Pelajar Tingkatan Lima maut kemalangan di Kuantan – Bernama


Pelajar Tingkatan Lima maut kemalangan di Kuantan

2013/06/13 – 15:43:11 PMCetakEmel Kawan
KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan lima maut apabila motosikal yang diboncengnya berlanggar dengan sebuah motosikal lain yang cuba mengelak sekatan jalan raya di Jalan Teluk Sisek di sini, semalam.

Syafiq Iqmal Alias, 17, yang menetap di Lorong Seri Kuantan 19, di sini, mati ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, mangsa dan rakannya yang berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Jalan Teluk Sisek menghala ke Jalan Besar, Kuantan.

“Motosikal yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang datang dari arah bertentangan. Motosikal dinaiki dua lelaki berusia 20-an itu yang secara tiba-tiba memanjat pembahagi jalan menyeberangi masuk ke laluan mereka.

“Tindakan berbahaya dua lelaki itu dipercayai akibat panik apabila melihat sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lokasi itu,” katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa dan dua lagi lelaki terbabit cedera dan kini dirawat di HTAA.

– BERNAMA

2 remaja ditahan memandu tanpa lesen – Bernama


2 remaja ditahan memandu tanpa lesen

9 Februari 2013

KUALA TERENGGANU – Dua remaja perempuan ditahan di Jalan Sultan Muhammad di sini malam tadi kerana didapati memandu tanpa lesen.

Mereka yang berumur 16 dan 19 tahun adalah antara 103 pesalah trafik yang ditahan pihak penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi sempena Tahun Baru Cina di sini.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata kedua-dua remaja berkenaan dari Kuala Berang, Hulu Terengganu mendakwa mereka datang ke Kuala Terengganu untuk melihat saudara mereka yang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Kita menahan kedua remaja ini kerana gagal menunjukkan lesen memandu. Biarpun tiada lesen, namun mereka tetap berani memandu dalam jarak yang agak jauh.

“Saya agak kesal dengan insiden seperti ini kerana masih ramai pengguna jalan raya yang kurang sedar tentang bahaya dan risiko bakal dihadapi jika memandu tanpa lesen,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi tersebut.

Abdul Rahman berkata dalam operasi itu, sebanyak 103 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 27 pemilik kenderaan diberi notis arah periksa kenderaan mereka.

Enam buah motosikal dan sebuah kereta turut disita dan enam  notis larangan penggunaan kenderaan dikeluarkan oleh JPJ sementara 55 saman dikeluarkan oleh pihak polis, katanya.

Operasi itu melibatkan daerah Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut dengan seramai 87 pegawai JPJ, polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.  – Bernama

2 remaja lepak ditahan reman – Sinar Harian


2 remaja lepak ditahan reman

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Januari 2013
2 remaja lepak ditahan reman
Antara rangka motosikal curi yang berjaya diperolehi hasil tangkapan dua remaja, semalam.

KUALA LANGAT – Polis masih mencari tujuh lagi rakan subahat suspek curi motosikal yang berjaya ditahan dalam keadaan mencurigakan di pekarangan flat D’Menara Bukit Changgang, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, remaja lelaki berusia 16 dan 19 tahun berkenaan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti curi motosikal sekitar Kuala Langat dan Putrajaya sejak beberapa bulan lalu ditahan serta-merta ketika melepak hasil intipan sejak dua hari lalu.

“Sepasukan anggota polis dari Unit Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) diketuai Ketua Polis Balai Banting, Inspektor Husairin Che Hussin berjaya mencekup dua suspek berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

“Ketika serbuan dibuat, polis menemui spanar T yang diubah suai dalam poket seluar suspek dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal,” katanya kepada Sinar Harian selepas Rondaan Cegah Jenayah, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal, dua suspek terbabit mengakui aktif menjalankan aktiviti curi motosikal di kawasan Banting.

“Gara-gara tidak mahu bersubahat, suspek bertindak memaklumkan polis mengenai lokasi simpanan motosikal yang dicuri kumpulan mereka di sebuah rumah lot di Bukit Changgang.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan luar rumah, polis menjumpai tujuh rangka dan lima enjin motosikal,” katanya.

