Pelajar Tingkatan Lima maut kemalangan di Kuantan – Bernama


Pelajar Tingkatan Lima maut kemalangan di Kuantan

2013/06/13 – 15:43:11 PMCetakEmel Kawan
KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan lima maut apabila motosikal yang diboncengnya berlanggar dengan sebuah motosikal lain yang cuba mengelak sekatan jalan raya di Jalan Teluk Sisek di sini, semalam.

Syafiq Iqmal Alias, 17, yang menetap di Lorong Seri Kuantan 19, di sini, mati ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, mangsa dan rakannya yang berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Jalan Teluk Sisek menghala ke Jalan Besar, Kuantan.

“Motosikal yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang datang dari arah bertentangan. Motosikal dinaiki dua lelaki berusia 20-an itu yang secara tiba-tiba memanjat pembahagi jalan menyeberangi masuk ke laluan mereka.

“Tindakan berbahaya dua lelaki itu dipercayai akibat panik apabila melihat sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lokasi itu,” katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa dan dua lagi lelaki terbabit cedera dan kini dirawat di HTAA.

– BERNAMA

2 remaja ditahan memandu tanpa lesen – Bernama


2 remaja ditahan memandu tanpa lesen

9 Februari 2013

KUALA TERENGGANU – Dua remaja perempuan ditahan di Jalan Sultan Muhammad di sini malam tadi kerana didapati memandu tanpa lesen.

Mereka yang berumur 16 dan 19 tahun adalah antara 103 pesalah trafik yang ditahan pihak penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi sempena Tahun Baru Cina di sini.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata kedua-dua remaja berkenaan dari Kuala Berang, Hulu Terengganu mendakwa mereka datang ke Kuala Terengganu untuk melihat saudara mereka yang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Kita menahan kedua remaja ini kerana gagal menunjukkan lesen memandu. Biarpun tiada lesen, namun mereka tetap berani memandu dalam jarak yang agak jauh.

“Saya agak kesal dengan insiden seperti ini kerana masih ramai pengguna jalan raya yang kurang sedar tentang bahaya dan risiko bakal dihadapi jika memandu tanpa lesen,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi tersebut.

Abdul Rahman berkata dalam operasi itu, sebanyak 103 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 27 pemilik kenderaan diberi notis arah periksa kenderaan mereka.

Enam buah motosikal dan sebuah kereta turut disita dan enam  notis larangan penggunaan kenderaan dikeluarkan oleh JPJ sementara 55 saman dikeluarkan oleh pihak polis, katanya.

Operasi itu melibatkan daerah Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut dengan seramai 87 pegawai JPJ, polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.  – Bernama

PELUASAN PUSAT PANGGILAN 1 MALAYSIA (1MOCC) KE SELURUH KEMENTERIAN


PELUASAN PUSAT PANGGILAN 1 MALAYSIA (1MOCC) KE SELURUH KEMENTERIAN

22 January 2013

Pusat Panggilan 1 Malaysia atau 1 Malaysia One Call Centre (1MOCC) kini memasuki fasa dua dengan penglibatan kesemua 25 kementerian mulai 15 Januari 2013. Fasa satu 1MOCC telah dilaksanakan secara perintis sejak November 2012 merangkumi Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Perbadanan Putrajaya serta 21 agensi lain di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pelancaran 1MOCC telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 12 November 2012. 1MOCC merupakan satu projek National Flagship di bawah National Blue Ocean Strategy (NBOS) bertujuan untuk memudah cara komunikasi orang awam dengan agensi Kerajaan melalui konsep pusat panggilan setempat. 1MOCC membolehkan orang awam untuk mengemukakan sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan kepada pelbagai agensi Kerajaan menggunakan satu nombor perhubungan tunggal, 03 8000 8000.

2 remaja lepak ditahan reman – Sinar Harian


2 remaja lepak ditahan reman

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Januari 2013
2 remaja lepak ditahan reman
Antara rangka motosikal curi yang berjaya diperolehi hasil tangkapan dua remaja, semalam.

KUALA LANGAT – Polis masih mencari tujuh lagi rakan subahat suspek curi motosikal yang berjaya ditahan dalam keadaan mencurigakan di pekarangan flat D’Menara Bukit Changgang, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, remaja lelaki berusia 16 dan 19 tahun berkenaan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti curi motosikal sekitar Kuala Langat dan Putrajaya sejak beberapa bulan lalu ditahan serta-merta ketika melepak hasil intipan sejak dua hari lalu.

“Sepasukan anggota polis dari Unit Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) diketuai Ketua Polis Balai Banting, Inspektor Husairin Che Hussin berjaya mencekup dua suspek berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

“Ketika serbuan dibuat, polis menemui spanar T yang diubah suai dalam poket seluar suspek dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal,” katanya kepada Sinar Harian selepas Rondaan Cegah Jenayah, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal, dua suspek terbabit mengakui aktif menjalankan aktiviti curi motosikal di kawasan Banting.

