala Terengganu semalam.

 

KUALA TERENGGANU – Seramai 63 pelajar diberkas dalam operasi gerak gempur basmi pelajar ponteng sekolah peringkat negeri Terengganu yang dilancarkan semalam.

Operasi yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 12 tengah hari itu mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussin berkata, kesemua pelajar yang ditahan diberikan sesi kaunseling sebagai peringatan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Kita telah memberi mandat kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar terlibat sama ada dikenakan tindakan tatatertib ataupun digantung persekolahan bagi menyedarkan pelajar terlibat,” katanya selepas tamat operasi tersebut di sini semalam.

Pendidikan medium terbaik pencegahan – Sinar Harian


Pendidikan medium terbaik pencegahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Februari 2012
Pendidikan medium terbaik pencegahan

BATU GAJAH – Sudah tiba masa warga sukan di semua peringkat di negeri ini didedahkan dengan lebih banyak pengetahuan mengenai akta dan penggunaan dadah terlarang.

Exco kerajaan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, walaupun mendidik atlet negara mengenai dadah boleh dianggap sudah agak terlewat tetapi ia lebih baik daripada tidak mengambil apa-apa tindakan langsung.

“Bagi saya program kesedaran boleh diselaraskan di semua peringkat bermula di sekolah kerana dari sekolahlah kita perlu dedahkan tentang pendidikan agar mencegah atlet muda kita dari mengambil bahan terlarang.

“Ini boleh dilakukan dengan kerjasama daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan ia memberi ruang untuk nasihat dan kesedaran berterusan kepada pegawai, jurulatih dan atlet tentang pelbagai maklumat mengenai dadah terlarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Sukan Sekolah Perak 2011 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dalam menangani isu kegagalan atlet 4X400m, Mohd Yunus Lasaleh dalam ujian doping ketika Sukan SEA Indonesia tahun lalu apabila ujian sampel B telah disahkan positif oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc).

Zainol Fadzi berkata, peranan jurulatih amat penting dalam memberi penekanan dan nasihat kepada atlet berhubung isu penyalahgunaan bahan antidoping.

“Berdasarkan kes sebelum ini, terdapat atlet yang tidak menyedari kewujudan bahan terlarang di dalam makanan atau ubatan yang diambil. Jurulatih yang memberikan makanan tambahan tertentu juga seharusnya mempunyai pengetahuan yang luas dan jelas khususnya melibatkan pengambilan ubat kerana kita khuatir bahan tersebut sebenarnya mengandungi dadah terlarang,” katanya.