Kementerian Pendidikan siasat kes guru disiplin didakwa cabul pelajar – Bernama


Kementerian Pendidikan siasat kes guru disiplin didakwa cabul pelajar

2013/09/19 – 15:58:25 PMCetakEmel Kawan
KUANTAN: Kementerian Pendidikan mengarahkan siasatan rapi dilakukan terhadap kes seorang guru disiplin sebuah sekolah rendah di ibu negara yang didakwa mencabul bekas pelajarnya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud berkata, kementerian menganggap dakwaan itu perkara serius dan perlu menjalankan siasatan walaupun telah menjadi kes polis.

“Perkara itu telah menjadi kes polis, namun kementerian juga akan melakukan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Asia di sini, malam tadi.

Semalam, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur ACP Khairy Ahrasa berkata guru lelaki berumur 35 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Baru Sentul Sabtu lepas berikutan laporan polis dibuat pelajar berumur 13 tahun itu Jumaat lalu.

Pelajar berkenaan mendakwa bapa kepada dua orang anak itu telah mencabul kehormatannya sejak tahun lepas, katanya.

Guru itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Polis Perak siasat kongsi gelap rekrut pelajar sekolah – Utusan


Polis Perak siasat kongsi gelap rekrut pelajar sekolah

 

IPOH 29 Ogos – Polis Perak sedang menyiasat kegiatan anggota kumpulan kongsi gelap merekrut pelajar sekolah menengah untuk menjual dadah kepada pelajar sekolah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ini susulan kenyataan seorang anggota kumpulan kongsi gelap yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak pada bulan lepas.

“Kumpulan itu merekrut pelajar sekolah menengah berumur 15 hingga 18 tahun untuk menjual dadah kepada pelajar sekolah dan rakan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Perak di ibu pejabat kontinjen di sini hari ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130829/je_12/Polis-Perak-siasat-kongsi-gelap-rekrut-pelajar-sekolah#ixzz2dLf3KfTr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Polis tahan tiga pelajar sekolah menengah pukul rakan – Bernama


Polis tahan tiga pelajar sekolah menengah pukul rakan

2013/04/11 – 16:03:01 PMCetakEmel Kawan
BUTTERWORTH: Polis menahan tiga pelajar sekolah menengah di Seberang Jaya, dekat sini yang sebelum ini dikenakan tindakan buang sekolah berhubung kes pukul seorang pelajar di sekolah sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, tiga pelajar berusia 15 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di sekitar Seberang Jaya di sini pada 11 malam tadi.

“Kita tahan mereka semalam untuk ambil keterangan bagi melengkapkan siasatan. Jika polis dapat melengkapkan keterangan hari ini kita akan bebaskan pelajar terbabit.

“Sekiranya masih belum cukup (keterangan), polis akan mendapatkan perintah reman terhadap mereka, semua itu bergantung kepada hasil siasatan kita,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini, polis sudah merakamkan percakapan lapan orang termasuk mangsa, pelajar yang merakamkan video pergaduhan itu dan guru di sekolah berkenaan.

Mazlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Semalam, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin dipetik sebagai berkata, jabatannya sudah membuang tiga pelajar dari sebuah sekolah menengah di Seberang Jaya di sini selepas didapati bersalah memukul seorang pelajar dalam kejadian 4 Mac lalu.
Kejadian itu dikatakan berpunca apabila tiga pelajar tingkatan tiga terbabit berang dengan tindakan ketua tingkatan yang mahu membuat laporan kepada guru kerana mereka membawa telefon mudah alih ke sekolah.

Perbuatan mereka dirakam dan tersebar luas dalam laman YouTube sejak beberapa hari lalu dan mendapat komen negatif daripada orang ramai. – BERNAMA

Pukul pelajar: 3 pelajar SM Seberang Jaya dibuang sekolah – Bernama


Pukul pelajar: 3 pelajar SM Seberang Jaya dibuang sekolah

10 April 2013

BUTTERWORTH – Tiga pelajar Sekolah Menengah Seberang Jaya di sini dikenakan tindakan buang sekolah setelah didapati bersalah memukul seorang pelajar lain di sekolah berkenaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata tiga pelajar terbabit dikatakan berang dengan tindakan mangsa, yang juga ketua tingkatan, yang mahu membuat laporan kepada guru kerana mereka membawa telefon bimbit ke sekolah.

Katanya dalam kejadian pada 4 Mac lepas, tiga pelajar terbabit bertindak merancang bersama beberapa pelajar lain dan membelasah mangsa di sekolah.

Kejadian itu dirakam dan tersebar luas dalam laman Youtube sejak beberapa hari lepas dan mendapat komen negatif daripada orang ramai.