“Gara-gara tidak mahu bersubahat, suspek bertindak memaklumkan polis mengenai lokasi simpanan motosikal yang dicuri kumpulan mereka di sebuah rumah lot di Bukit Changgang.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan luar rumah, polis menjumpai tujuh rangka dan lima enjin motosikal,” katanya.

Bagaimanapun, semuanya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Manakala nombor casis dan nombor enjinnya tiada dalam dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, siasatan turut mendapati tiga motosikal masih dilaporkan hilang berkait laporan di Kuala Terengganu, Banting dan Dengkil.

“Polis masih mengesan saki baki kumpulan terbabit dan meneruskan siasatanberhubung kes ini  memastikan sama ada suspek mempunyai sindiket curi motosikal di kawasan lain.

“Dua remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan ditahan reman sehingga esok (hari ini),” katanya.

Cuepacs tubuh tabung khas – Sinar Harian


Cuepacs tubuh tabung khas

NORHASPIDA YATIM
18 November 2012
Cuepacs tubuh tabung khas
Omar menyampaikan sijil kepada peserta program profesionalisme perguruan pada majlis penutup sambutan Jubli Emas 50 Tahun KKGLMSM, semalam.

KUALA TERENGGANU – Cuepacs kini dalam usaha menubuhkan tabung khas di bawah Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Berhad bagi membantu pekerja sektor awam yang ditimpa musibah.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, dana tabung kebajikan yang dijangka berjumlah RM1.4 juta itu akan diperoleh melalui hasil kutipan RM1 daripada seluruh kakitangan awam yang menjadi ahli Cuepacs.

“Inisiatif ini sebagai meringankan beban penjawat awam kerana sehingga kini tiada pampasan boleh dituntut mereka yang cedera akibat berdepan dengan musibah tidak diduga ketika sedang menjalankan tugas.

“Tabung ini dijangka mampu membantu meringankan beban mereka, sekali gus membantu ahli keluarga pekerja yang ditimpa kemalangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), di sini, semalam.

Menurutnya, beliau kini dalam usaha menggesa pihak bertanggungjawab terutama pihak majikan supaya menyediakan insentif khas bagi penjawat awam yang bekerja dalam suasana berdepan risiko tidak diduga.

Katanya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan nyawa dan keselamatan pekerja.

“Kita cadang agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan insurans dan insentif khas bagi anggota beruniform terutama mereka yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam.

“Mereka sebenarnya perlu diberi perhatian kerana mempunyai beban tugas dan risiko bekerja tidak kira masa,” katanya.

Omar berkata, sudah tiba masanya majikan menyediakan satu skim perlindungan insurans yang dapat menjamin kebajikan anggota berkenaan apabila ditimpa kemalangan.

Taktik mat rempit sorok dalam surau sia-sia – Sinar Harian


Taktik mat rempit sorok dalam surau sia-sia

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 September 2012

KUALA TERENGGANU- Taktik sekumpulan mat rempit yang menyorok di sebuah surau dengan menguncikan pintu bagi mengelakkan ditahan polis nyata sia-sia apabila berjaya dicekup dalam Operasi Khas Trafik Bukit Aman di Jalan Taman Tok Adis, Kuala Ibai di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi pada jam 2.30 pagi itu, 17 mat rempit termasuk empat remaja berusia 18 tahun itu bertindak menyembunyikan diri dalam sebuah surau di sini, selepas menyedari kehadiran polis.

Lebih melucukan, kumpulan itu sanggup berpanas dan menyorok di bahagian saf wanita surau itu dan meninggalkan motosikal mereka di kawasan rumah penduduk berhampiran.

Lebih mengejutkan, 12 daripadanya ialah penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang ketaku-tan kerana membuat pelbagai kesalahan, termasuk tidak memiliki lesen memandu.

Ada juga mat rempit yang bertindak nekad dengan menyamar menjadi pekerja buruh dengan menyorok di dalam sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di kawasan taman berhampiran, namun usaha itu juga kantoi kerana rumah tersebut turut diserbu selepas digeledah hampir 30 minit.

Penguat Kuasa Kontinjen Trafik Bukit Aman, Asisten Superintendan Khuzir Abdul Majid berkata, operasi berkenaan bermula dari jam 2.30 pagi dan berakhir jam 9 pagi semalam.

“Kami jalankan secara mengejut membabitkan 105 anggota, yang dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan dan Rakan Cegah Jenayah (RCJ) Terengganu,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi khas itu, seramai 280 mat rempit yang berusia antara 14 hingga 28 tahun berjaya ditahan dalam operasi yang diadakan di sekitar bandaraya ini.

Daripada jumlah berkenaan, 12 adalah pelajar sekolah menengah dan 20 lagi penuntut IPT.

Manakala. 16 motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan seperti cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan mengubah suai kenderaan.

