Suspek kes dera direman empat hari – Utusan


Suspek kes dera direman empat hari

PULAU PINANG 3 Jan. – Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak kelmarin, ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

Suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan polis selepas pulang ke rumahnya di Jalan Perak di sini, untuk mengambil baju pukul 11.20 malam tadi.

Dia yang cuba mengubah identitinya dengan membotakkan kepala sebelum itu menghilangkan diri selepas kejadian dera tersebut terbongkar.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar yang ditemui pemberita di Wad Pediatrik Hospital Pulau Pinang mengesahkan penahanan tersebut.

“Kita telah dapatkan perintah reman daripada mahkamah dan polis akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu memainkan peranan dalam hal ini agar tiada lagi kanak-kanak yang menjadi mangsa dera.

“Jiran tetangga perlu melaporkan segera kepada polis sekiranya ragu-ragu bahawa ada kanak-kanak didera di kawasan perumahan mereka,” ujarnya.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dipukul dan dibiarkan menangis bersendirian di rumahnya lebih 10 jam selepas mengusik dompet bapanya dan mencicirkan beberapa kad.

Mangsa berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat pada pukul 11.45 malam kelmarin selepas dihubungi jirannya.

Suspek kes dera ditahan polis – Bernama


Suspek kes dera ditahan polis

2012/01/03

GEORGETOWN: Kurang dari 12 jam selepas menjadi buruan polis, seorang pekerja barang lusuh yang dipercayai terbabit dengan kes penderaan, berjaya ditahan polis dengan bantuan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Menurut jurucakap polis, suspek yang berumur 49 tahun itu berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri di Pasar Jelutong pada jam 12.30 pagi tadi.

Katanya, suspek turut cuba mengubah identitinya dengan membotakkan kepalanya untuk mengelak daripada dikenali namun cubaan itu tidak berhasil dan lelaki itu berjaya diberkas ketika sedang menunggang motosikal.

“Lelaki itu dibawa ke balai polis Jelutong untuk soal siasat dan dijangka dibawa ke Mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan hari ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubungi di sini pagi tadi, mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes itu akan di siasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam, polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang dikurung dalam sebuah rumah di Jalan Perak.
Budak itu disyaki mangsa dera bapanya berdasarkan kesan lebam lama dan baru di belakang badan dan calar di kaki serta tangan, dikatakan menangis dan meminta tolong selama 10 jam, bermula jam 3 petang sehinggalah diselamatkan pada 1 pagi.

Kanak-kanak itu kini masih mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana terdapat kesan luka di tangan, badan dan kakinya. – BERNAMA