Calon UPSR dikhuatiri lemas – Bernama


Calon UPSR dikhuatiri lemas
30 Ogos 2013

MACHANG – Seorang pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan, Mohammad Muslim Ibrahim, dikhuatiri lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Sungai Kelantan di Kampung Maka, Labok di sini semalam.

Gerakan mencari Mohammad Muslim, 12, anak ketujuh daripada sembilan beradik, yang dipercayai hanyut pada 1.30 tengah hari semalam, disambung pukul 8 pagi hari ini.

Rakannya, Mohd Aman Abdullah, 10, berkata pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Bagan itu memilih untuk mandi di tempat yang lebih dalam di sungai itu, apabila kemudian dia dilihat terkapai-kapai.

“Kami sempat menarik tangannya sebelum Muslim terus tenggelam,” katanya kepada pemberita ketika di temui di tempat kejadian.

Sementara itu, bapa mangsa Ibrahim Mat, 51, berkata ketika kejadian, beliau ke sekolah anaknya untuk mengambil Mohammad Muslim dan adiknya, tetapi didapati mangsa pulang lebih awal bersama rakannya.

“Sebaik tiba di rumah saya dapati isteri saya sedang menangis dan memberitahu Muslim hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Machang Nordin Yahya berkata operasi mencari setakat ini sejauh dua kilometer dari tempat mangsa dipercayai hilang, membabitkan 70 anggota yang dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Machang dan polis. – Bernama

Ular makin kerap masuk sekolah – Sinar Harian


Ular makin kerap masuk sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Julai 2013
Ular makin kerap masuk sekolah
Kuldip (dua, kanan) menunjukkan beberapa kulit ular yang ditemui di kawasan sekolah kepada M Nasir.

BATU PAHAT – Hampir setiap minggu 200 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Ju, Parit Sulong dikejutkan dengan kemunculan reptilia merbahaya yang masuk ke dalam kawasan sekolah seperti kelas dan kantin.

Guru Besar, Kuldip Kaur mengakui warga sekolah bimbang dan berharap pasukan bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dapat membantu mengatasi masalah ular berkenaan.

“Sehingga hari ini (semalam) saya rasakan lebih 15 ekor ular telah ditemui selain beberapa kulit ular,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Timah Sari, Pegawai Bomba Kanan II M Shah M Nasir, terus ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan, semalam.

Katanya, dengan kekuatan lapan anggota mereka menerima panggilan kira-kira jam 1.25 petang dan terus melakukan operasi selama hampir sejam untuk menangkap ular yang dimaksudkan.

“Bagaimanapun dalam operasi ini, pasukan kami gagal menemui ular tetapi kami temui kulitnya. Dan kami percaya haiwan berkenaan telah keluar dari kawasan sekolah ini.

“Pihak sekolah diminta berhati-hati dan memastikan keselamatan pelajar diutamakan.

“Saya juga menasihati guru dan kakitangan sekolah ini segera menghubungi pihak berkaitan seperti bomba dan JPAM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Remaja maut, adik parah nahas motosikal, lori – Utusan


Remaja maut, adik parah nahas motosikal, lori

ALOR SETAR 4 April – Seorang remaja perempuan terbunuh manakala adik lelakinya parah selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah lori tanah gara-gara cuba mengelak sebatang pokok getah yang tumbang di Jalan Syed Ahmad, Bukit Perak, Pendang di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa, Nor Hasnita Abu Hasan, 18, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd. Afiz Izani Abu Hasan, 13, patah kaki kanan selepas tercampak kira-kira dua meter.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang, Mohd. Izzuddin Inusmeah berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal dinaiki dua beradik itu cuba mengelak daripada melanggar sebatang pokok getah yang tumbang di laluan mereka.

Bagaimanapun, katanya, motosikal mangsa memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tanah.

“Mayat Nor Hasnita ditemukan di hadapan lori manakala motosikalnya terperosok di bawah lori berkenaan,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Difahamkan, pemandu lori yang merempuh motosikal mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, ibu mangsa, Rosni Zainul, 52, ketika ditemui berkata, dia rebah sebaik sahaja mendengar berita mengenai kemalangan yang menimpa dua anaknya itu.

“Nor Hasnita hanya mendiamkan diri pagi ini sebelum keluar rumah tetapi adiknya yang membonceng di belakang melambai tangan sehingga jauh meninggalkan kami.

“Selalu sebelum mereka keluar dari rumah saya akan pesan supaya bawa motosikal dengan berhati-hati. Tak sangka mereka terlibat dalam kemalangan hari ini,” katanya.

Rosni berkata, Nor Hasnita sedang menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan setelah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Katanya, jenazah Nor Hasnita dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Syed Ahmad di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130405/je_02/Remaja–maut-adik-parah–nahas-motosikal-lori#ixzz2Pa3GztHL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cari remaja lemas, jumpa bangkai buaya – Utusan


Cari remaja lemas, jumpa bangkai buaya

SAMARAHAN 1 April – Misteri kehilangan seorang remaja sewaktu memancing bersama dua orang sepupunya di Sungai Batang Samarahan di Kampung Niup di sini kira-kira pukul 12.45 tengahari semalam masih belum terungkai.