Dalam operasi berkenaan, sembilan buah motosikal turut ditinggalkan di sekitar kawasan semak dan tapak pembinaan dengan 160 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Pihak berkuasa juga menahan 200 motosikal untuk diperiksa bagi mengenal pasti beberapa kumpulan mat rempit yang aktif di negeri ini seperti Kumpulan 71 Club, Benetton Crew, Skull Dark dan Kaki Moto yang menjadikan laluan Kuala Ibai hingga ke Pantai Burok, di sini sebagai medan berlumba haram dan mengganggu ketenteraman awam.

“Kita akan meneruskan operasi ini dari masa ke masa bagi membendung masalah mat rempit daripada terus berleluasa dan membahayakan orang awam,” katanya.

3 remaja ditahan, cuba rempuh sekatan jalan – Bernama


3 remaja ditahan, cuba rempuh sekatan jalan
16:04:55 PM Cetak Emel Kawan

SEREMBAN: Tiga remaja ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri selepas mereka bertindak cuba melanggar seorang anggota JPJ yang mengadakan sekatan di Jalan Datuk Muda Linggi, di sini, malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah, berkata remaja terbabit yang masing-masing berusia 16, 18, dan 19 tahun menaiki dua motosikal jenis Honda EX5 dipercayai bertindak demikian untuk melarikan diri berikutan kedua-dua motosikal yang dinaiki mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Bagaimanapun mereka gagal melarikan diri dan ditahan anggota kita yang bertindak cekap.
“Ketiga-tiga remaja itu akan diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan kerana menghalang tugas penjawat awam manakala anggota JPJ berusia 30-an yang cuba dilanggar remaja itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Katanya, dalam sekatan yang diadakan sempena Operasi Praperayaan yang bermula jam 8.30 malam itu, 201 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu 49 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal, 32 kepada pemandu kereta dan dua saman terhadap pemandu lori.

“Saman ini dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain kesalahan merangkumi penggunaan lampu HID,” katanya.
Beliau berkata, 25 motosikal dan sembilan kereta disita selain 110 notis larangan penggunaan kenderaan (PG1) dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan terutama membabitkan kesalahan pengubahsuian kenderaan dan tiada cermin sisi.

“Operasi itu yang diadakan serentak oleh JPJ seluruh negara adalah bagi mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal, terutama pada musim perayaan Aidilfitri ini.

“Sekatan jalan dilakukan kerana kita mahu pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya memandangkan musim perayaan bakal tiba kelak,” katanya. – BERNAMA

Pengawal lintasan sekolah dipertimbang – Bernama


Pengawal lintasan sekolah dipertimbang

2012/04/24

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sudah menyediakan satu kertas cadangan bagi mewujudkan jawatan Pengawal Lintasan Sekolah (PLS) bagi melaksanakan kawalan lalu lintas di sekolah yang berisiko kemalangan jalan raya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, memberitahu sidang Dewan Negara hari ini, kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan itu.

“Kita berbincang dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa tempatan.

“Kertas cadangan tersebut sedang diteliti oleh pihak berkaitan sebelum dihantar ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi tujuan kelulusan pelaksanaan di sekolah-sekolah,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Paul Kong Sing Chu.

Menjawab soalan tambahan Kong mengenai perancangan kementerian untuk menambah jumlah PLS bagi mengawasi keselamatan pelajar sekolah, Wee berkata cadangan tersebut adalah satu tindakan tepat bagi mengatasi masalah lalu lintas yang semakin teruk di kawasan sekolah.

“Masalah lalu lintas ini hanya berlaku semasa pelajar datang dan pulang dari sekolah.

“Lalu lintas menjadi sesak pada waktu itu tambahan pula ada yang tidak sabar dengan memotong barisan, saya harap dengan adanya plan pengurusan yang bagus masalah ini dapat diatasi segera,” katanya.
Wee berkata, peratusan menunjukkan tidak semua pelajar datang ke sekolah dengan berjalan kaki namun begitu PLS tetap diperlukan bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa diawasi.

“Sebanyak 38 peratus pelajar dihantar ibu bapa, 26.8 peratus pelajar menaiki bas, 20 peratus pelajar berjalan kaki, 10.5 peratus berbasikal manakala 3.6 peratus bermotosikal ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik tersebut, satu perancangan rapi perlu dibuat bagi memastikan pelajar diberi perlindungan semaksimum mungkin memandangkan risiko kemalangan amat tinggi.

Menjawab soalan tambahan Senator Noriah Mahat mengenai larangan kepada penjaja makanan ringan di luar kawasan sekolah, Wee berkata pihak sekolah tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan sebarang tindakan kepada penjaja tersebut kerana mereka menjaja di luar kawasan sekolah.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengatasi masalah ini, namun penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak dapat menyelesaikannya kerana pelajar sememangnya mempunyai tabiat membeli makanan yang tidak berkhasiat.

“Apa yang kita boleh buat adalah memberi pendidikan tentang penjagaan kesihatan kepada ibu bapa serta pelajar itu sendiri,” katanya. – BERNAMA