“Susulan kejadian itu pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah menjalankan siasatan serta membuat keputusan membuang tiga pelajar terbabit sejak 8 Mac lepas kerana melanggar peraturan sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pelajar berkenaan masih diberi peluang merayu untuk meneruskan semula persekolahan dan mereka perlu melalui beberapa prosedur termasuk membuat aku janji sebelum diterima meneruskan semula persekolahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian terbabit.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa pihaknya sudah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian itu menurut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh. – Bernama

Gigit jari remaja gatal – Metro


Gigit jari remaja gatal

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Mengejutkan apabila seorang remaja lelaki mencabul kehormatan seorang wanita dalam tandas di sebuah stesen minyak di Jalan Munysi Abdullah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.25 petang, mangsa yang juga pegawai khidmat pelanggan berusia 28 tahun terkejut apabila remaja berusia 13 tahun terbabit merempuh masuk ke dalam tandas wanita di stesen minyak itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek kemudian bertindak memeluk, mencium dan meraba mangsa.

 

“Wanita itu menjerit untuk mendapatkan bantuan sebelum jeritannya didengari orang awam dan pekerja stesen minyak berkenaan.
“Mangsa berjaya diselamatkan, manakala remaja terbabit ditangkap sebelum diserahkan kepada polis sejurus selepas itu,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, remaja itu ditahan reman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

 

 

Sementara itu, dalam laman sosial facebooknya, mangsa mendakwa ketika dia membuka pintu tandas itu untuk keluar, datang seorang remaja berusia belasan tahun memegang dan menutup mulutnya.
“Dia mencium pipi dan meraba buah dada saya, ketika bergelut cuba melawannya, saya menjerit meminta pertolongan sehingga pelanggan dan kakitangan sebuah bank berdekatan terdengar jeritan saya.

 

“Ketika bergelut saya sempat menggigit jarinya, selepas beberapa kali mencuba untuk membuka pintu akhirnya saya terdengar suara beberapa orang di luar tandas,” katanya.
Menurutnya, dia sekali lagi mencuba membuka pintu berkenaan.
“Saya bernasib baik kerana ketika itu terdapat seorang pekerja stesen minyak bersama seorang wanita dan lelaki berada di luar.
“Mereka menangkap remaja berkenaan dan menahannya di tandas lelaki sehingga polis sampai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02

Belajar Melalu internet bantu kejayaan pelajar cemerlang UPSR – Bernama


Belajar Melalu internet bantu kejayaan pelajar cemerlang UPSR

19 November 2012

SHAH ALAM – Belajar melalui Internet termasuk menerusi media sosial seperti Facebook turut membantu kejayaan Nur Afiqah Syahirah Mohd Adnan yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumum hari ini.

Anak bongsu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah itu berkata melalui media sosial tersebut dia mendapat kawan dan bertukar kertas soalan peperiksaan sekolah masing-masing.

“Saya juga melayari laman web seperti e-book untuk mendapatkan tips dan meningkatkan pengetahuan dalam mata pelajaran yang diambil selain berbincang dengan rakan-rakan di alam maya,” kata murid Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 itu di sini hari ini.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata tiada rahsia khusus untuk mencapai kejayaan selain daripada berusaha tanpa jemu dan mendapat restu serta doa daripada kedua ibu bapa dan guru.

Yang paling utama ialah sering mengadakan ulang kaji dan rajin membuat latihan serta berjumpa dengan guru-guru sekiranya tidak faham dengan mata pelajaran yang diambil, katanya.

“Saya gunakan masa yang ada sebaiknya untuk belajar dan syukur doa saya dimakbulkan dengan kejayaan hari ini,” katanya yang gembira kerana berjaya meneruskan tradisi adik beradiknya mendapat keputusan semua A dalam UPSR.

Turut berkongsi kejayaan ialah anak bekas penjaga gol kebangsaan Azlisham Ibrahim, Adam Muqrish.

Kedua-dua mereka merupakan antara 84 calon dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim berkata 8,581 daripda 90,494 calon UPSR negeri itu berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Beliau berkata seramai 54,092 calon pula lulus dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan gred minimum C.

Katanya Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 pula muncul sekolah yang mendapat peratusan tertinggi bagi calon yang mendapat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil. – Bernama

Pelajar maut ditumbuk dua pelajar – Bernama


Pelajar maut ditumbuk dua pelajar

24 Oktober 2012

ALOR GAJAH – Seorang pelajar sekolah maut dipercayai ditumbuk dua lagi pelajar dalam satu pergaduhan disaksikan kira-kira 30 pelajar lain di perhentian bas Pulau Sebang di sini, hari ini.

Mangsa, K. Saravanan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Sebang sebelum itu dipercayai berperang mulut dan cabar mencabar dengan dua pelajar sekolah berhampiran ketika berada di dalam bas sebelum persekolahan sesi pagi bermula.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pergaduhan berkenaan berlarutan selepas sesi persekolahan berakhir kira-kira 2.30 petang ketika kesemua pelajar sedang menunggu bas di tingkat satu perhentian bas tersebut.

“Mangsa kemudian ditumbuk oleh seorang pelajar terbabit sebelum seorang lagi turut melakukan tindakan sama menyebabkan mangsa jatuh dan pengsan,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya, kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor Shah berusia 14 tahun terbabit yang melihat mangsa tidak sedarkan diri kemudian menghubungi ambulans.

