PM umum WP Labuan dapat cuti am Deepavali – Utusan


PM umum WP Labuan dapat cuti am Deepavali

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytihar cuti am Deepavali kini merangkumi Wilayah Persekutuan Labuan.

Kata beliau, walaupun keputusan itu tidak memberikan kesan besar ke atas Labuan yang mempunyai jumlah penganut Hindu yang kecil, kawasan itu secara simbolik tetap layak memandangkan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, keputusan yang dicapai oleh Kabinet itu juga menunjukkan Malaysia mengamalkan dasar inklusif ke atas semua kaum.

“Orang-orang India di Malaysia tetap mendapat pembelaan yang sebaik mungkin daripada kerajaan Barisan Nasional,” ketika berucap dalam majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Batu Caves, dekat sini hari ini.

Sementara itu, kira-kira 1,000 masyarakat pelbagai kaum hadir pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran parti PPP Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Selain orang ramai, kehadiran Perdana Menteri serta beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut menyerikan lagi majlis sempena perayaan bagi masyarakat India beragama Hindu itu.

Yang hadir sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Kehadiran Perdana Menteri disambut oleh Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan serta kepimpinan PPP dan BN peringkat Wilayah Persekutuan.

Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit menikmati juadah yang disediakan sebelum pulang meninggalkan majlis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121114/dn_02/PM-umum-WP-Labuan-dapat-cuti-am-Deepavali#ixzz2C9CGc3Dn
© Utusan Melayu (M) Bhd

YPPB lancar biasiswa untuk 100 calon UPSR tahun ini – Bernama


YPPB lancar biasiswa untuk 100 calon UPSR tahun ini

22 Oktober 2012

BANTING – Calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berpeluang memohon program biasiswa Peneraju Tunas Geliga (Tunas Geliga) untuk ditempatkan di sekolah berprestasi tinggi yang dilancarkan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) hari ini.

Ketua Eksekutifnya Raja Azura Raja Mahayuddin berkata kriteria permohonan terbuka kepada calon-calon UPSR bumiputera yang mendapat keputusan ‘sederhana baik’ iaitu tiga A dan dua B ke atas, dan daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

“Pemohon juga perlu aktif dalam sukan atau kegiatan kokurikulum, dan mempunyai bakat dalam kepimpinan.

“Selain latar belakang daripada keluarga yang mencabar seperti ibu tunggal, anak-anak yatim dan daripada etnik minoriti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif terbaharu yayasan itu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang di sini.

Permohonan program biasiswa dibuka pada 29 Oktober ini dan pemohon boleh menggunakan keputusan percubaan sementara menunggu keputusan sebenar UPSR menerusi laman webnya http://www.peneraju.edu.my. Tarikh tutup dua minggu selepas keputusan UPSR dikeluarkan.

Beliau berkata RM20 juta diperuntukkan bagi biasiswa Tunas Geliga untuk menampung kos yuran pembelajaran termasuk asrama serta wang saku.

“Di bawah program ini para pelajar yang terpilih akan digilap menjadi pelajar cemerlang dengan sasaran sekurang-kurangnya mendapat sembilan A apabila mereka menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” katanya.

Para pelajar terpilih akan ditempatkan di 10 sekolah berprestasi tinggi di seluruh negara untuk sesi persekolahan 2013, dan akan menyertai program peralihan selama sebulan sebelum dihantar ke sekolah-sekolah berkenaan, katanya.

Yayasan itu yang ditubuhkan pada November tahun lepas setakat ini telah mempunyai dana hampir RM150 juta hasil sumbangan warga korporat dan individu bagi membiayai empat projek pembiayaan akademik dan latihan kemahiran, iaitu Peneraju Tunas Potensi, Peneraju Profesional, Peneraju Skil dan Tunas Geliga, katanya.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata beliau yakin program Tunas Geliga akan berjaya mewujudkan pelajar yang berpotensi untuk menjadi tenaga kerja mahir dan berkualiti tinggi negara.

