Gangguan Capaian Aplikasi dan Web Portal HRMIS Jabatan Perkhidmatan Awam – HRMIS


Gangguan Capaian Aplikasi dan Web Portal HRMIS Jabatan Perkhidmatan Awam

 

Dimaklumkan bahawa aplikasi  dan web portal HRMIS di Jabatan Perkhidmatan Awam akan ditutup buat sementara waktu berikutan aktiviti-aktiviti penyenggaraan Pusat Data JPA pada tarikh dan masa seperti berikut:

Tarikh Mula : 30 November 2012 (Jumaat / 5.30 petang)
Tarikh Tamat : 3 Disember 2012 ( Isnin / 2.00 petang)

Adalah menasihatkan supaya sebarang kerja/aktiviti yang melibatkan/memerlukan capaian aplikasi HRMIS dilakukan sebelum atau selepas waktu yang dinyatakan di atas.

Segala kesulitan amat dikesali.

Untuk keterangan lanjut lawat : http://www.eghrmis.gov.my/utama/makluman-semasa/item/352-gangguan-capaian-aplikasi-dan-web-portal-hrmis-jabatan-perkhidmatan-awam

Skim Pinjaman Yuran Pengajian di Luar Negara Sesi 1/2012 Kelolaan Jabatan Perkhidmatan Awam


Skim Pinjaman Yuran Pengajian di Luar Negara Sesi 1/2012 Kelolaan Jabatan Perkhidmatan Awam

Tarikh Permohonan Dibuka : 01 Februari 2012.
Tarikh Tutup Permohonan : 29 Februari 2012.
Tajaan : Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Kategori : Warganegara Malaysia Sahaja
Syarat-syarat: Sila rujuk Garis Panduan Skim Pinjaman Yuran Pengajian di Luar Negara Sesi 1/2012
Borang: Borang Permohonan Online
Dokumen Permohonan/ Rujukan :
  1. Garis Panduan
  2. Borang Pengesahan Pendapatan
Alamat Surat- Menyurat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Bahagian Pembangunan Modal Insan
Aras 5, Blok C1, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62510 PUTRAJAYA.
(u.p: Unit Penawaran Latihan Sebelum Perkhidmatan)

Semua pertanyaan atau kemusykilan dalam urusan ini, sila hubungi:

Unit Penawaran Latihan Sebelum Perkhidmatan
Telefon : 03-8885 3436/ 3562
Faks : 03-8889 2640
Emel : penawaranlsp@jpa.gov.my

3 bulan cukup untuk pasukan khas semak semula SBPA – Bernama


3 bulan cukup untuk pasukan khas semak semula SBPA

25/01/2012 8:27pm

 

PUTRAJAYA 25 Jan. – Pengerusi pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) Tan Sri Ismail Adam yakin tempoh tiga bulan untuk pasukan itu membuat kajian dan penambahbaikan terhadap skim baru itu adalah mencukupi.

Sehubungan itu beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, pasukan itu akan bekerja keras bagi memastikan perkara-perkara berbangkit yang tidak memuaskan hati sesetengah pihak dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Sebagai permulaan hari ini kita membincangkan mengenai terma rujukan. Itu sahajalah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas semakan semula SBPA di JPA di sini hari ini. – BERNAMA

Semakan SBPA: Libatkan kami sama, kata NUTP – Bernama


Semakan SBPA: Libatkan kami sama, kata NUTP

January 16, 2012

 PUTRAJAYA –  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kesatuan itu dilibatkan dalam pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi menyemak semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata penglibatan itu dirasakan amat perlu memandangkan NUTP mewakili sejumlah besar guru di seluruh negara.

“Kita juga telah pun mengumpulkan maklumat serta maklum balas yang diterima, untuk dikongsi dengan pasukan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jumaat lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Pasukan itu akan dianggotai pegawai Jabatan  Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan serta diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan semakan semula SBPA.

Setiausaha Agung NUTP Loke Yim Phing pula berkata, SBPA bukan semuanya tidak baik, cuma ada beberapa aspek dirasakan perlu diperbaiki.

