Dirogol setelah tolak pelawaan ke hotel – Sinar Harian


Dirogol setelah tolak pelawaan ke hotel

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mac 2012

KUALA TERENGGANU – Keputusan berani seorang remaja bawah umur tidak menolak pelawaan teman lelakinya yang hanya baru dikenali sehari ke sebuah hotel di bandar raya ini membawa padah setelah dia dakwa dirogol lelaki terbabit.

Kecewa diperlakukan sedemikian rupa, remaja yang baru berusia 14 tahun itu mengambil keputusan menceritakan kejadian berkenaan kepada ahli keluarganya dan satu laporan polis dibuat.

Susulan laporan, lelaki terbabit, Mohd Khairuddin Mohd Yusof, 22, dari Kampung Losong Atap Zin, di sini, ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam atas dakwaan merogol.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Rosila Nik.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di Terengganu Hotel, Jalan Sultan Ismail, di sini, antara jam 9 malam hingga 6 pagi pada 14 Mac lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Rosila kemudian menetapkan 2 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Datuk didakwa cabul cucu – Utusan


Datuk didakwa cabul cucu

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat berusia 73 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat tuduhan mencabul seorang cucu perempuannya yang berusia lapan tahun sejak dua tahun lalu.

Lelaki berketurunan Inggeris itu mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Zulkpli Abdullah.

Tertuduh didakwa mencabul cucunya di tiga tempat berasingan iaitu di bilik Hotel Cititel Mid Valley, sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Bangsar dan di dalam kereta jenis Hyundai Matrix yang berada di tempat meletak kereta di kondominium terbabit antara Mei dan Oktober 2011.

Selain itu, ahli perniagaan tersebut mohon dibicarakan atas tuduhan mencabul kanak-kanak tersebut di bilik Hotel Sheraton Imperial, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang di sini antara pukul 1 dan 6 petang, April 2010.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Ketika kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, kelihatan ibu mangsa selaku pengadu kes itu menangis teresak-esak, bagaimanapun keadaan wanita itu kembali terkawal apabila dia ditenteramkan oleh ahli keluarganya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Maline Anne mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 bagi kesemua tuduhan dengan seorang penjamin, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam bela Muhammad Fauzi memohon agar jumlah itu dikurangkan.

Zulkpli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 28 Februari ini.

Beliau turut memerintahkan lelaki tersebut supaya tidak berkomunikasi dan tidak menganggu mangsa secara langsung atau tidak langsung sehingga kes selesai.

Mengikut laporan akhbar minggu lalu, seorang ahli perniagaan ditahan polis selepas menerima aduan daripada bekas menantunya yang mendakwa lelaki itu telah mencabul cucunya sendiri sejak dua tahun lalu.

Kejadian tersebut mula terbongkar ketika kanak-kanak itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada dua minggu lalu kerana menghidap penyakit apendiks.

Doktor dan jururawat yang merawat mangsa mengesyaki sesuatu yang tidak kena kerana kanak-kanak itu secara tiba-tiba akan berang selepas dia dimaklumkan bahawa datuknya akan datang melawat.

Kanak-kanak tersebut kemudian menceritakan perkara sebenar kepada ibunya.