Pelajar sekolah cedera kemalangan – Sinar Harian


Pelajar sekolah cedera kemalangan

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2013
Pelajar sekolah cedera kemalangan
Keadaan motosikal mangsa setelah merempuh kereta dalam nahas di Jalan Sungai Petani-Baling dekat kilang Mardec, petang semalam.

KUPANG – Seorang pelajar sekolah cedera dalam kemalangan di Jalan Sungai Petani- Baling berhadapan kilang Mardec kira-kira jam 2.30 petang, semalam.

Pelajar berusia 15 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya sebelum merempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa yang tidak sempat mengelak, melanggar bahagian tepi kenderaan terbabit sebelum terjatuh beberapa meter dari tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan ketika kejadian, darah kelihatan mengalir dari mulut mangsa.

Mangsa yang berada dalam keadaan lemah terus dihantar ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, kenderaan terbabit dalam perjalanan untuk memasuki simpang kilang Mardec sebelum dirempuh oleh pelajar itu.

Mengikut statistik, penunggang motosikal merupakan yang tertinggi terlibat dalam kemalangan termasuk kemalangan maut.

Dalam tahun ini sahaja seramai 22 orang maut melibatkan 21 kemalangan di daerah ini dan kebanyakannya adalah penunggang motosikal.

Ditembak depan sekolah – Metro


Ditembak depan sekolah
Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

SERDANG: Seorang lelaki yang sedang menunggu dalam kereta ketika isteri menghantar anaknya ke sekolah maut selepas ditembak dari jarak dekat sebanyak dua kali di rusuk kanannya dalam kejadian di pekarangan sekolah berkenaan, di Taman Sungai Besi Indah, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai peniaga kedai runcit, 32, disahkan meninggal dunia selepas lebih sejam menerima rawatan di Hospital Serdang, (HS) akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, kejadian pada jam 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa bersama isteri menghantar anak sulung lelakinya berusia lapan tahun ke sekolah berkenaan.

“Ketika isteri mangsa membawa anak mereka masuk ke kawasan kelas, dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC berwarna merah tiba-tiba muncul dan mendekati kereta dinaiki mangsa sebelum melepaskan dua das tembakan.

 

“Sebaik pasti mengenai sasaran, lelaki terbabit terus memecut motosikalnya menghala ke Jalan Sungai Besi.