Mangsa, Mohd. Iswandi Dollia, 15, disyaki dibaham buaya dan ia diperkuatkan dengan penemuan bangkai haiwan ganas itu kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian sejam selepas dia dilaporkan hilang.

Bangkai buaya sepanjang 3.8 meter itu ditemui terapung oleh beberapa penduduk kampung dan 16 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Bapa mangsa, Dollia Boh, 43, berkata penduduk kampung terbabit mengesyaki buaya berkenaan telah membaham anaknya berdasarkan keadaan perutnya yang kembung dan agak besar.

“Bagaimanapun apabila perut buaya dibelah, mereka tidak menemui sebarang anggota badan manusia,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.

Mohd. Iswandi dilaporkan hilang sewaktu menyelam untuk melepaskan mata kail yang tersangkut di dasar sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Sewaktu kejadian, mangsa memancing bersama dua orang sepupunya iaitu Mohd Iwan Majid dan Yusof Nuri, masing-masing 15 tahun.

Menceritakan kejadian itu, Mohd. Iwan berkata, dia dan mangsa terjun ke dalam sungai selepas mata kail yang digunakan mereka tersangkut manakala Yusof menunggu di tebing sungai.

“Kira-kira seminit kemudian saya naik semula ke permukaan air dan mendapati Mohd. Iswandi masih tidak timbul-timbul manakala air sungai ketika itu berkocak-kocak.

“Pada mulanya kami menyangka dia ingin bergurau tetapi selepas lima minit kami mulai bimbang dan mula menjerit-jerit memanggil namanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Iwan berkata dia kemudiannya berlari mencari orang kampung untuk memaklumkan kejadian itu manakala Yusof menunggu di tebing sungai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Lee Thai Lein berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pukul 1 petang semalam dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Katanya, sehingga pukul 4.30 petang ini, mayat mangsa masih belum ditemui.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130402/dn_14/Cari-remaja-lemas-jumpa-bangkai-buaya#ixzz2PJLCMmAS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Remaja lemas ketika mandi-manda – Utusan


Remaja lemas ketika mandi-manda

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mencari Mohamad Hazril Abd. Rahim (gambar kecil) yang lemas ketika mandi di Pantai Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan, semalam.

TUMPAT 17 Feb. – Kegembiraan 10 orang sahabat berkelah dan mandi-manda di Pantai Sri Tujoh di sini semalam, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas.

Mayat mangsa, Mohamad Hazril Abd. Rahim, 17, hanya ditemui orang ramai pukul 1.05 petang ini di Pantai Geting, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Mohamad Hazril sebelum itu dilaporkan hilang selepas dibawa oleh arus ketika 6mandi di pantai berkenaan pukul 12.30 tengah hari.

Dia yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, dekat sini, tidak sempat diselamatkan oleh rakan-rakannya selepas tiba-tiba dihanyutkan ombak.

Berikutan itu, satu laporan dibuat dan operasi mencari mangsa oleh anggota bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah dijalankan tetapi gagal sehinggalah mayatnya ditemui hari ini.

Ibu mangsa, Che Zaharah Will, 56, ketika ditemui berkata, dia reda dan menerima ketentuan Ilahi di atas pemergian mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik.

“Ini kali pertama arwah datang ke Pantai Sri Tujoh tanpa memberitahu saya terlebih dahulu. Sebelum ini kalau pergi berkelah dia (Mohamad Hazril) akan beritahu saya. Kira-kira pukul 1 petang semalam tiba-tiba saya dimaklumkan oleh rakan dia bahawa arwah lemas di Pantai Sri Tujoh,” katanya.

Tambah Che Zaharah, arwah ada berkelakuan pelik pada malam kejadian apabila tidur di atas sofa di ruang tamu berhampirannya kerana alasan panas.

“Saya bagaimanapun tidak syak apa-apa. Pagi itu juga, Mohamad Hazril sempat bergurau dengan kakaknya, Rozana Abdul Rahim, 27, yang bertanya sama ada dia kacak atau tidak,” katanya sebak.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd. Haizat Farhan, 17, berkata, dia terdengar Mohamad Hazril meminta tolong dengan tangan terkapai-kapai dan tenggelam timbul dipukul ombak tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia juga ketika itu hampir lemas.

Kata Mohd. Haizat, dia bersyukur sempat ditarik oleh seorang lagi rakan mereka, Mohd. Aidil Fitri Zamani, 15.