Katanya NUTP akan terus memberikan penerangan kepada warga guru dengan menjemput wakil daripada Kementerian Pelajaran untuk memberikan penjelasan kerana ada beberapa perkara dalam pekeliling SBPA terlalu teknikal dan sukar difahami.

“Kita hendak mengelakkan guru keliru seterusnya terpengaruh dengan kenyataan dalam blog yang bermacam-macam,” katanya. – Bernama

MAKLUMAN – SEMAKAN SEMULA SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM


MAKLUMAN

SEMAKAN SEMULA SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM

Saya merujuk kepada Kenyataan Media YAB Perdana Menteri bertarikh 12 Januari 2012 mengenai semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Semakan semula ini tidak menjejaskan SBPA yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2012.

2. Sehubungan ini adalah dimaklumkan sebuah Pasukan Petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula SBPA dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

3. Pasukan Petugas tersebut akan dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman beliau yang luas dalam hal-hal yang berkaitan Perkhidmatan Awam setelah memegang beberapa jawatan penting dalam perkhidmatan awam.

4. Pasukan Petugas itu akan dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) serta Pegawai kementerian yang berkaitan.

5. Pasukan Petugas tersebut akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

6. Isu-isu berhubung pelaksanaan SBPA hendaklah dialamatkan atau diemelkan dalam tempoh 1 bulan dari kenyataan media ini, iaitu sehingga 15 Februari 2012kepada:

YBhg. Datuk Farida Mohd Ali,
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,

Jabatan Perkhidmatan Awam, Aras 13,
Blok C1, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62510 PUTRAJAYA.

E-mel: farida.sbpa@jpa.gov.my

7. Pasukan Petugas diberi tempoh 2 bulan, iaitu sehingga 16 April 2012 untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada Kerajaan.

8. Bagi mereka yang telah pun bersetuju memilih SBPA, opsyen tersebut adalah kekal.

9. Bagi mereka yang belum mengemukakan borang opsyen SBPA pada tarikh kenyataan media ini dan mereka yang telah membuat opsyen untuk tidak memilih SBPA, borang opsyen yang baru akan dikemukakan setelah keputusan muktamad ke atas semakan semula itu dibuat.

10. Walau apa pun Kerajaan memberi jaminan bahawa SBPA yang telah disemak semula itu adalah terpakai kepada semua pegawai dan tidak akan menjadi kurang baik (less favourable) daripada terma dan syarat SBPA yang telah ditawarkan terdahulu termasuklah kemudahan dan gaji.

TAN SRI MOHD SIDEK BIN HJ HASSAN
KETUA SETIAUSAHA NEGARA

13 JANUARI 2011

Kenyataan Akhbar: “Pembayaran Awal Pencen Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2012”


Kenyataan Akhbar: “Pembayaran Awal Pencen Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2012”

E-mailCetakPDF

11 JANUARI 2012

Bersempena dengan Perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 23 dan 24 Januari 2012, Kerajaan telah memutuskan untuk membayar pencen bagi bulan Januari 2012 awal iaitu pada 13 Januari 2012.

Sehubungan dengan itu, penerima pencen yang menerima waran pencen bertarikh 14 Januari 2012 hingga 31 Januari 2012 boleh menunaikan waran mereka mulai 13 Januari 2012. Bagi penerima pencen yang dibayar pencen melalui bank boleh menuntut pembayaran pencen di bank yang terlibat mulai 13 Januari 2012.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
 10 Januari 2012

Notis SBPA kepada semua ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia


Kepada Semua Ahli KPPK,

Sila kemukakan masalah-masalah teknikal atau anomali yang timbul dalam SBPA.

