Jabatan Penjara nafi dera pelajar – Bernama


Jabatan Penjara nafi dera pelajar

02/08/2011 5:47pm

 

PUTRAJAYA 2 Ogos – Jabatan Penjara menafikan dakwaan 32 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di Johor Baharu, bahawa mereka didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lepas.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata, hasil siasatan awal mendapati, dakwaan para pelajar terbabit bahawa mereka ditumbuk, dipukul dan mendapat layanan di luar daripada batasan adalah tidak benar.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci sedang dijalankan dan sekiranya terdapat pihak tertentu mempunyai maklumat tambahan yang boleh membantu menyelesaikan aduan itu, bolehlah kemukakan kepada beliau di talian 03-8732 8081.

Beliau berkata, mereka juga boleh e-mel maklumat itu kepadanya di zulkifli@prison.gov.my atau menghubungi Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Penjara (Puan) Rusmiza Anuar di talian 03-8732 8388.

“Pihak kami akan memaklumkan hasil siasatan terperinci dari semasa ke semasa dan berharap dapat selesaikan kes pada 5 Ogos ini,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. – Bernama