‘Ah Jib Gor’ beri angpau besar – Metro


‘Ah Jib Gor’ beri angpau besar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Hari ini ‘Ah Jib Gor’ nak beri angpau besar,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap mengumumkan peruntukan RM2.5 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa, Jalan Gombak, di sini, semalam.

Najib berkata, peruntukan itu yang juga sebahagian daripada peruntukan Bajet 2012 bagi SMJK Cina untuk pembinaan bangunan baru sekolah yang sudah berusia 53 tahun itu.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melawat sekolah berkenaan dalam Program Turun Padang Perdana Menteri ke Kuala Lumpur semalam.

 

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Timbalannya, Datuk M Saravanan; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; dan Pengerusi Lembaga Pengelola SMJK Chong Hwa, Datuk Lim King Hoo.
‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud ‘Abang Najib’ adalah laman sosial Facebook Perdana Menteri dalam bahasa Cina yang dilancarkan tiga hari lalu dan menarik 3,000 pengikut serta dijangka akan bertambah selepas ini.
Najib berkata, sumbangan diberikan kepada sekolah berkenaan akan turut mendapat pelepasan cukai.

 

 

Terdahulu, dalam ucapannya Najib berkata, sekiranya ekonomi negara berkembang hingga enam peratus setiap tahun, negara mampu mencapai status negara maju dalam tempoh kurang daripada lapan tahun. “Apabila ia dicapai, semua rakyat secara langsung atau tidak langsung akan mendapat faedah dan nikmat daripada pembangunan serta perubahan besar yang berlaku pada negara.
“Antaranya penjawat awam boleh mendapat kenaikan gaji manakala pekebun kecil boleh menikmati harga tinggi hasil jualan kelapa sawit dan getah,” katanya.

 

Dalam program berkenaan, Najib turut mengadakan lawatan ke pasar basah Teratai Mewah, Danau Kota, di sini, dan Kampung Puah Lembah, dekat Jalan Gombak.

RM2.5 juta bina SMJK Chong Hwa – Utusan


RM2.5 juta bina SMJK Chong Hwa

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa Jalan Gombak di sini bagi pembinaan bangunan baru sekolah tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah meluluskan model pembangunan projek bagi menggantikan bangunan sekolah yang sudah lama.

“Peruntukan yang diberikan itu merupakan sebahagian daripada sumbangan kerajaan melalui Belanjawan 2012 untuk sekolah jenis kebangsaan Cina.

“Sebagai Ah Jib Gor (abang), saya nak beri angpau kepada sekolah ini sebagai sumbangan ikhlas kepada rakyat,” katanya semasa melawat sekolah berkenaan dalam Program Turun Padang ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Timbalannya, Datuk M. Saravanan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan Pengerusi BN Wangsa Maju, Datuk Mohd. Shafei Abdullah.

Najib turut mengumumkan sambutan baik masyarakat Cina terhadap akaun laman sosial Facebook bahasa Cinanya iaitu ‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud Abang Najib mempunyai 12,000 pengikut selepas tiga hari dibuka.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sokongan berterusan daripada rakyat penting untuk memastikan program transformasi yang dirancang kerajaan dilaksana dalam usaha negara mengejar status negara maju.