Ini adalah berdasarkan kepada perkembangan yang memberangsangkan dalam kalangan 210 peserta program peneraju Tunas Potensi daripada lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang kini sedang mengikuti program A-Levels dan ijazah sarjana muda, katanya. – Bernama

Pegawai awam ke luar negara perlu dapat kelulusan KSN, KSU – Bernama


Pegawai awam ke luar negara perlu dapat kelulusan KSN, KSU

12 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Semua pegawai awam yang hendak ke luar negara atas urusan persendirian mesti mendapat kelulusan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha kementerian masing-masing, berkuat kuasa 1 Oktober.

Perkara itu dinyatakan menerusi Surat Pekeliling Am bilangan 3 Tahun 2012 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri pada 1 Oktober, selaras dengan usaha menambah baik kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan.

Surat itu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa bagi menggantikan Surat Pekeliling Am bertarikh 1 Mac 1984 dan 11 Jun 1986.

Menurut pekeliling terkini itu, pegawai terbabit perlu membuat perakuan mematuhi arahan keupayaan kewangan yang mencukupi untuk ke negara yang dilawati.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan lawatan tidak dibiayai individu atau syarikat swasta yang boleh menimbulkan syak munasabah bahawa pegawai telah mengutamakan kepentingan peribadinya berbanding tugas awam pegawai atau membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan tugas rasmi pegawai.

Bagi pegawai yang sering berulang-alik ke luar negara jiran yang bersempadan dengan Malaysia, permohonan juga perlu dibuat melalui Borang Permohonan Perjalanan Pegawai Awam Ke Luar Negara Atas Urusan Persendirian.

Manakala pegawai yang sedang mengambil Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) di dalam atau luar negara hanya perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada
penyelia akademik di pusat pengajian dan memaklumkan kepada Ketua Jabatan dan Ketua Perkhidmatan pegawai awam untuk direkodkan.

Mereka juga tidak dibenar mengunjungi mana-mana negara yang dilarang kecuali dengan kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan. – Bernama

JADUAL HARI KELEPASAN AM PERSEKUTUAN 2013


JADUAL HARI KELEPASAN AM PERSEKUTUAN 2013

Berikut adalah jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan bagi Tahun 2013.

#Nota:[NEW] TAKWIM PERSEKOLAHAN 2013

Muat turun di sini dalam bentuk PDF: 2013_merged

Sumber:

Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Aras 4 Timur, Bagunan Perdana Putra, 62502 Putrajaya

Ibu bapa perlu sokong usaha kerajaan untuk kecemerlangan pendidikan – Bernama


Ibu bapa perlu sokong usaha kerajaan untuk kecemerlangan pendidikan

2 Oktober 2012

SIK – Ibu bapa seharusnya menyokong usaha kerajaan ke arah kecemerlangan pendidikan untuk semua kaum di negara ini menjelang 2015, kata Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Mansor Lat.

Beliau berharap mereka tidak akan terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang ingin menggagalkan usaha kerajaan itu.

“Kerajaan meletakkan bidang pelajaran di satu tahap yang tinggi untuk melahirkan rakyat dan generasi yang berilmu dan sanggup berhadapan dengan kemajuan global,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Sik hari ini.

Pada majlis itu, sekolah tersebut turut menghargai jasa dan kecemerlangan bekas pelajar termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Allahyarham Tan Sri Dr Hamid Osman, Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad dan tokoh sejarah negeri Kedah Datuk Wan Shamsuddin Wan Yusof.

Mansor turut menyampaikan sumbangan serta penghargaan kepada tiga pelajar sekolah itu yang berjaya ke peringkat kebangsaan program saintis muda. – Bernama

Kerajaan mahu selaras hukuman rogol bawah umur – Bernama


Kerajaan mahu selaras hukuman rogol bawah umur

25 September 2012
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mengkaji cadangan menubuhkan jawatankuasa untuk menyelaras hukuman rogol melibatkan gadis bawah umur untuk memastikan golongan itu dilindungi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Bagaimanapun, katanya keputusan berhubung perkara itu perlu mendapat persetujuan daripada pihak mahkamah.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam satu pertemuan dengan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

“Pada peringkat awal, Ketua Hakim telah berikan pandangan iaitu kemungkinan jawatankuasa yang disebut itu (jawatankuasa menyelaras hukuman) boleh ditubuhkan kalau sekiranya pihak eksekutif, kerajaan bersetuju tetapi ia cuma boleh menyelaraskan hukuman,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Nurul Izzah ingin tahu sama ada kerajaan bersedia mewujudkan jawatankuasa seperti yang terdapat di United Kingdom yang menyelaras secara konsisten semua hukuman rogol gadis bawah umur.

