CUEPACS gesa segerakan bina rumah kos sederhana – Utusan


CUEPACS gesa segerakan bina rumah kos sederhana

 

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM 6 Julai – Kerajaan Pusat serta kerajaan-kerajaan negeri digesa menyegerakan pembinaan perumahan kos sederhana di bawah RM250,000 kepada golongan penjawat awam yang tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Gesaan itu dinyatakan sekali lagi oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman setelah mengambil kira bilangan penjawat awam yang tidak mampu memiliki kediaman sendiri masih lagi tinggi iaitu 45 peratus atau 600,000 daripada keseluruhan 1.5 juta orang.

Menurut Omar, selain menetapkan harga rumah di bawah RM250,000, pihaknya meminta Kerajaan Pusat dan negeri melaksanakan sendiri projek perumahan tersebut menerusi agensi sedia ada seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan diselia oleh Jabatan Perumahan Negara.

“Sekiranya pembinaan perumahan penjawat awam yang dicadangkan ini dilaksanakan oleh pemaju luar, kita khuatir kosnya tidak akan mencapai sasaran kita iaitu di bawah RM250,000.

“Jika kos rumah melebihi jumlah itu iaitu RM300,000 ke atas, ia masih di luar kemampuan kewangan penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM7,000 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden Kongres, Datuk Jemale Paiman. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130706/dn_27/CUEPACS-gesa-segerakan-bina-rumah-kos-sederhana#ixzz2YFmqlMJc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cuepacs mohon bonus dikecuali cukai – Bernama


Cuepacs mohon bonus dikecuali cukai

1 Oktober 2012
logo cuepacs
Cuepacs

 

KUALA LUMPUR – Cuepacs memohon agar bonus kepada penjawat awam pada  Disember dan Januari ini, dikecualikan daripada cukai pendapatan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penjawat awam sememangnya amat menghargai keputusan kerajaan memberi bonus satu setengah bulan, iaitu yang terbaik pernah diberikan setakat ini.
“Kalau boleh dipertimbangkan, berilah bonus yang ‘solid’,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentang Belanjawan 2013 yang bertema ‘Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’ di Dewan Rakyat, mengumumkan pemberian bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam, dengan bonus setengah bulan sudah diberikan Ogos lepas.
Sementara itu, merujuk pengumuman Perdana Menteri berhubung peruntukan RM1.9 bilion kepada Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara bagi memulakan inisiatif membina 123,000 unit rumah mampu milik di kawasan strategik, Omar berkata, pihaknya menyambut baik langkah itu kerana dapat membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya meminta kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa perkara bagi memastikan inisiatif itu dapat memberi nikmat paling maksimum kepada orang ramai.
Omar juga berharap pihak yang terbabit dengan inisiatif perumahan itu dapat memberi pinjaman 100 peratus kepada pembeli, iaitu pembeli tidak perlu membayar 10 atau 20 peratus daripada harga rumah.
Katanya, selain itu, kerajaan perlu memastikan pembeli adalah dari kalangan mereka yang belum memiliki kediaman sendiri, dan unit rumah tersebut pula diharap dapat disiapkan sepenuhnya sebelum dijual. – Bernama