Pihak NUTP sedang kumpul masalah-masalah ini untuk dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam / Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sila kemukakan subjek emel (SBPA) ke mail@nutp.org

Tarikh Berita/News Date:
27/12/2011

NOTA MAKLUMAN MEDIA – SEMPENA PELANCARAN PEKELILING SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) OLEH YBHG. TAN SRI ABU BAKAR BIN HAJI ABDULLAH, KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA


NOTA MAKLUMAN MEDIA

SEMPENA PELANCARAN PEKELILING SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) OLEH YBHG. TAN SRI ABU BAKAR BIN HAJI ABDULLAH, KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA

– INTIPATI PELAKSANAAN SBPA –

Antara intipati pelaksanaan SBPA yang dipersetujui oleh Kerajaan adalah seperti berikut:

1. pelaksanaan transformasi Perkhidmatan Awam melalui lima (5) inisiatif iaitu Perkhidmatan Awam yang kejat (lean civil service), kepimpinan dinamik, modal insan berkualiti, Perkhidmatan Awam yang fleksibel dan saraan yang kompetitif;

2. pewujudan Pelan Induk Saraan Perkhidmatan Awam (PISA) bagi melaksanakan rombakan sistem saraan Perkhidmatan Awam secara tersusun.

3. pengekalan prinsip-prinsip saraan yang berkuat kuasa dengan penambahan empat (4) prinsip baru iaitu kadar upah untuk kerja mengikut Kumpulan Perkhidmatan, kadar upah untuk individu berdasarkan bakat, keupayaan dan pengalaman, kadar upah untuk kerja bagi individu (subject matter expert) serta kadar upah tambahan untuk kerja mengikut prestasi;

4. pembentukan hierarki Perkhidmatan Awam yang terdiri daripada empat (4) peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana yang menggantikan Kumpulan Sokongan;

5. peruntukan gaji secara single point tanpa Kenaikan Gaji Tahunan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan Kenaikan Gaji Tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi;

6. peruntukan Jadual Gaji Sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana;

7. pelaksanaan enam (6) strategi untuk merealisasi inisiatif Perkhidmatan Awam yang kejat iaitu kawalan saiz Perkhidmatan Awam (right-sizing), kajian pertindihan fungsi antara agensi (duplication), penjajaran fungsi utama perkhidmatan (realignment), perkhidmatan yang boleh diserah urus (outsourcing), perekayasaan proses kerja (business process reengineering) dan kajian semakan skim perkhidmatan (revision);

8. penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan melalui pelaksanaan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru dengan memberi fokus kepada Laluan Pengajaran dan Pembelajaran (LPDP);

9. penambahbaikan laluan kerjaya pegawai dan anggota dalam Senarai Tugas Am ATM berdasarkan subject matter expert dalam bidang-bidang kritikal dengan diberi kenaikan gred gaji tanpa bersandarkan kepada pangkat;

10. pemberian peningkatan gred gaji yang setara dengan gred kenaikan pangkat tanpa dinaikkan pangkat ke jawatan kosong kepada pegawai yang diiktiraf sebagai subject matter expert;

11. pengenalan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang mengandungi dua (2) komponen iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP), dan Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan;

12. perluasan pemberian kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh kepada pegawai dalam Kumpulan Pelaksana bagi membolehkan pegawai mengikuti latihan kemahiran di bawah program SkillsMalaysia;

13. pengekalan prinsip-prinsip pemberian elaun sedia ada dan penambatan kadar bagi empat (4) elaun yang pada ketika ini kadarnya ditentukan berdasarkan gaji iaitu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan, Bayaran Insentif Wilayah dan Bayaran Insentif Pedalaman;

14. pengekalan prinsip-prinsip pemberian kemudahan sedia ada dengan penambahbaikan melalui Program Keseimbangan Kehidupan dan Kerjaya yang memperkenalkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah;

15. pemansuhan dasar pelepasan dengan izin yang diganti dengan dasar pelepasan jawatan bagi mempertingkat mobiliti pegawai dalam perkhidmatan;

16. pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) kepada penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;

17. penyelarasan pencen kepada pesara Perkhidmatan Awam secara peratusan berasaskan kajian berkala kos sara hidup berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013;

18. peningkatan umur persaraan wajib dari 58 tahun ke 60 tahun bertujuan mengekalkan pegawai mahir di dalam perkhidmatan; dan

19. pengekalan pegawai yang menolak SBPA di bawah sistem saraannya, skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan sedia ada (SSM)

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Putrajaya

7 Disember 2011