“Tetapi saya amat terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan Mohamad Hazril kerana dia jauh berada di belakang saya,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130218/dn_10/Remaja-lemas-ketika-mandi-manda#ixzz2LFDvuVwV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Misi bersih bilik darjah – Sinar Harian


Misi bersih bilik darjah

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Misi bersih bilik darjah
Suasana gotong-royong di SMA Mahmudiah, Kuala Berang.

KUALA BERANG – Banjir gelombang kedua yang kini surut membolehkan pihak sekolah di beberapa sekolah terlibat di sekitar Bandar Kuala Berang, di sini, memulakan misi membersihkan kawasan serta bilik darjah, semalam, bagi memulakan sesi persekolahan hari ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, suasana di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan meriah dengan penglibatan 150 individu termasuk Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Dun Kuala Berang, Rela serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Sementara itu, di Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah, pihak sekolah tekun bergotong-royong dan semalam akhbar ini menyiarkan kira-kira 950 pelajar diarahkan pulang kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin setelah paras air di kawasan sekolah itu semakin naik.

Bilik darjah dipenuhi lumpur

Guru Besar SK Tengku Ampuan Intan, Mat Hassan Draman berkata, seramai 548 murid termasuk 93 murid darjah satu dijadualkan memulakan persekolahan sesi baru serta ‘hari pertama’ mereka hari ini, setelah tidak dapat berbuat demikian akibat banjir gelombang kedua.

“Sekolah ini sering dilanda banjir pada musim tengkujuh, tetapi sebelum ini ia tidak jejaskan persekolahan kerana berlaku dalam tempoh cuti sekolah. Kali ini, bencana berlaku ketika persekolahan bermula. Semua ini di luar kekuasaan kita semua.

“Banjir gelombang kedua semalam (kelmarin) tidak begitu teruk jika dibandingkan gelombang pertama minggu lalu kerana paras air naik sekitar satu meter sahaja berbanding baru-baru ini iaitu melebihi dua meter,” katanya.

Menurut beliau, kali ini, banyak peralatan seperti meja dan kerusi khususnya dalam bilik darjah terpalit lumpur.

“Memandangkan banjir surut, hari ini (semalam) pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dengan dibantu pelbagai agensi sama-sama bergotong-royong membersihkan sekolah bagi memulakan seisi persekolahan dijadualkan esok (hari ini),” katanya.

Sentiasa siap sedia

Mat Hassan berkata, air mula naik sekitar kawasan sekolah berkenaan sejak awal pagi kelmarin, tetapi kembali surut lewat petang hari sama, sekali gus membolehkan pihak sekolah melaksanakan kerja membersihkan kawasan termasuk kantin serta bilik darjah.

Dalam perkembangan sama, Mat Hassan berkata, memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir, pihaknya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana dikhuatiri bencana banjir berulang kembali dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu, Shafruddin Ali Husin berkata, hanya tiga sekolah masih lagi ditutup semalam akibat banjir iaitu SK Tengku Ampuan Intan, SMA Mahmudiah dan SM Imtiaz Kuala Berang berbanding 13 sekolah pada hari pertama persekolahan.

“Berikutan keadaan banjir yang semakin pulih membolehkan 10 sekolah kembali memulakan persekolahan masing-masing sebagaimana biasa semalam, termasuk SK Lubuk Periuk yang dinaiki air.

Disengat ketika mandi – Metro


Disengat ketika mandi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Percutian sebuah keluarga ke Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, bertukar mimpi menakutkan apabila seorang daripada mereka menjadi mangsa sengatan obor-obor ketika mandi-manda di pantai berkenaan, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, Shafie Sulaiman, 16 tahun dari Bahau, Negeri Sembilan yang sedang mandi bersama keluarganya di pantai peranginan berkenaan, disengat obor-obor itu di bahagian belakang badannya.
Akibat sengatan itu, katanya, belakang badannya berasa seolah-olah terkena renjatan elektrik sebelum pedih dan gatal lalu berlari ke daratan serta menggelupur kesakitan.

 

“Saya dapat rasa seluruh badan mula gatal dan membengkak di beberapa bahagian sebelum sesak nafas hingga sukar menjerit mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya di sini, semalam.
Katanya, kejadian itu disedari anggota Penyelamat Pantai, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), yang bertugas tidak jauh dari situ.
Menurutnya, anggota JPAM terus melumur seluruh badannya dengan cuka dan losyen khas membuatkan dirinya berasa sedikit lega.

 

 

Sementara itu, Ketua Menara Penyelamat Pantai JPAM, Mohd Hairil Md Nasir ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, beliau bersama lima anggota mendapatkan mangsa yang hampir pitam dalam keadaan menggelupur sebelum merawat mangsa.
“Kami tenangkan mangsa yang kesakitan menahan kepedihan dan kegatalan akibat terkena sengatan obor-obor sebelum diberi bantuan.

 

“Anggota JPAM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk merawat sebahagian badan mangsa yang membengkak sehingga keadaan reda sebelum mangsa memberitahu dia mampu menggerakkan badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17