3 remaja maut libatkan kemalangan 5 motosikal – Bernama


3 remaja maut libatkan kemalangan 5 motosikal

5 Februari 2012

JASIN – Tiga remaja maut dalam kemalangan melibatkan lima motosikal di Kilmeter 32 Jalan Kesang di sini, malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia termasuk seorang pelajar sekolah menengah, Zafran Zainudin, 17, dari Kampung Air Baruk Jasin, manakala dua lagi Muhammad Nazri Musa, 18, dari tempat yang sama dan Muhammad Firdaus Ibrahim, 19, dari Kampung Air Panas, Bemban.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Che Suza Che Hitam berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu motosikal yang dinaiki Muhammad Firdaus dari arah Jasin menuju Jalan Kesang hilang kawalan, lalu memasuki lorong bertentangan dan merempuh empat lagi motosikal yang datang dari hadapan.

“Kemalangan itu menyebabkan berlakunya rempuhan kuat menyebabkan dua daripada mangsa tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Jasin,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, dua mayat di tempat kejadian dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat manakala dua lain yang cedera masih dirawat di hospital itu.  – Bernama