Bagaimanapun, semuanya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Manakala nombor casis dan nombor enjinnya tiada dalam dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, siasatan turut mendapati tiga motosikal masih dilaporkan hilang berkait laporan di Kuala Terengganu, Banting dan Dengkil.

“Polis masih mengesan saki baki kumpulan terbabit dan meneruskan siasatanberhubung kes ini  memastikan sama ada suspek mempunyai sindiket curi motosikal di kawasan lain.

“Dua remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan ditahan reman sehingga esok (hari ini),” katanya.

Cuepacs tubuh tabung khas – Sinar Harian


Cuepacs tubuh tabung khas

NORHASPIDA YATIM
18 November 2012
Cuepacs tubuh tabung khas
Omar menyampaikan sijil kepada peserta program profesionalisme perguruan pada majlis penutup sambutan Jubli Emas 50 Tahun KKGLMSM, semalam.

KUALA TERENGGANU – Cuepacs kini dalam usaha menubuhkan tabung khas di bawah Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Berhad bagi membantu pekerja sektor awam yang ditimpa musibah.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, dana tabung kebajikan yang dijangka berjumlah RM1.4 juta itu akan diperoleh melalui hasil kutipan RM1 daripada seluruh kakitangan awam yang menjadi ahli Cuepacs.

“Inisiatif ini sebagai meringankan beban penjawat awam kerana sehingga kini tiada pampasan boleh dituntut mereka yang cedera akibat berdepan dengan musibah tidak diduga ketika sedang menjalankan tugas.

“Tabung ini dijangka mampu membantu meringankan beban mereka, sekali gus membantu ahli keluarga pekerja yang ditimpa kemalangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), di sini, semalam.

Menurutnya, beliau kini dalam usaha menggesa pihak bertanggungjawab terutama pihak majikan supaya menyediakan insentif khas bagi penjawat awam yang bekerja dalam suasana berdepan risiko tidak diduga.

Katanya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan nyawa dan keselamatan pekerja.

“Kita cadang agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan insurans dan insentif khas bagi anggota beruniform terutama mereka yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam.

“Mereka sebenarnya perlu diberi perhatian kerana mempunyai beban tugas dan risiko bekerja tidak kira masa,” katanya.

Omar berkata, sudah tiba masanya majikan menyediakan satu skim perlindungan insurans yang dapat menjamin kebajikan anggota berkenaan apabila ditimpa kemalangan.

Pelajar Tingkatan 2 ditahan dalam Ops Cegah Mat Rempit – Berita Harian


Pelajar Tingkatan 2 ditahan dalam Ops Cegah Mat Rempit

08/09/2012 – 19:02:56 PMCetakEmel Kawan
SERI KEMBANGAN: Usianya baru 14 tahun, namun dia sudah hebat merempit di lebuhraya.

Pelajar tingkatan 2 sebuah sekolah menengah itu juga bertindak berani cuba merempuh sekatan jalan raya berhampiran Lebuh Silikon, Lebuhraya Besraya di sini, dalam satu operasi khas cegah mat rempit, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, dia akhirnya ditahan bersama 199 lagi penunggang motosikal dalam ops khas bersepadu dijayakan oleh Unit Khas Trafik Bukit Aman bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan dan Selangor itu.

Sementara itu, seorang penunggang berusia 30 tahun turut ditahan kerana menunggang motosikal Yamaha 135 LC yang dipercayai curi.

Suspek yang turut dikesan positif dadah mendakwa membeli motosikal itu dengan harga hanya RM500 dari seorang rakannya.

Pemeriksaan mendapati motosikal itu menggunakan nombor pendaftaran palsu yang didaftarkan untuk sebuah kereta Proton Persona milik seorang wanita di Subang Jaya.

Ketua Operasi dari Unit Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Asisten Superintendan Khuzir Abd Majit, berkata operasi khas besar-besaran cegah mat rempit di Lebuhraya Besraya ini sudah lima kali dilakukan dalam tempoh dua tahun.