Nazri berkata, sekiranya jawatankuasa itu ditubuhkan, ia akan berperanan dari aspek penyelarasan hukuman dan bukannya mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

“Dalam soal sistem perundangan kita, mesti ada kata muktamad. Bahayanya (jika) kita mempunyai jawatankuasa untuk semak balik semua hukuman yang dijatuhkan mahkamah, kerana ia seolah ada satu lagi peringkat yang diwujudkan lebih tinggi daripada mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata, menurut rekod Jabatan Peguam Negara terdapat 5,976 kes yang telah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan di bawah kesalahan rogol melibatkan gadis di bawah umur 16 tahun atau rogol statutory sejak tahun 2007 hingga Ogos 2012.

“Seramai 5,119 orang telah dipertuduh dengan kesalahan rogol melibatkan gadis di bawah 16 tahun. Sebahagian daripada 5,119 orang yang didakwa itu menghadapi lebih daripada satu kesalahan menjadikan jumlah kes 5,976,” katanya.

Menurut beliau, daripada 5,119 yang didakwa, sejumlah 1,631 orang disabitkan atas kesalahan berkenaan manakala 327 orang dilepaskan dan dibebaskan selepas tamat perbicaraan.

Dalam pada itu, 446 orang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu. – Bernama

Program Tajaan 1MDB Mungkin Dipanjangkan Kepada Bilal, Siak & Guru KAFA – Bernama


Program Tajaan 1MDB Mungkin Dipanjangkan Kepada Bilal, Siak & Guru KAFA

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata program penajaan haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sahaja akan diteruskan, malah mungkin akan digandakan jumlahnya sekiranya ‘ada rezeki’.

Beliau berkata program itu juga tidak mustahil akan dipanjangkan kepada kelompok bilal dan siak serta guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), setelah sasaran menghantar para imam dan ketua kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat dicapai.

Dalam ucapannya pada majlis pelepasan jemaah haji 1MDB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Perdana Menteri turut berpesan agar jemaah Malaysia, yang merupakan duta kecil negara ke sana, agar menjaga kelakuan dan tutur kata, kerana adab sopan inilah yang menyebabkan Malaysia dihormati oleh masyarakat dunia.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Seramai 400 imam, ketua kampung dan pengerusi JKKK dari seluruh negara yang belum pernah mengerjakan ibadat haji diberi peluang menjadi tetamu Allah secara percuma melalui program itu kali ini, di mana surat tawaran diserahkan kepada mereka oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos lalu.

Ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama 111 imam dan pengerusi JKKK menerima tajaan itu tahun lalu. Perdana Menteri turut berpesan agar jemaah Malaysia tidak bimbang berkenaan tarikh pilihan raya, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap amal ibadat agar dapat melaksanakan segala rukun dan syarat haji serta umrah dengan sempurna.

“Dan juga, sebagai tetamu Allah, doa tuan-tuan amat mahal dan mustajab di sisi Allah, oleh itu mohon disudikan untuk tuan-tuan mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara, para pemimpin serta rakyat keseluruhannya,” katanya.

Najib juga berkata berubah kepada suatu keadaan yang lebih baik merupakan satu tuntutan dan ajaran asas dalam agama Islam, dan usaha perbaikan atau ‘islah’ itu merupakan agenda terpenting kerajaan pimpinan beliau.

Beliau berkata ‘islah’ itulah yang menjadi roh kepada gagasan program transformasi nasional, untuk meletakkan negara menjadi sebuah negara Islam moden yang maju dan berpendapatan tinggi. “Sesungguhnya, kita tidak pernah melupakan bahawa agenda Islam merupakan teras dalam kita membangun serta memajukan negara Malaysia ini. ‘Islah’ yang menyeluruh dan berstrategik ini juga amat menepati kehendak Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara.

