Tabika ditutup, ibu bapa resah – Sinar Harian


Tabika ditutup, ibu bapa resah

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
30 Disember 2012
Tabika ditutup, ibu bapa resah
Loke (kiri) mendengar masalah dihadapi ibu pelajar tabika berkenaan.

SEREMBAN – Alasan tidak cukup ruang untuk menampung jumlah pelajar sehingga menyebabkan Tabika Perpaduan Lobak, di sini ditutup, bukan saja mengecewakan ibu bapa, malah dianggap sebagai tidak munasabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Anthony Loke berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri mengeluarkan notis kepada ibu bapa agar mereka mendaftarkan anak mereka ke tabika lain bermula sesi persekolahan Januari ini.

“Menurut mereka, tabika terpaksa ditutup kerana tidak cukup ruang bagi menampung jumlah pelajar sedia ada yang dianggarkan seramai 15 hingga 20 orang.

“Sebagai jalan penyelesaian, jabatan meminta ibu bapa mendaftarkan anak mereka di tabika baru dekat Taman Kobena, Senawang. Alasan diberikan jabatan berkenaan mengecewakan dan tidak munasabah,” katanya pada kepada pemberita ketika membuat lawatan di Tabika Perpaduan Lobak, di sini, semalam.

Loke yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, arahan berpindah ke tabika lain jelas merunsingkan ibu bapa memandangkan lokasi tersebut agak jauh menyebabkan mereka terpaksa berbelanja lebih untuk kos pengangkutan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku terhadap tabika terbabit yang sudah beroperasi lebih 10 tahun tanpa sebarang masalah. Penutupan ini ternyata tidak wajar kepada komuniti di kawasan ini, terutama bagi mereka berpendapatan rendah.

“Kita akan meminta jabatan supaya menarik balik arahan dikeluarkan secepat mungkin dan seterusnya mengekalkan tabika ini seperti sediakala, memandangkan sesi persekolahan baru hampir bermula,” katanya.

Guru, pembantu guru Tabika Perpaduan ditawar kontrak 3 tahun – Bernama


Guru, pembantu guru Tabika Perpaduan ditawar kontrak 3 tahun

22 Mei 2012
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

PUTRAJAYA – Semua 3,400 guru dan pembantu guru Tabika Perpaduan di seluruh negara akan ditawar kontrak baru selama tiga tahun mulai tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata sebelum ini, kesemua guru dan pembantu guru ditawar kontrak setiap tahun dan ini menyebabkan ‘unsur ketidaktentuan’ di kalangan mereka kerana khuatir kontrak ditamatkan.

“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada guru dan penolong guru Tabika Perpaduan yang bertungkus lumus mendidik generasi muda negara.

“Saya berharap dengan insentif ini, para pendidik di Tabika Perpaduan akan meningkatkan mutu dan kualiti pengajaran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Kecemerlangan Warga Kerja Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) hari ini.

Seramai 315 warga kerja JPNIN dari pelbagai peringkat jawatan dan jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Pada masa ini terdapat 1,732 Tabika Perpaduan di seluruh negara. Ia ditubuhkan mengikut kawasan Rukun Tetangga bertujuan menyediakan kemudahan pendidikan asas untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun khasnya dari golongan berpendapatan rendah, di samping menyemaikan benih keharmonian dan perpaduan.

Sementara itu, Koh berkata perlindungan insurans kemalangan bagi anggota peronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah ditingkatkan daripada RM20,000 kepada RM40,000, mulai tahun ini.

Beliau berkata terdapat 2,910 SRS dengan jumlah anggota peronda seramai 145,000 orang di seluruh negara sehingga tahun lepas.

Selain itu, Koh berkata JPNIN mensasar untuk melahirkan 300 mediator komuniti yang mempunyai kemahhiran mediasi dan secara sukarela setiap tahun.

Sehingga tahun lepas, beliau berkata seramai 519 mediator telah dilatih dengan menjalani kursus kemahiran proses mediasi komuniti yang dikendalikan Pakar Sosio-psikologi Datuk Dr Wan Halim Othman.

“Intervensi mediator komuniti terbukti berjaya membantu menyelesaikan pertelingahkan dan mententeramkan keadaan di kalangan masyarakat agar tidak mencetuskan konflik,” katanya.

Sementara itu, Koh menyaran semua rakyat Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan negara agar Malaysia kekal sebagai 20 negara paling aman di dunia.

Beliau berkata menurut kajian Global Paece Index (GPI) 2011, Malaysa adalah negara ke-19 paling selamat daripada 154 negara di seluruh dunia.

“Kemungkinan pada tahun ini, kedudukan Malaysia akan menurun kerana beberapa demonstrasi dan kelakuan ganas telah berlaku akhir-akhir ini..Ini bergantung kepada kita semua untu mengekalkan keamanan negara,” katanya.

Malaysia menduduki tangga ke-38 pada 2008, sebelum memperbaiki kedudukannya daripada tempat ke-26 pada 2009 kepada tempat ke-22 pada 2010. – Bernama