Pekerja pemasangan wayar didakwa bunuh guru – Bernama


Pekerja pemasangan wayar didakwa bunuh guru

2012/04/25

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pemasangan wayar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini, terhadap pertuduhan membunuh seorang guru wanita di Rawang, bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh, N Sritharan hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki.

Sritharan, 19, didakwa bersama seorang lagi, yang masih bebas, membunuh S Usharani, 47, di Perhentian Bas PKNS, Batu 17, Jalan Ipoh, Rawang, Gombak dekat sini, pada jam 7 pagi 27 Mac lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Terdahulu, peguam K Muthiah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan merujuk kepada pihak pendakwaan untuk mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi anak guamnya kerana mangsa meninggal semasa berada di hospital dan bukan di tempat kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Abd Raheem Aliyas.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Jun untuk sebutan kes.
Akhbar sebelum ini melaporkan guru wanita itu cedera selepas disimbah cecair dipercayai asid ketika sedang menunggu bas untuk ke sekolah di perhentian bas Batu 17, Rawang. – BERNAMA

Dijual rakan untuk melacur – Metro


Dijual rakan untuk melacur

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dia bukan saja ‘dijual’ rakan baiknya, malah dipaksa melacur sejak empat bulan lalu.

Jika mangsa enggan melakukan perbuatan keji itu, dia akan dipukul ibu ayam berusia awal 40-an selain dikurung dan tidak diberi makan serta minum.
Mangsa yang tidak tahan menanggung derita seksaan itu terpaksa akur arahan sindiket pelacuran terbabit selain menanti peluang melarikan diri.

 

Remaja itu mendakwa dia dibawa ke hotel di seluruh negara mengikut permintaan pelanggan selain dibayar RM200 hingga RM500 mengikut perkhidmatan diberikannya. Selain hotel di ibu kota, mangsa pernah dibawa ke hotel di Pulau Pinang, Genting Highlands dan Johor, oleh sindiket pelacuran yang mengawasi setiap pergerakannya.
Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri daripada sindiket pelacuran itu pada jam 7 pagi, 8 Januari lalu, sebelum membuat laporan di Balai Polis Sentul, di sini, Rabu lalu.
Menceritakan semula kejadian berkenaan, sumber polis berkata, mangsa yang berasal dari Melaka meninggalkan rumahnya pada jam 8 malam, 18 Ogos tahun lalu, selepas diperdaya rakan perempuannya untuk ke ibu kota.

 

 

“Rakan baik mangsa yang berusia 20-an menawarkan pekerjaan kepada mangsa selain berjanji mengahwinkannya.
“Lelaki yang dijanjikan untuk dikahwinkan dengan mangsa dikenali mangsa kerana mereka pernah berjumpa pada majlis kenduri di Ayer Keroh, Melaka, Ogos tahun lalu,” katanya. Menurutnya, mangsa kemudian dibawa menaiki sebuah Proton Wira bersama lima wanita lain yang tidak dikenali.

 

“Mangsa dan beberapa wanita itu dihantar ke sebuah flet di Damansara Damai. Tiga hari kemudian, mangsa dibawa ke sebuah hotel di Jalan Ipoh sebelum diarahkan melacur.
“Tersentak dengan itu, mangsa berkeras dan cuba melawan menyebabkan dia dipukul seorang wanita dipercayai ibu ayam. Dia juga tidak diberi makanan mahupun minuman,” katanya.
Sumber itu berkata, difahamkan, selepas dua kali cubaan melarikan diri gagal, remaja terbabit mencuba sekali lagi pada 8 Januari lalu dan berjaya.
Katanya, mangsa membuat laporan polis mengenai nasib itu dan difahamkan, dia kini berlindung di rumah keluarganya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.