Bagaimanapun Raja Shahrom berkata orang awam yang berada di kawasan tersebut bertindak membawa mangsa ke Hospital Tampin dekat sini sebelum ambulans tiba.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Katanya, kedua-dua pelajar yang terbabit dalam kejadian itu ditahan polis ketika sedang bermain bola di Taman Sebang Gemilang di sini pada 6 petang bagi membantu siasatan.

Lima lagi pelajar yang menyaksikan kejadian tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan, katanya.

Sehubungan itu, Raja Shahrom mengingatkan orang ramai khususnya keluarga pelajar terlibat agar tidak mengambil tindakan di luar undang-undang dan menyerahkan siasatan kepada polis. – Bernama

Polis Melaka tahan lima ahli ‘Geng Myvi Merlimau’ – Bernama


Polis Melaka tahan lima ahli ‘Geng Myvi Merlimau’

24 September 2012

MELAKA – Polis menahan lima anggota ‘Geng Myvi Merlimau’ yang dipercayai terlibat melakukan kes samun jalanan di sekitar Merlimau di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kesemua mereka yang berumur antara 16 hingga 22 tahun ditahan pada Jumaat lepas di beberapa lokasi sekitar Melaka termasuk di Pangsapuri Malinja, Bukit Baru; Mahkota Parade, Kandang dan Taman Pertam Jaya.

Beliau berkata kesemua remaja tersebut dipercayai terlibat dalam empat kes samun pada 17 Sept lepas melibatkan seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing.

Katanya suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi menahan mangsa yang ingin ke tempat kerja antara 7.30 hingga 8.00 pagi.

“Mereka kemudian menunjukkan parang kepada mangsa dan merampas apa juga barang berharga selain melakukan kekerasan seperti menumbuk mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Raja Shahrom berkata dalam serbuan tersebut, polis turut merampas telefon bimbit, sebuah kereta Myvi dan sebilah parang dipercayai digunakan ketika suspek melakukan samun.

Hasil siasatan juga mendapati empat antara mereka positif dadah jenis syabu, katanya.

Katanya polis sedang menyiasat sama ada kumpulan terbabit turut terlibat dalam beberapa kes samun lain di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah. – Bernama

Buruh dipercayai dera anak angkat teman wanita sehingga mati diburu polis – Bernama


Buruh dipercayai dera anak angkat teman wanita sehingga mati diburu polis

7 September 2012

MELAKA – Seorang lelaki dipercayai mendera anak angkat teman wanitanya berumur enam tahun sehingga mati di Taman Telok Emas di sini.

Mangsa, Noor Sofia Syaqira disahkan meninggal dunia oleh doktor di Unit Kecemasan Hospital Melaka sebaik dihantar ke unit tersebut oleh ibu bapa lelaki terbabit untuk mendapatkan rawatan pada 7.55 pagi Ahad lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Supt P.R. Gunarajan berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa yang dijaga sejak berusia dua bulan oleh wanita tersebut mempunyai banyak kesan dera lama dan baru termasuk lebam di seluruh anggota badan.

Beliau berkata hasil bedah siasat kemudian mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala, dada dan perut akibat dipukul dan ditumbuk.

Justeru katanya polis kini giat mengesan teman lelaki ibu angkat kanak-kanak terbabit, yang berusia 32 tahun, seorang buruh yang mempunyai alamat terakhir di Jalan Kampung Bandar Dalam, Gombak bagi membantu siasatan.

Gunarajan berkata lelaki terbabit juga dipercayai turut mendera anak perempuan teman wanitanya yang berusia 5 tahun.

Beliau berkata ibu mangsa yang merupakan seorang suri rumah dan tinggal bersama lelaki terbabit sejak berpindah ke Melaka pada April lepas kini ditahan reman bagi membantu siasatan sehingga 11 Sept depan.

Katanya siasatan awal mendapati suspek dibebaskan dari penjara Simpang Renggam pada 2008 dan mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk empat kes dikehendaki polis melibatkan dadah dan samun di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan lelaki terbabit dengan menghubungi talian 019-6905585 (ASP R. Kumares) atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.- Bernama

Suspek bakar teman wanita ditahan – Sinar Harian


Suspek bakar teman wanita ditahan

HASNIZA HUSSAIN
23 Ogos 2012

SHAH ALAM – Polis menahan suspek kes bakar teman wanitanya, Nurul Firzanah Mat Zaki,16, sehingga menyebabkan mangsa koma dalam kejadian di kawasan semak berhampiran Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 14 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek lelaki berusia 18 tahun itu ditahan bersama seorang rakan wanita di Rumah Panjang Setapak Jaya, awal pagi semalam.

“Kedua-dua mereka berjaya ditahan hasil maklumat yang disalurkan oleh orang awam.

“Mereka direman selama lima hari bermula tangkapan sehingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan,” katanya dipetik menerusi laman facebook miliknya, semalam.

Sebelum ini, polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki, Mohd Amir Mohd Anuar, 18, bagi membantu siasatan kes bakar teman wanitanya.