“Apa yang lebih penting untuk difahami bahawa rahmat yang dibawa oleh ‘islah’ ini bukannya terhad kepada orang Islam sahaja bahkan rahmat ini dapat dinikmati sama dengan sebaik-baiknya oleh warga negara yang bukan Islam,” katanya. –BERNAMA

RM100 juta diagih kepada 428 sekolah mubaligh seluruh negara – Bernama


RM100 juta diagih kepada 428 sekolah mubaligh seluruh negara

06/09/2012 – 15:25:02 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Kerajaan mula mengagih peruntukan RM100 juta yang diumum pada pembentangan Belanjawan 2012 kepada 428 sekolah mubaligh di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata sebagai permulaan, 75 sekolah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan menerima peruntukan masing-masing hari ini.

“Jumlah peruntukan adalah berbeza antara sekolah yang lain kerana ia bergantung kepada keperluan sekolah,” katanya selepas majlis penyampaian peruntukan itu, di sini.

Koh berkata, sebelum agihan dibuat, kerajaan berbincang terlebih dulu dengan badan yang mewakili sekolah mubaligh terbabit bagi memastikan agihan adil dan saksama.

“Secara puratanya setiap sekolah akan menerima antara RM40,000 dan RM50,000 dan sekolah yang mendapat peruntukan lebih adalah disebabkan ada projek pembinaan,” katanya. – BERNAMA

Najib lulus RM530,000 kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil


Najib lulus RM530,000 kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil
18:26:12 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan RM530,000 bagi kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G Palanivel.

Palanivel, yang juga Presiden MIC berkata, projek ‘Road to England’ bertujuan melahirkan pelajar kaum India di Malaysia yang dapat menjadikan bola sepak sebagai satu kerjaya dengan memiliki standard yang setara dengan pemain England dari segi jangka panjang. Ke arah itu, beliau menyerahkan cek lebih RM530,000 kepada Karen Barnes, pengarah Ken Barnes Football Academy, di pejabatnya di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
“Ini adalah julung kali pelajar sekolah Tamil mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak ‘Road to England'” kata Palanivel kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek itu.

Projek berkenaan, yang dijangka dimulakan akhir bulan ini, akan membabitkan 523 sekolah Tamil di 11 lokasi di seluruh negara.

Palanivel berkata, 11 pemain berbakat dan berkemahiran dari kejohanan itu akan dihantar untuk berlatih serta bermain di kelab bola sepak Manchester United di England hujung tahun ini.

Latihan akhir dan pemilihan 11 pemain akan dilakukan oleh bekas pemain antarabangsa England Peter Barnes.
Beliau berkata, projek Road to England adalah hasil kerjasama antara Peter Barnes Football Academy dan Majlis Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia.

– BERNAMA

Rakyat diminta ubah tanggapan terhadap pendidikan vokasional – Bernama


Rakyat diminta ubah tanggapan terhadap pendidikan vokasional

13 Julai 2012
BUTTERWORTH – Ibu bapa diminta supaya mengubah tanggapan kononnya pendidikan vokasional adalah sebagai kelas kedua, kerana kelulusan bidang vokasional sekarang ini mempunyai masa depan yang cerah berbanding pendidikan akademik biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata kelulusan dalam bidang kemahiran sebenarnya kini mendapat permintaan tinggi dari sektor swasta dan tenaga kerja mahir juga diperlukan untuk menjana ekonomi negara.

“Bidang vokasional jelas mampu melahirkan modal insan kelas pertama ke arah menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Kecekapan Kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada 435 pelatih di Dewan Besar Sungai Dua di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai contohnya, tenaga kerja di negara-negara maju adalah golongan yang mendapat pendidikan dalam bidang vokasional.

Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti latihan selama sembilan bulan anjuran Akademi Binaan Malaysia Utara Sdn Bhd, (ABM) dan CIDB menikmati gaji antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Beliau berkata, pelatih bekenaan senang mendapat pekerjaan kerana mempunyai kemahiran berbanding siswazah yang menamatkan pengajian di universiti dan ini membuktikan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran adalah meningkat.

Terdahulu Nor Mohamed ketika melawat Pasar Tasek Gelugor di sini, berkata projek menaik taraf pasar itu yang membabitkan peruntukan bernilai RM474,000 telah siap sepenuhnya.

Katanya, peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM1.4 juta yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat kawasan Parlimen Tasek Gelugor pada September 2011. – Bernama