Sekolah, PPD dapat autonomi – Metro


Sekolah, PPD dapat autonomi

Oleh Salman Hamat
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUAR: Kementerian Pelajaran bercadang memberikan kuasa autonomi kepada sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi menentukan hala tuju pendidikan menjadi lebih mantap dan bermutu serta setanding dengan negara maju.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu tidak bermakna kementerian melepaskan tanggungjawab, sebaliknya sedar situasi setiap sekolah dan PPD berbeza selain menghadapi masalah serta keluasan tidak sama.
“Kita merasakan pendekatan itu sesuai bagi menangani masalah dihadapi secara tidak langsung membantu sekolah berkenaan mencapai tahap kecemerlangan yang dikehendaki.

 

“Menerusi kebebasan itu, urusan di peringkat sekolah dapat diselesaikan dengan lebih berkesan sekiranya timbul masalah boleh diselesaikan segera,” katanya pada Majlis Jalinan Mesra Warga Pendidik dan Perasmian PPD Muar di sini, semalam.
Beliau berkata, sekiranya dijalankan, bidang kuasa kini di peringkat kementerian akan diturunkan ke peringkat negeri, PPD atau sekolah dan dalam sesetengah perkara autonomi akan diberikan kepada pengurusan sekolah untuk merangka perancangan lebih tepat dan sesuai mengikut keadaan masing-masing.
“Ini kali pertama Menteri Pelajaran bercakap mengenai kuasa autonomi di peringkat sekolah dan daerah kerana kita sedar masalah antara setiap sekolah dan daerah berbeza memerlukan pendekatan dan penambahbaikkan mengikut cara masing-masing.

 

 

“Cadangan itu antara mendapat perhatian dalam kajian sistem pendidikan negara dijalankan kementerian dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.
“Sebagai organisasi paling hampir dengan pihak sekolah, PPD dilihat mempunyai tanggungjawab besar untuk meningkatkan mutu pendidikan,” katanya.

 

Muhyiddin berkata, sebagai organisasi besar yang bertanggungjawab terhadap kira-kira 10,000 sekolah, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab secara berkesan untuk melahirkan modal insan berkualiti bagi memenuhi tuntutan pembangunan negara.
Justeru, katanya, PPD perlu memainkan peranan melaksanakan apa saja dasar diputuskan kementerian supaya sampai ke akar umbi dengan jelas bagi mencapai matlamat ditetapkan.

Kerajaan kaji rapatkan jurang sekolah bandar, luar bandar – Bernama


Kerajaan kaji rapatkan jurang sekolah bandar, luar bandar

7 April 2012
Tan Sri Muhyiddin Yassin

PAGOH – Kementerian Pelajaran sedang menjalankan kajian intensif sebagai usaha merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kajian berkenaan bertujuan mengenal pasti isu dan masalah di sekolah luar bandar yang pencapaian pelajarnya dilihat lebih rendah berbanding sekolah di kawasan bandar.

“Kita hendak lihat apa masalahnya adakah disebabkan infrastruktur yang tidak lengkap, kurang peralatan, kualiti guru, kurang guru, persekitaran pembelajaran yang tidak sesuai atau sikap ibu bapa yang menyebabkan anak-anak hilang tumpuan terhadap pelajaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis jalinan mesra warga pendidikan dan perasmian 17 dewan sekolah sekitar Parlimen Pagoh, di Panchor, di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Anggota Parlimen Pagoh, berkata jurang antara pelajar luar bandar dan bandar kelihatan timbul setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan.

“Jurang memang tetap akan ada tetapi kita harap nanti jangan terlalu besar dan tidak realistik. Kita akan umum kajian ini apabila siap dan kita akan cari pelan tindakan untuk memperbaikinya,” jelasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Temiang Renchong, dekat Bukit Pasir, di sini, Timbalan Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan menutup SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini walaupun mengalami kekurangan murid.

Beliau berkata perkara itu merupakan dasar dan telah dipersetujui semua pihak walaupun sekolah berkenaan hanya mempunyai 10 pelajar.

Menurut Timbalan Perdana Menteri kira-kira 1,800 SJKT dan SJKC wujud di negara ini ketika ini dengan 41 peratus daripadanya mengalami masalah kekurangan pelajar.

Katanya sokongan terhadap SJKT dan SJKC itu membuktikan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana kaum di negara ini sekaligus memulihara bahasa ibunda masing-masing.

“Sebab itu kita peruntukan RM1.04 bilion kepada SJKT setiap tahun dan RM2.8 bilion kepada SJKC bagi tujuan pembayaran gaji dan kos operasi,” katanya.

Mengenai SJKT Ladang Temiang Renchong itu, Muhyiddin berkata sebanyak RM11 juta diperuntukkan bagi tujuan pembinaan sekolah dengan RM1 juta adalah untuk pembelian tanah manakala bakinya untuk pembinaan lapan bilik darjah berserta sebuah dewan. – Bernama.

Transformasi sekolah luar bandar – Berita Harian


Transformasi sekolah luar bandar

Oleh Azidan Nahar
azidan@bharian.com.my
2012/04/08

MUHYIDDIN diiringi  Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel merasmikan majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Ladang Temiang Renchong, Pagoh, semalam.

MUHYIDDIN diiringi Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel merasmikan majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Ladang Temiang Renchong, Pagoh, semalam.

Kajian dibuat kenal pasti jurang pencapaian dengan pelajar bandar

PAGOH: Kementerian Pelajaran akan membuat kajian rapi bagi mengenal pasti punca atau masalah dihadapi sekolah luar bandar berikutan masih wujud jurang dengan sekolah bandar yang lebih cemerlang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang terbaik dalam tempoh lima tahun, ruang pencapaian pelajar luar bandar dan bandar masih besar.

“Saya mahu lancarkan program transformasi sekolah luar bandar, supaya dalam beberapa tahun akan datang, jurang yang memisahkan itu dapat dirapatkan,” katanya berucap merasmikan majlis jalinan mesra warga pendidikan dan perasmian dewan sekolah Parlimen Pagoh, di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, kajian akan melihat punca pencapaian sekolah luar bandar masih rendah dan hasilnya diharap berupaya mengurangkan jurang antara dua kategori sekolah berkenaan.

“Apakah sekolah bandar lebih baik daripada aspek infrastrukturnya, apakah guru di sekolah bandar lebih mahir dan apakah anak pelajar di bandar lebih mahir.

“Ia tidak semestinya kerana sudah terbukti sejak beberapa tahun lalu, keputusan pelajar luar bandar dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga agak baik, sebab itu perlu ambil inisiatif lebih daripada biasa supaya boleh meningkatkan pencapaian ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mahu melihat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, tiada lagi jurang pemisah antara sekolah luar bandar dan bandar kerana kerajaan tidak pernah membezakannya dalam aspek kualiti pendidikan.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan dakwaan pekan Danok di Thailand berdepan ancaman serangan pengganas perlu diberi perhatian serius oleh rakyat Malaysia yang mahu bercuti ke negara itu.

“Ini amaran serius dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu buat kenyataan lebih tepat dan jika sudah ada amaran sebegitu, kita harus pandang berat.
“Apa yang berlaku ini bukan saja satu pengajaran tetapi ancaman serius. Kita boleh pergi ke tempat lain lebih selamat seperti bercuti dalam negeri kerana Malaysia antara tempat terselamat di dunia,” katanya.