Tabika ditutup, ibu bapa resah – Sinar Harian


Tabika ditutup, ibu bapa resah

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
30 Disember 2012
Tabika ditutup, ibu bapa resah
Loke (kiri) mendengar masalah dihadapi ibu pelajar tabika berkenaan.

SEREMBAN – Alasan tidak cukup ruang untuk menampung jumlah pelajar sehingga menyebabkan Tabika Perpaduan Lobak, di sini ditutup, bukan saja mengecewakan ibu bapa, malah dianggap sebagai tidak munasabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Anthony Loke berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri mengeluarkan notis kepada ibu bapa agar mereka mendaftarkan anak mereka ke tabika lain bermula sesi persekolahan Januari ini.

“Menurut mereka, tabika terpaksa ditutup kerana tidak cukup ruang bagi menampung jumlah pelajar sedia ada yang dianggarkan seramai 15 hingga 20 orang.

“Sebagai jalan penyelesaian, jabatan meminta ibu bapa mendaftarkan anak mereka di tabika baru dekat Taman Kobena, Senawang. Alasan diberikan jabatan berkenaan mengecewakan dan tidak munasabah,” katanya pada kepada pemberita ketika membuat lawatan di Tabika Perpaduan Lobak, di sini, semalam.

Loke yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, arahan berpindah ke tabika lain jelas merunsingkan ibu bapa memandangkan lokasi tersebut agak jauh menyebabkan mereka terpaksa berbelanja lebih untuk kos pengangkutan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku terhadap tabika terbabit yang sudah beroperasi lebih 10 tahun tanpa sebarang masalah. Penutupan ini ternyata tidak wajar kepada komuniti di kawasan ini, terutama bagi mereka berpendapatan rendah.

“Kita akan meminta jabatan supaya menarik balik arahan dikeluarkan secepat mungkin dan seterusnya mengekalkan tabika ini seperti sediakala, memandangkan sesi persekolahan baru hampir bermula,” katanya.

Guru, pembantu guru Tabika Perpaduan ditawar kontrak 3 tahun – Bernama


Guru, pembantu guru Tabika Perpaduan ditawar kontrak 3 tahun

22 Mei 2012
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

PUTRAJAYA – Semua 3,400 guru dan pembantu guru Tabika Perpaduan di seluruh negara akan ditawar kontrak baru selama tiga tahun mulai tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata sebelum ini, kesemua guru dan pembantu guru ditawar kontrak setiap tahun dan ini menyebabkan ‘unsur ketidaktentuan’ di kalangan mereka kerana khuatir kontrak ditamatkan.

“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada guru dan penolong guru Tabika Perpaduan yang bertungkus lumus mendidik generasi muda negara.

“Saya berharap dengan insentif ini, para pendidik di Tabika Perpaduan akan meningkatkan mutu dan kualiti pengajaran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Kecemerlangan Warga Kerja Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) hari ini.

Seramai 315 warga kerja JPNIN dari pelbagai peringkat jawatan dan jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Pada masa ini terdapat 1,732 Tabika Perpaduan di seluruh negara. Ia ditubuhkan mengikut kawasan Rukun Tetangga bertujuan menyediakan kemudahan pendidikan asas untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun khasnya dari golongan berpendapatan rendah, di samping menyemaikan benih keharmonian dan perpaduan.

Sementara itu, Koh berkata perlindungan insurans kemalangan bagi anggota peronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah ditingkatkan daripada RM20,000 kepada RM40,000, mulai tahun ini.

Beliau berkata terdapat 2,910 SRS dengan jumlah anggota peronda seramai 145,000 orang di seluruh negara sehingga tahun lepas.

Selain itu, Koh berkata JPNIN mensasar untuk melahirkan 300 mediator komuniti yang mempunyai kemahhiran mediasi dan secara sukarela setiap tahun.

Sehingga tahun lepas, beliau berkata seramai 519 mediator telah dilatih dengan menjalani kursus kemahiran proses mediasi komuniti yang dikendalikan Pakar Sosio-psikologi Datuk Dr Wan Halim Othman.

“Intervensi mediator komuniti terbukti berjaya membantu menyelesaikan pertelingahkan dan mententeramkan keadaan di kalangan masyarakat agar tidak mencetuskan konflik,” katanya.

Sementara itu, Koh menyaran semua rakyat Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan negara agar Malaysia kekal sebagai 20 negara paling aman di dunia.

Beliau berkata menurut kajian Global Paece Index (GPI) 2011, Malaysa adalah negara ke-19 paling selamat daripada 154 negara di seluruh dunia.

“Kemungkinan pada tahun ini, kedudukan Malaysia akan menurun kerana beberapa demonstrasi dan kelakuan ganas telah berlaku akhir-akhir ini..Ini bergantung kepada kita semua untu mengekalkan keamanan negara,” katanya.

Malaysia menduduki tangga ke-38 pada 2008, sebelum memperbaiki kedudukannya daripada tempat ke-26 pada 2009 kepada tempat ke-22 pada 2010. – Bernama

27 guru Tadika Perpaduan Kedah dinaik gred – Sinar Harian


27 guru Tadika Perpaduan Kedah dinaik gred

ROSNANI SAAD
1 April 2012

ALOR SETAR – Seramai 27 daripada 103 guru Tadika Perpaduan di negeri ini yang memiliki diploma bakal menikmati kenaikan gaji setelah gred mereka S17 Kontrak dinaikkan kepada S27 Kontrak berkuat kuasa Februari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata, kumpulan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 200 guru Tadika Perpaduan di seluruh negara, yang mendapat kenaikan gred.

Menurutnya, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan membuka ruang kepada tadika kerajaan termasuk Tadika Perpaduan dan Kemas (tabika), meningkatkan kualiti guru dan mereka yang memenuhi syarat akan dihantar mengikuti kursus peringkat diploma di institut pendidikan guru.

“Daripada keseluruhan 1,723 guru Tadika Perpaduan di seluruh negara, kira-kira 500 daripadanya sedang mengikuti kursus manakala 200 sudah memiliki diploma dan ini termasuk 27 guru di Kedah.

“Pada Februari lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju memberi gred lebih tinggi iaitu dari S17 Kontrak kepada S27 Kontrak,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perpaduan Tahun 2012 Peringkat Negeri Kedah, semalam.

Sementara itu, katanya, satu usul akan dicadangkan bagi membolehkan usia guru yang layak mendapat peluang mengikuti kursus peringkat diploma, dilanjutkan kepada 48 tahun atau 50 tahun.

“Syarat yang sedia ada membenarkan guru berusia 45 tahun dan ke bawah sahaja untuk mengikuti kursus. Kita akan minta dilanjutkan tetapi kualiti guru berusia lebih 45 tahun tetap diutamakan mengikuti kursus anjuran Kementerian Pelajaran.

“Kita menjangkakan, dalam tempoh tiga tahun lagi, semua guru Tadika Perpaduan yang layak akan memiliki diploma,” katanya.