Perjalanan terakhir lima beranak – Kosmo


Perjalanan terakhir lima beranak

 

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

 

ABDULLAH bersama Muhammad Aiman (kiri), ibunya, Ramlah Omar (tengah), Samsiah dan Maisarah(atas pangkuan) dalam
gambar yang dirakamkan ketika Hari Raya Aidilfitri lalu di Felda Air Tawar, 5, Kota Tinggi.

 

MERSING – Lima sekeluarga terbunuh manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna jenis Grand Livina yang mereka naiki hilang kawalan dan berpusing sebelum dirempuh sebuah lori tangki di Jalan Mersing-Endau dekat sini pukul 7.30 pagi semalam.

Mereka yang maut ialah juruteknik, Abdullah M. Yusof, 43; isterinya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab, Kota Tinggi, Samsiah Maidin, 37; anak mereka, Muhammad Aiman Syakirin Abdullah, 8, dan Maisarah, 4, serta adik kepada Samsiah, Noraini Maidin, 30-an.

Anak bongsu mangsa, Muhammad Ammar, 3, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Kosmo! Ahad difahamkan, Abdullah sekeluarga bersama sebuah kereta lain dalam perjalanan untuk menghantar adik iparnya, Muhammad Hafiz Maidin, 18, ke tempat belajarnya di Universiti Teknologi Mara, Jengka , Pahang.

Muhammad Hafiz menaiki sebuah kereta lain yang dipandu oleh datuknya, Maidin Mohamad, 66.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Mohd. Nor Rasid berkata, dalam kejadian ngeri itu, kenderaan yang dipandu oleh Abdullah dipercayai hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali di tengah jalan.

“Pada waktu yang sama, sebuah lori tangki dari arah belakang terus melanggar kereta tersebut hingga menyebabkan kedua-dua kenderaan itu melekat,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Impak daripada rempuhan itu menyebabkan empat dari lima mangsa maut pada tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2DssIi08Q
Hakcipta terpelihara

Tragedi pulang awal sambut Aidiladha – Metro


Tragedi pulang awal sambut Aidiladha

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ENDAU: “Kami sekeluarga bercadang pulang awal menyambut Aidiladha bersama keluarga di Kota Bharu dan bertolak dari rumah sebelum subuh bagi mengelak kesesakan, malangnya kami terbabit dalam kemalangan hingga meragut nyawa suami,” kata Nor Suriati Yusuff, 42, isteri kepada anggota polis yang maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Mersing-Endau di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, Koperal Lajat Padilat, 52, yang memandu kereta Proton Persona dari Johor Bahru maut apabila kereta dipandunya memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta Toyota Vios dinaiki tiga guru dari Endau.
Difahamkan, tiga guru berkenaan dalam perjalanan ke Felda Endau di sini untuk mengambil seorang rakan mereka sebelum menghadiri kursus di Batu Pahat.

 

Dalam kejadian itu, Nor Suriati dan dua anaknya, Mohd Afik, 10, dan Farah, 13, cedera akibat pertembungan dua kereta berkenaan di kawasan berbukit berhampiran Felda Endau.
Pemandu kereta Toyota Vios, Koh Chong Sia, 50, dan penumpang depan, Zaidi Tahar, 37, cedera ringan, manakala penumpang belakang, Amizah Baharom, 29, cedera parah di kepala.
Menceritakan kejadian itu, Nor Suriati berkata, selepas dua jam perjalanan mereka berhenti berehat di satu simpang berhampiran lokasi kemalangan selama beberapa minit, sebelum meneruskan perjalanan.

 

 

“Ketika itu, semuanya seperti biasa dan suami meneruskan perjalanan, manakala saya dan anak tertidur di dalam kereta.
“Saya tidak ingat apa-apa dan tersedar apabila kereta kami terbabit dalam kemalangan.

 

“Ketika itu, saya terasa sakit di kepala akibat terhantuk cermin kereta,” katanya.
Sementara itu, Mohd Afik ketika ditemui di Klinik Kesihatan Endau masih trauma dengan kemalangan itu dan tidak dapat mengingati kejadian.
Ketika itu, dia dan ibunya belum mengetahui mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan itu.
Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, kecuali Zaidi yang meminta dibawa ke Hospital Kuantan, Pahang untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua anak Lajat hanya dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Endau.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24