Kecewa ibu tidak beri RM5 – Sinar Harian


Kecewa ibu tidak beri RM5
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Ogos 2013
  • Kecewa ibu tidak beri RM5Remaja terbabit dibawa ke balai polis sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
< 1 / 1 >

KULIM – Gara-gara gagal memperoleh RM5 sepertimana diminta dari ibu untuk keluar berhari raya bersama rakan-rakan, seorang remaja berusia 16 tahun dari Seberang Jaya, Pulau Pinang bertindak melarikan diri dari rumah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, remaja berkenaan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Jalan Kilang Lama sebelum ditahan unit MPV yang sedang membuat rondaan cegah jenayah kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Menurutnya, menyedari diekori polis, remaja terbabit melarikan diri ke Taman Senangin bagaimanapun berjaya ditahan namun dia enggan memberikan kerjasama.

“Bagaimanapun setelah pemeriksaan dijalankan terhadap nombor kad pengenalannya, polis mendapati terdapat satu laporan kehilangan terhadapnya dibuat di Balai Polis Seberang Jaya.

“Remaja terbabit merupakan anak bongsu dari tujuh beradik. Dia lari dari rumah sejak 10 Ogos lalu kerana ibunya tidak memberikan RM5 sepertimana diminta,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, sebelum ini remaja berkenaan pernah melarikan diri dari rumah sebanyak tiga kali dan dia jarang ke sekolah serta mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan mencari pekerjaan.

Katanya, dari pemeriksaan dijalankan terhadap beg dibawa remaja terbabit, polis menemui sekotak rokok yang dibeli dengan menggunakan duit raya diperolehnya.

“Memandangkan satu laporan polis sudah dibuat terhadap remaja terbabit, polis kemudiannya menghubungi waris untuk mengambilnya di Balai Polis Kulim.

“Dari akuan dibuat remaja terlibat, dia sampai ke Kulim selepas empat hari berjalan kaki dari Seberang Jaya.

Pada waktu malam, dia akan tidur di stesen bas atau di hentian bas di tepi jalan sebelum sampai ke Kulim. Tujuan dia datang ke Kulim adalah untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, warisnya ketika ditemui berkata, remaja berkenaan sering berpelesiran sehingga lewat pagi sehingga mengakibatkan pelajarannya merosot.

Nekad lari melawan arus – Sinar Harian


Nekad lari melawan arus

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mei 2013
Nekad lari melawan arus
Lima pelajar yang ditahan kerana cuba melarikan diri daripada polis.
Nekad lari melawan arus
Keadaan van yang dipandu suspek selepas terbabas.

KULIM – Polis menahan lima pelajar lelaki berusia antara 15 dan 16 tahun kerana cuba melarikan diri dengan van Nissan Vennete, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan, Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian polis trafik yang membuat rondaan pencegahan jenayah ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti.

Namun, menurutnya, suspek bertindak agresif dengan memandu van dinaiki mereka melawan arus sebelum melarikan diri ke Kulim Hi-Tech.

“Tiba di Kulim Golf Club, suspek membuat pusingan U dan memecut ke Jalan Kilang Lama setelah disekat kereta peronda polis.

“Suspek kemudiannya membelok ke Taman Senangin menuju ke Taman PKNK sebelum membelok masuk ke lorong tikus menuju ke Taman Nilam Baiduri,” katanya.

Memandangkan jalan yang digunakan itu tidak siap sepenuhnya, van dipandu suspek terbabas sebelum terbalik ke dalam semak.

Peronda trafik yang tiba di tempat kejadian mengarahkan semua suspek keluar dari van terlibat sebelum pemeriksaan dijalankan terhadap mereka.

“Siasatan mendapati, pemandu van tidak mempunyai lesen memandu yang sah, manakala van itu milik ibunya,” katanya.

Semua suspek terlibat dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk ujian saringan air kencing sebelum diambil keterangan.

Ghuzlan berkata, pemandu van itu melarikan diri kerana takut disaman atas kesalahan tidak memiliki lesen.

“Jangan mengambil tindakan di luar kawalan sehingga boleh mengakibatkan kemalangan maut atau kecederaan parah kepada pengguna jalan raya lain.

“Sekiranya tidak mahu tindakan saman dikenakan, pengguna dinasihatkan untuk mengambil lesen,” katanya.

Pelajar 14 tahun mengaku pernah dirogol lebih 20 lelaki – Sinar Harian


Pelajar 14 tahun mengaku pernah dirogol lebih 20 lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Disember 2012
Pelajar 14 tahun mengaku pernah dirogol lebih 20 lelaki
Mangsa ditemani anggota polis ketika menyenaraikan nama suspek yang pernah merogolnya.

KULIM – Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun bersama rakannya ditahan berikutan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di sini, jam 2 pagi baru-baru ini.

Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Ima mula terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine ketika berusia 13 tahun.

Dari siasatan awal, Ima membuat pengakuan pernah dirogol lebih 20 remaja lelaki dan lima daripadanya merupakan murid sekolah berusia di antara 14 hingga 17 tahun.

Mangsa turut memberikan kerjasama dengan mencatat nama suspek yang pernah merogolnya.

Ima berkata, lebih malang, ada dalam kalangan mereka yang pernah cuba meliwatnya.

“Saya berkawan dengan mat rempit. Mereka membawa saya ke sebuah rumah dan saya dirogol beramai-ramai. Lama kelamaan perlakuan itu berlanjutan,” katanya.

Menurutnya, kejadian terkini berlaku dua minggu lalu apabila dia dirogol lima remaja di sebuah rumah di jalan Kilang Lama. Suspek mengugut untuk mencederakannya sekiranya enggan melayani nafsu mereka.

“Selain rumah tinggal dan bengkel, saya pernah dirogol bergilir-gilir oleh beberapa remaja di tengah padang permainan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis akan menyiasat aduan dibuat oleh mangsa dan mencadangkan supaya mangsa dapat diletakkan di bawah penyeliaan rumah perlindungan.

“Melakukan hubungan seks dengan mana-mana remaja perempuan bawah umur diklasifikasikan sebagai rogol walaupun mangsa merelakan perlakuan itu dilakukan terhadap dirinya.

“Mangsa juga memaklumkan bahawa dia mengenali kesemua suspek yang merogolnya. Dengan senarai nama suspek yang ditulis oleh mangsa sendiri ini memudahkan polis mengesan kesemua suspek terlibat,” katanya.