3 remaja ditahan, cuba rempuh sekatan jalan – Bernama


3 remaja ditahan, cuba rempuh sekatan jalan
16:04:55 PM Cetak Emel Kawan

SEREMBAN: Tiga remaja ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri selepas mereka bertindak cuba melanggar seorang anggota JPJ yang mengadakan sekatan di Jalan Datuk Muda Linggi, di sini, malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah, berkata remaja terbabit yang masing-masing berusia 16, 18, dan 19 tahun menaiki dua motosikal jenis Honda EX5 dipercayai bertindak demikian untuk melarikan diri berikutan kedua-dua motosikal yang dinaiki mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Bagaimanapun mereka gagal melarikan diri dan ditahan anggota kita yang bertindak cekap.
“Ketiga-tiga remaja itu akan diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan kerana menghalang tugas penjawat awam manakala anggota JPJ berusia 30-an yang cuba dilanggar remaja itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Katanya, dalam sekatan yang diadakan sempena Operasi Praperayaan yang bermula jam 8.30 malam itu, 201 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu 49 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal, 32 kepada pemandu kereta dan dua saman terhadap pemandu lori.

“Saman ini dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain kesalahan merangkumi penggunaan lampu HID,” katanya.
Beliau berkata, 25 motosikal dan sembilan kereta disita selain 110 notis larangan penggunaan kenderaan (PG1) dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan terutama membabitkan kesalahan pengubahsuian kenderaan dan tiada cermin sisi.

“Operasi itu yang diadakan serentak oleh JPJ seluruh negara adalah bagi mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal, terutama pada musim perayaan Aidilfitri ini.

“Sekatan jalan dilakukan kerana kita mahu pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya memandangkan musim perayaan bakal tiba kelak,” katanya. – BERNAMA

Ditumbuk penguat kuasa ketika hantar nenek ke hospital – Sinar Harian


Ditumbuk penguat kuasa ketika hantar nenek ke hospital
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Jun 2012

Demo secara aman yang didakwa bagi membantah salah guna kuasa oleh anggota penguat kuasa JPJ di depan pejabat JPJ daerah Jasin.
JASIN – Lebih 20 orang menyertai demonstrasi bantahan secara aman yang didakwa bagi membantah tindakan samseng penguat kuasa terhadap seorang pelajar sekolah di depan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jasin, baru-baru ini.

Pelajar sekolah itu, Ravee Tharan Jengathiswaran, 15, berkata, dia ditahan oleh JPJ ketika memandu kereta bagi menghantar neneknya ke Hospital Jasin dalam keadaan berpakaian seragam sekolah.

Menurutnya, dalam kejadian itu, dia ditumbuk di mulut oleh anggota JPJ sehingga berdarah dan diarahkan melutut di atas jalan raya.

“Selepas memberhentikan kereta, secara tiba-tiba saya ditumbuk sebelum ditarik keluar tanpa berselipar dan diarahkan melutut di jalan raya sedangkan saya masih berpakaian sekolah.

“Saya juga disaman selain kereta turut ditarik oleh pihak JPJ,” katanya. Jengathiswaran berkata, selepas kejadian itu dia membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin untuk tindakan lanjut.

Sementara itu bapanya, B Ravee Tharan berkata, laporan polis sudah pun dibuat lebih seminggu tetapi sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, dia tidak akan mengambil kembali keretanya di JPJ selagi perkara ini belum selesaikan.

“Saya tidak berpuas hati dengan apa yang penguat kuasa terbabit lakukan kepada anak saya sehingga sanggup menumbuk kemudian memalukan dia dan membiarkan anak saya dan neneknya berjalan kaki dari bulatan Pekan Jasin ke Hospital Jasin.

“Apa yang berlaku begitu memalukan dan saya mahu membuat saman malu kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Difahamkan, sebelum kejadian, nenek Jengathiswaran, Vijaya Letchumi, 59, terpaksa meminta tolong cucunya menghantar dia ke hospital kerana mengalami sesak nafas dan turut terkejut dengan tindakan pegawai yang di luar batasan itu.