Remaja maut dirempuh kereta – Metro


Remaja maut dirempuh kereta

 

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

 

KELUARGA Mohd. Faris Poh ditenangkan oleh orang ramai selepas remaja itu maut setelah terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Temu, Melaka semalam.

 

MELAKA – Seorang ibu tidak menyangka anak lelakinya yang tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu menemui ajal dalam kemalangan ngeri apabila motosikal ditunggangi anaknya itu dirempuh sebuah kereta dan bas di Jalan Padang Temu, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Mohd. Faris Poh Muhammad Fauzi Poh, 15, (gambar) ketika itu baru keluar dari sebuah kedai makan di kiri jalan tersebut.

Jurucakap polis memberitahu, sebaik sahaja mangsa keluar ke jalan raya dari arah lampu isyarat Alai menghala ke arah lampu isyarat Padang Temu, tiba-tiba dia dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah sama.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting ke laluan bertentangan sebelum dilanggar pula sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.

“Ekoran kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala,” kata jurucakap polis itu.